fbpx
Now Reading
Kerap Senggugut Teruk? Ini Mungkin Petanda Penyakit Endometriosis Yang Wanita Patut Tahu

Kerap Senggugut Teruk? Ini Mungkin Petanda Penyakit Endometriosis Yang Wanita Patut Tahu

Untuk info, endometriosis ialah keadaan di mana tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kitaran haid merupakan satu proses semula jadi yang berlaku dalam kalangan para wanita secara umumnya.

Namun sewaktu haid, terdapat segelintir daripada kaum hawa yang mengalami sakit senggugut yang sangat kuat sehingga mengganggu kehidupan harian.

Penting untuk tahu bahawa sakit senggugut yang teruk bukanlah sesuatu yang normal, tetapi mungkin tanda anda mengalami masalah berkait peranakan.

Baca Artikel Berkaitan: Rasa Sakit Seakan Senggugut Tapi Belum Datang Haid? Mungkin Proses Ovulasi Sedang Berlaku

Baca Artikel Berkaitan: Ini Faktor Risiko Kanser Ovari, Jalankan Pemeriksaan Segera Jika Ada Salah Satu Simptom

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Darah Haid Terlalu Banyak, Mungkin Ada Fibroid Yang Boleh Sukarkan Kehamilan

Sakit Senggugut Sangat Teruk Boleh Disebabkan Oleh Endometriosis

Salah satu masalah yang mungkin dihadapi oleh kaum wanita sekiranya mengalami sakit senggugut yang teruk berbanding kebiasaan adalah endometriosis. Kira-kira 1 daripada setiap 10 wanita dan kanak-kanak perempuan mengalami masalah ini.

Menurut Mayo Clinic, endometriosis ialah keadaan di mana tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim dan kebiasaannya menjejaskan ovari, tiub falopio dan tisu yang melapisi kawasan pelvis.

Dalam kes yang lebih jarang, tisu endometriosis boleh ditemui di tempat selain kawasan organ pelvis seperti rektum, pundi kencing, usus, diaphragm, vagina dan paru-paru.

Berlainan dengan endometrium yang akan dikeluarkan menerusi haid, tisu terbabit akan kekal di dalam badan dan tidak dapat disingkirkan.

Di samping itu, endometriosis yang terjadi pada bahagian ovari boleh membentuk cyst yang digelar sebagai endometrioma. Perkara ini berisiko menjejaskan tisu berhampiran dan menjadi tisu parut (scar tissue).

Dalam keadaan yang lebih serius, tisu endometriosis boleh membentuk tisu gentian (fibrous tissue) yang seterusnya berisiko menyebabkan tisu dan organ pelvis saling melekat antara satu sama lain.

Ini Tanda-Tanda Endometriosis Yang Para Wanita Perlu Tahu

Berdasarkan perkongsian oleh Public Health Malaysia di Facebook, tanda-tanda endometriosis bukanlah sakit senggugut teruk sahaja, tetapi turut merangkumi:

  • Sakit semasa membuang air besar atau kecil sebelum dan ketika haid.
  • Sakit semasa atau selepas hubungan kelamin.
  • Haid yang sangat banyak (mungkin perlu tukar pad setiap 1 ke 2 jam) atau darah keluar di luar waktu haid.
  • Keletihan melampau dan sakit belakang berpanjangan.

Di samping itu, wanita yang mempunyai masalah endometriosis mungkin sering berasa penat, mengalami diarea, sembelit, kembung perut atau mual sebelum atau ketika haid.

Bagi sesetengah wanita, endometriosis boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan.

Malah, terdapat penghidap masalah ini yang tidak mempunyai simptom sama sekali dan hanya mendapat tahu tentangnya apabila tidak mampu mengandung.

Menurut NHS UK, endometriosis juga mungkin boleh menyebabkan seseorang mempunyai mood rendah atau mengalami kegelisahan.

Sekadar info, senggugut yang biasa tidak akan sehingga menyebabkan seseorang terpaksa cuti dari sekolah atau kerja.

Endometriosis Boleh Bermula Sejak Pertama Kali Haid

Endometriosis boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang mengalami haid yang mungkin bermula sejak pertama kali datang haid sehinggalah menopaus.

