Peniaga Lompat Tikam Sentuh Makanan Pakai Tangan & Bungkus Guna Surat Khabar Cetus Perdebatan [Video]
Ada netizen yang mempersoalkan tindakan peniaga wanita itu yang memegang pulut kuih lompat tikam menggunakan tangan selain dilihat memakai gelang dan cincin emas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebersihan merupakan aspek penting yang perlu dititik beratkan khususnya oleh setiap peniaga makanan.
Pengabaian aspek ini boleh mengundang bahaya antaranya seperti makanan tercemar sekaligus boleh menjejaskan kesihatan pelanggan yang membeli.
Kadangkala, ada segelintir peniaga yang mendakwa mereka telah menjaga kebersihan dengan membasuh tangan sebelum menyediakan makanan.
Namun di mata pelanggan, perbuatan itu sahaja tidak mencukupi lebih-lebih lagi sekiranya penampilan pengendali makanan itu tidak mengikut panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan.
Peniaga Kuih Pegang Makanan Tanpa Guna Sarung Tangan
Baru-baru ini, tular di media sosial aksi seorang peniaga kuih tradisional lompat tikam yang membungkus kuih jualannya.
Menerusi video di TikTok yang tular, kelihatan peniaga wanita yang memakai pelitup muka berkenaan sedang bersiap sedia memulakan jualan dengan menyusun bahan di hadapannya sambil dibantu seorang lelaki.
Apa yang menjadi perhatian adalah cara peniaga wanita itu memegang bahan dan kuih berwarna hijau dengan hanya menggunakan tangannya.
Malah dapat dilihat dia turut memakai aksesori perhiasan diri seperti cincin dan gelang emas ketika mengendalikan makanan.
Bungkus Makanan Guna Kertas Pembungkus & Surat Khabar
Bukan itu sahaja, sewaktu membungkus makanan, dia dilihat menggunakan tangannya untuk mencubit sebahagian pulut berwarna merah yang dinikmati bersama kuih tradisional itu.
Peniaga berkenaan turut membalut kuih lompat tikam itu dengan menggunakan surat khabar. Ia bagaimanapun dilapik menggunakan kertas pembungkus makanan berwarna coklat.
Malah, turut terdapat kuah santan yang dimakan bersama kuih tersebut dituangkan pada kertas berkenaan.
Difahamkan, peniaga itu menjual kuih lompat tikam berkenaan dengan harga yang amat murah iaitu RM1 sebungkus di Pasar Berek 12, Kota Bharu, Kelantan.
@azim_farhan Lompat tikam RM1 sahaja sebungkus di aras 1 Pasar Berek 12
♬ KELATE KITO – -𝕫𝕒𝕝𝕒𝕟𝕚-
Tonton video penuh [DI SINI]
Pengguna Media Sosial Beri Pendapat Masing-Masing
Video yang telah mendapat lebih 1.9 juta tontonan dan turut dikongsikan di platform lain itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial hingga mencetuskan perdebatan.
Ini kerana cara penyediaan makanan oleh peniaga itu disifatkan tidak mematuhi garis panduan penyediaan makanan.
Menjengah ke ruangan komen, masing-masing mempunyai pendapat tersendiri sebaik melihat cara peniaga tersebut mengendalikan makanan.
Ada yang berpendapat peniaga tersebut sepatutnya menitik beratkan aspek kebersihan khususnya dalam berniaga makanan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.
Ada juga yang mempersoal mengenai caranya yang menyentuh makanan tanpa menggunakan sarung tangan serta pemakaian aksesori seperti barang kemas.
Pun begitu, segelintir individu yang dipercayai merupakan pelanggan setia peniaga berkenaan menjelaskan perbuatan sebegitu telah lama dilakukannya.
Malah, mereka mendakwa tidak pula kedengaran berita atau kes keracunan makanan yang dialami oleh pelanggan peniaga itu.
Bukan itu sahaja, ada yang memuji kesedapan jualan kuih lompat tikam yang dijual oleh peniaga itu.
