Ramai Kecam Pemandu X50 ‘Sound’ Rider Beri Laluan Kepada Pejalan Kaki Melintas Di Zebra Crossing [Video]
Pemandu Proton X50 itu menekan hon beberapa kali semasa rider terbabit berhenti untuk memberi laluan kepada pejalan kaki melintas sebelum bertindak menghimpit dan memarahi lelaki itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan, masih ada pemandu kereta dan penunggang motosikal yang tidak cakna mengenai fungsi lintasan belang (zebra crossing) berwarna putih atau kuning yang ada di jalan raya.
Mungkin ramai yang berpendapat bahawa pejalan kaki perlu lah menunggu dan hanya melintas ketika tiada kenderaan atau lampu isyarat merah sahaja.
Lebih teruk lagi, ada pengguna jalan raya yang berang sekiranya kenderaan hadapan berhenti untuk memberi laluan kepada pejalan kaki meskipun ia tidak lah mengambil masa yang lama.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tegur Ramai Yang Abaikan ‘Zebra Crossing’, Ini Fakta Yang Patut Korang Tahu! [Video]
Tular pemandu kereta tak puas hati rider berhenti di zebra crossing beri laluan kepada pejalan kaki
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang pemandu kereta memarahi seorang penunggang motosikal hanya kerana berhenti di hadapan lintasan belang untuk memberi laluan kepada pejalan kaki.
Penunggang motosikal itu yang juga pemilik akaun TikTok @driving4dummies sememangnya sering memuat naik video kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan zebra crossing.
Pun begitu, video terbaharu yang dimuat naik olehnya memaparkan dia telah dihon beberapa kali oleh pemandu kereta jenis Proton X50 semasa memberi laluan kepada pejalan kaki yang melintas di sebuah kawasan di Kuala Lumpur.
Tidak hanya itu, pemandu X50 itu juga dilihat dengan sengaja menghimpit lelaki itu sebelum membuka tingkap dan memarahinya.
Masih ramai pengguna jalan raya yang tak beri keutamaan kepada pejalan kaki
Di dalam video tersebut, lelaki terbabit turut berkongsi bahawa masih ramai pengguna jalan raya yang tidak memberi keutamaan kepada pejalan kaki yang ingin menyeberangi jalan.
Kelihatan beberapa klip rakaman yang memaparkan kereta dan motosikal yang tidak berhenti meskipun ada pejalan kaki yang sedang melintas di atas zebra crossing.
“Saya tak akan berhenti untuk beri laluan kepada pejalan kaki, sebab mana tahu suatu hari nanti yang melintas itu mungkin orang yang kita sayang, biar lah perlahan mana pun mereka jalan tak akan ambil sampai satu minit pun untuk kita berhenti,” katanya.
@driving4dummies Saya kena hon. Kena marah. Tapi saya tetap berhenti. Sebab saya tahu… setiap lintasan ada nyawa. Kadang kadang orang tua. Kadang budak kecil. Dan kadang kadang orang yang saya sendiri kenal. Berhenti bukan sebab peraturan. Tapi sebab beri hormat. #ThisIsWhyIYield #RoadSafetyMalaysia ♬ original sound – Ammar Anas
Abaikan zebra crossing satu kesalahan dan boleh disaman
Untuk info, menurut bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrin Tamrin, pemandu dan penunggang motosikal wajib berhenti dan beri keutamaan kepada pejalan kaki sama ada yang berada di zebra crossing berwarna kuning atau putih.
Pengguna jalan raya yang ingkar dan mengabaikan undang-undang termasuk tanda zebra crossing telah melakukan satu kesalahan.
Mereka yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 78 Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.
Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata pengguna media sosial mengecam pemandu X50 tersebut.
Pemandu terbabit teruk diselar kerana bukan hanya tidak mengutamakan pejalan kaki yang ingin melintas, sebaliknya memarahi pengguna jalan raya lain yang memberi laluan.







