fbpx
Now Reading
Wanita Baru Tahu Perkahwinan Selama 29 Tahun Rupanya Tak Sah, Peguam Dedah Sebabnya

Wanita Baru Tahu Perkahwinan Selama 29 Tahun Rupanya Tak Sah, Peguam Dedah Sebabnya

Difahamkan, wanita berkenaan bernikah secara Wali Hakim Nikah Sindiket pada tahun 1996 kerana ayahnya (wali sebenar) pada ketika itu berada di luar Perak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Agama Islam amat menggalakkan umatnya untuk bernikah agar dapat menjaga kesucian diri daripada berlakunya perbuatan zina dan sebagainya.

Bagaimanapun, sebelum mendirikan rumah tangga, terdapat beberapa syarat dan rukun sah nikah yang wajib dipenuhi agar pernikahan itu sah di sisi agama.

Antara syarat rukun tersebut adalah individu yang ingin dinikahi mestilah bukannya mahram atau muhrim serta memiliki jantina yang berbeza.

Baca Artikel Berkaitan: Dah 2 Tahun Kahwin Baru Tahu ‘Suami’ Rupanya Wanita Yang Buat Pembedahan Tukar Jantina [Video]

Suami sudah meninggal isteri baru tahu perkahwinannya tak sah

Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan seorang wanita ini apabila baru mengetahui bahawa perkahwinannya selama 29 tahun adalah tidak sah.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh peguam syarie, Fahmi Ramli di laman Facebook, wanita itu hanya mengetahui tentang perkara terbabit selepas suaminya meninggal dunia.

Menurutnya, kejadian terbabit berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh, Perak pada baru-baru ini ketika beliau berada di sana usai sebutan kes yang dikendalikannya.

Nikah secara Wali Hakim Nikah Sindiket

Jelas Fahmi, wanita berkenaan difahamkan bernikah secara Wali Hakim Nikah Sindiket pada tahun 1996 kerana ayahnya (wali sebenar) pada ketika itu berada di luar Perak.

“Mahkamah terus ‘shorcut’ dan tunjukkan satu kertas yang merupakan salinan Fatwa daripada Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak pada 10 Jun 1997.

“Fatwa tersebut ringkasnya memutuskan bahawa ‘Pernikahan yang telah dinikahkan secara Wali Hakim oleh Bekas Naib Qadhi Gopeng bernama Mohd Jamil Bin Kechil selepas tarikh 22 Julai 1989 adalah tidak sah kerana telah dilarang oleh Qadhi yang ketika itu bertindak sebagai wakil Sultan’.

“Terkejut saya, siap ada fatwa lagi dan fatwa ini telah digazetkan dalam negeri Perak sejak 1997 lagi,” katanya.

Foto: Facebook/Fahmi Ramli Official

Boleh berkahwin semula jika tidak tahu Nikah Fasid

Menurutnya, perkahwinan ini dinamakan sebagai Nikah Fasid iaitu perkahwinan yang Syarat Sah Nikah tersebut rosak. Ini kerana, seorang wanita yang hendak mendapatkan Wali Hakim, ia mesti datang daripada Perintah Mahkamah untuk pelantikan Wali Hakim sebenar.

Ujar Fahmi, sekiranya pasangan berkenaan tidak tahu maka mereka boleh bernikah semula, namun dalam kes wanita ini, suaminya telah meninggal dunia.

Fahmi pada masa sama turut berkongsi beberapa jawapan yang mungkin menjadi persoalan ramai berhubung Nikah Fasid ini antaranya:

1) Apakah status anak-anak yang lahir?

Jawapan: Anak-anak yang lahir daripada pernikahan ini statusnya adalah anak wati’ syubhah iaitu anak yang lahir daripada persetubuhan yang meragukan. Ia berbeza dengan anak tak sah taraf.

Namun, jika dari awal pihak-pihak ini telah tahu pernikahan tersebut memang tidak sah, namun memejamkan mata sahaja, anak tersebut tetap dianggap Anak Tak Sah Taraf.

2) Apakah hak anak wati’ syubhah?

Jawapan: Anak wati’ syubhah boleh dinasabkan kepada bapanya dan berhak untuk menerima Perwalian bagi pernikahan serta hak perwarisan untuk mewarisi pusaka bapanya.

Namun, mereka mesti mendapatkan satu Perintah Pengesahan Nasab daripada Mahkamah untuk mengesahkan status ini bagi menghilangkan keraguan dan berhak untuk mewarisi pusaka simati sebagai waris yang sah.

3) Adakah sah pernikahan mereka yang berwalikan bapa nikah secara sindiket?

Jawapan: Pernikahan anak-anak wati’syubhah yang berwalikan bapa kandungnya adalah sah disisi Mazhab Syafie. Itu tidak menjadi salah kerana hak perwalian mereka ada.

Jadi, tak perlu untuk membuat Permohonan Faraq Nikah untuk bernikah semula dengan pasangan. Berbeza dengan Anak Tak Sah Taraf yang dinikahkan oleh bapa biologi, tapi bapanya tidak ada hak perwalian kerana anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja.

Semoga perkongsian ini sampai ke pasangan yang nikah dengan Wali Hakim tiada tauliah

Dalam pada itu, Fahmi berharap perkongsiannya ini dapat dipanjangkan kepada orang-orang yang telah berkahwin dengan menggunakan Wali Hakim yang telah tidak ada tauliah bahkan telah diwartakan oleh Fatwa Negeri Perak pada tahun 1997 ini sampai ke pengetahuan mereka.

“Mintak tuan puan semua yang mengenali atau mengetahui mereka yang telah terkahwin secara wali hakim dengan pihak berkenaan, boleh membuat pengesahan Nikah dan Nikah semula dengan pasangan jika pasangan masih hidup.

“Jika tidak, hak anda sebagai Isteri khususnya dalam mempusakai harta suami akan terlepas. Semoga penulisan ini sikit sebanyak memberikan info kepada anda,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: Nafkah Ikut Kemampuan Suami, Bukan Kehendak Isteri – Peguam Syarie [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Anak Perempuan Boleh Mohon Wali Hakim Jika Bapa Enggan Nikahkan – Peguam Syarie

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Nabi SAW Tak Mengaku Umat Jika Tak Kahwin? Ini Penjelasannya [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.