Info Mengenai Etika Pakaian Pengendali Makanan
Untuk info, seorang pengendali makanan perlulah mematuhi etika pakaian mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM.
Seorang pengendali makanan wajib mematuhi etika pakaian seperti;
- Memakai pakaian bersih dan kemas
- Pastikan rambut tidak terdedah dan memakai penutup kepala seperti hairnet, topi, tudung
- Memakai kasut bertutup dan tidak licin
- Tidak memakai barang kemas atau barang perhiasan di tanagan.
- Pastikan kuku sentiasa pendek, tidak berwarna serta tidak memakai kuku palsu
- Pastikan apron sentiasa bersih dan ditukar jika kotor
🔴 PENGENDALI MAKANAN WAJIB TAHU! Nak masak sedap tak cukup kalau tak jaga kebersihan dan pakaian! 👩🍳👨🍳 Menurut garis…
Posted by Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan on Wednesday 11 June 2025
Jadikan Surat Khabar Sebagai Pembungkus Makanan Amat Berbahaya Namun Ada Caranya
Selain itu, ada segelintir peniaga dilihat menggunakan surat khabar sebagai alternatif untuk membalut dan membungkus makanan contohnya seperti nasi lemak.
Menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Facebook, surat khabar amat berbahaya dan mengandungi bahan kimia seperti karbon, logam berat dan pelarut.
“Menurut Pusat Racun Negara, dakwat yang digunakan untuk mencetak akhbar mempunyai kebarangkalian yang tinggi menggunakan bahan kimia yang boleh menjadi punca kepada beberapa jenis penyakit kronik,” tulis mereka.
Surat khabar sering digunakan sebagai pembalut dan pembungkus makanan terutamanya seperti nasi lemak. Namun perbuatan…
Posted by Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) on Friday 2 April 2021
Malah, terdapat undang-undang yang mengawal kebersihan makanan di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Jika gagal pengendali boleh dipenalti tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun tau!” tulis mereka.
Namun, peniaga masih boleh menggunakan surat khabar sebagai pembungkus makanan asalkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM seperti membenarkan surat khabar digunakan sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan yang sedia dimakan dan tidak bersentuhan secara langsung dengan makanan, lapor Astro Awani.
Malah, ia juga perlu dikendalikan dengan cara yang dapat mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan tersebut melalui apa jua cara.
“Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada waktu itu.
Ini antara komen pengguna TikTok:
“Setahu Saya, Setiap Pengendali Makanan Perlu Dalam Keadaan Bersih Terutama Dilarang Memakai Barang Perhiasan Seperti Gelang & Cincin”

“Nak Tag KKM La Atau Diminta Siapa-Siapa Kenalan Mak Cik Mintalah Nasihat Dia Pergi Kursus Pengendalian Makanan”

“Aku Rasa Mak Cik Ni Mesti Dah Berniaga Bertahun-Tahun, Pelanggan Pun Dah Makan Hasil Air Tangan Dia, Kalau Ada Kes, Mesti Kedai Dia Dah Tutupkan”

“Dia Tak Ada Masalah Pun Sebenarnya Tapi Kalau Mak Cik Tu Tak Pegang Surat Khabar Pakai Tangan Sama, Air Cuci Bagi Pulut Tak Lekat Bukan Cuci Tangan”

Baca Artikel Berkaitan: “Geli Tekak Aku” – Wanita Luah Rasa Kecewa, Daun Pisang Balut Pulut Sambal Yang Dibeli Kotor [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ditegur Pakai Sarung Tangan, Konten Balas Dari Peniaga Undang Pelbagai Reaksi [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tak Suka Lihat Botol Kicap & Lada Sulah Dihidangkan Atas Meja Kotor, Wanita Bersihkan Hingga Berkilat [Video]