Diingatkan juga bahawa simptom mungkin dirasai bertahun selepas haid pertama dan boleh berkurangan buat seketika sewaktu hamil.

Penting untuk tahu bahawa risiko endometriosis boleh meningkat dengan faktor tertentu termasuk:

  1. Tidak pernah melahirkan bayi.
  2. Mula haid pada usia awal.
  3. Putus haid (menopause) pada usia lebih tua.
  4. Kitaran haid yang pendek, sebagai contoh kurang daripada 27 hari.
  5. Darah haid banyak yang berlansung lebih tujuh hari (menoragia).
  6. Mempunyai kadar estrogen tinggi dalam badan atau pendedahan seumur hidup yang lebih besar kepada estrogen yang dihasilkan oleh badan.
  7. Indeks jisim badan (BMI) rendah.
  8. Sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga mempunyai endometriosis, termasuk ibu, ibu saudara dan kakak/adik perempuan.

Sebab Sebenar Endometriosis Tidak Diketahui Setakat Ini

Malangnya, memandangkan endometriosis merupakan penyakit yang kompleks, penyebab sebenarnya tidak diketahui. Namun terdapat beberapa kemungkinan antaranya:

  • Haid berundur ke belakang memasuki tiub fallopio (Retrograde menstruation).
  • Faktor hormon atau imun yang mengubah sel peritoneal di dalam abdomen.
  • Hormon yang mungkin mengubah sel embrionik menjadi sel seakan endometrial.
  • Sel endometrial boleh melekat pada tisu parut yang ditinggalkan selepas pembedahan di bahagian perut.
  • Sel endometrial dibawa ke bahagian lain tubuh badan.
  • Masalah sistem imun yang membuatkan badan gagal mengesan dan memusnahkan tisu endometriosis.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa tiada cara untuk mengelak daripada mengalami endometriosis yang diketahui setakat ini.

Oleh itu, penting untuk meningkatkan kesedaran tentang endometriosis agar wanita yang mengalaminya dapat menyedari masalah ini dengan lebih awal dan mengambil langkah untuk mengurangkan simptom.

Endometriosis boleh didiagnosis menerusi pemeriksaan pelvis, imbasan ultrasound, imbasan MRI atau laparoskopi.

Sumber: Pexels

Tiada Penyembuh Untuk Endometriosis, Namun Simptom Boleh Dirawat

Menurut WHO, masalah endometriosis setakat ini masih tidak dapat disembuhkan sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, rawatan boleh dijalankan bagi mengurangkan atau menghilangkan simptom yang disebabkan olehnya.

Ini termasuklah pengambilan ubat-ubatan seperti NDAIS dan analgesik (painkiller) seperti iburofen dan naproxen untuk mengurangkan rasa sakit.

Terapi hormon juga boleh dijalankan bagi membantu mengawal kesakitan termasuk menerusi kaedah perancangan keluarga seperti pil, IUD, suntikan dan tampalan. Namun kaedah ini tidak sesuai bagi mereka yang merancang untuk hamil.

Dalam masa sama, wanita yang menghidap endometriosis dan mahu mendapatkan bayi tetapi sukar, perlu menjalani rawatan kesuburan.

Selain itu, tisu endometriosis boleh disingkirkan menerusi pembedahan termasuk secara laparoskopik.

Namun dalam kes yang lebih serius, histerektomi iaitu pembedahan untuk mengeluarkan keseluruhan uterus berserta ovari mungkin dilakukan sebagai jalan penyelesaian terakhir.

Bercakap kepada individu yang pernah melalui histerektomi akibat endometriosis, doktor memaklumkan bahawa tisu endometriosis sudah terlalu banyak di sekeliling uterus dan ovari yang menyebabkan organ itu perlu dibuang sepenuhnya.

Sumber gambar: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Haid Warna Coklat Normal Atau Tak? Ini Penjelasannya

Baca Artikel Berkaitan: Pap Smear, Mamogram & 3 Lagi Pemeriksaan Kesihatan Yang Kaum Hawa Wajib Tahu

Baca Artikel Berkaitan: Pesakit PCOS Saran Ikhtihar Buat Ujian Kesuburan Jika Masih Belum Dapat Anak & Sedang Jalani TTC

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.