The Great Fire Of Ipoh, Tragedi Kebakaran Terbesar Yang Libatkan Separuh Bandar Pada 1892
Insiden The Great Fire of Ipoh yang berlaku pada 1 Jun 1892 dianggarkan menyebabkan kerugian antara $80,000 ke $100,000 (Straits Dollar).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Terletak dalam Daerah Kinta di Perak, Ipoh merupakan sebuah pekan tua yang penuh dengan budaya dan daya tarikan tersendiri.
Pekan yang terkenal dengan industri perlombongan bijih timah itu menjadi antara salah satu destinasi wajib dalam negara untuk dikunjungi.
Namun siapa sangka Ipoh yang kini berkembang maju terdapat sejarah yang hampir-hampir memadamkan bandar kecil itu dari peta dunia.
Baca Artikel Berkaitan: Ipoh Antara 8 Lokasi Pelancongan Wajib Dilawati Di Asia, Sesuai Untuk ‘Foodie’
Baca Artikel Berkaitan: Dinobatkan SebagaiKopi Ke-10 Terbaik Di Dunia, Ini 6 Tempat Untuk Cuba ‘Ipoh White Coffee’
The Great Fire of Ipoh 1892 Musnahkan Separuh Bandar Itu
Seperti yang dikongsikan oleh Perak Corner Press di laman TikTok, sebahagian daripada pekan Ipoh pada suatu masa dahulu telah hangus dijilat api.
Dalam peristiwa yang dikenali sebagai The Great Fire of Ipoh, insiden yang berlaku pada malam 1 Jun 1892 itu dan bermula dari satu letupan di celah rumah kayu telah memusnahkan separuh daripada bandar Ipoh.
Menurut Perak Corner Press, kebanyakan rumah pada ketika itu diperbuat daripada kayu dengan atap nipah. Susun atur rumah juga rapat antara satu sama lain dengan jalan yang sempit dan ketiadaan sistem saliran yang elok.
Kesemua ini membentuk satu keadaan yang menyebabkan api marak dengan cepat.
Kebakaran Jadi Punca Kerugian Sehingga $100,000
Dengan ketiadaan pasukan bomba ketika itu, api yang marak tidak sempat dikawal walaupun pihak polis bersama orang ramai cuba memadam api menggunakan baldi dan air dari parit atau sungai.
Insiden itu menyebabkan sebanyak 123 buah rumah (ada yang menyatakan sehingga 200) musnah dengan kerugian dianggarkan antara $80,000 ke $100,000 (dalam Straits Dolar). Pun begitu tiada sebarang kematian dilaporkan.
Sekadar info, Ipoh Heritage Trail Map melaporkan bahawa terdapat sekitar 340 rumah dan 4,000 penduduk pada 1880an.
Bandar Ipoh Dibina Semula Selepas Kebakaran Besar
Namun begitu, insiden ini tidaklah meruntuhkan semangat masyarakat ketika itu yang berusaha membangunkan kembali pekan Ipoh.
Setelah musnah dalam kebakaran, bandar Ipoh direka semula dalam bentuk grid dengan jalan yang lebih lebar, pembinaan semula sistem longkang dan penanaman pokok. Malah rumah juga mula dibina menggunakan batu bata.
Ada juga yang menyatakan bahawa peristiwa The Great Fire dan pembangunan semula pekan itu telah menyebabkan Ipoh terbahagi kepada dua iaitu ‘Old Town’ dan ‘New Town’.
“Dari bandar kayu yang sesak, ia jadi bandar moden dan lebih tahan lasak. Dari situlah ekonomi bijih timah mula berkembang,” katanya.
Perkara ini turut dinyatakan di dalam Ipoh Heritage Trail Map yang menjelaskan bahawa bandar Ipoh dibina semula tepat pada waktu perkembangan bijih timah kedua.
Berdasarkan laman blog British Malaya, taikun bijih timah ketika itu iaitu Yau Tet Shin telah membiayai sebahagian daripada projek pembinaan semula itu.

Pasukan Bomba Rasmi Dibentuk Di Ipoh Selepas The Great Fire
Di samping itu, insiden ini turut mendorong pembentukan pasukan bomba yang dirasmikan pada tahun 1893.
Bandar itu juga telah membeli Merryweather ‘Greenwich’ Steam Fire Engine dari London, menjadikannya yang pertama tiba di Semenanjung Malaya.
Dalam pada itu, Perak Corner Press mengingatkan orang ramai bahawa perkara sedemikian tidak mustahil berlaku jika orang ramai leka seperti membiarkan pendawaian elektrik usang di bangunan lama, membina lorong-lorong padat dan melakukan penyelenggaran sambil lewa.
“Jadi bila duduk minum kopi di kafe heritage atau ambil gambar depan bangunan kolonial, ingatlah bahawa semua itu pernah hampir hilang.
“Bandar ini pernah lumpuh, pernah terbakar, pernah trauma. Tapi dari puing-puing itulah Ipoh bangkit, berubah dan terus hidup,” katanya.

Insiden Kebakaran Dilaporkan Hampir Setiap Hari Ketika Itu
Blog British Malaya menyatakan bahawa insiden kebakaran dilaporkan dalam akhbar hampir setiap hari ketika bandar-bandar sedang giat berkembang ketika itu.
“Tidak dapat dinafikan bahawa risiko kebakaran lebih besar di Timur disebabkan oleh haba, susunan jalan yang sambil lewa, keadaan rumah yang saling berkumpul dengan satu sama lain dengan jalan yang kecil di antara mereka.
“Akhir sekali, ketidakcekapan pasukan bomba kita dan kebergantungan terhadap sumber air yang tidak menentu dan tidak cekap,” lapor salah satu akhbar ketika itu.
Pada tahun insiden The Great Fire berlaku, servis pemadaman api bergantung kepada pegawai polis dan para sukarelawan. Di Ipoh, orang ramai perlu mendapatkan air dari Sungai Kinta untuk memadamkan kebakaran.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Perasan Signboard IPOH ‘Berderet’ Lepas Simpang Pulai, Tapi Apa Sebenarnya Sebabnya?
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Kongsi Keadaan Gunung Di Ipoh Ditarah Raih Reaksi Berbeza
Baca Artikel Berkaitan: Gegaran & Bunyi Dentuman Di Ipoh Bukan Berpunca Dari Letupan Kuari



