Ibu Terkilan, Dakwa Cikgu Arah Anak Ketuk Ketampi 30 Kali Kerana Tak Dapat Bayar Denda 50 Sen
Menurut ibu dikenali sebagai Aida, anaknya mengadu sakit kaki selepas mendakwa cikgu di sekolah memberi hukuman 30 ketuk ketampi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum sedia maklum, guru merupakan insan yang banyak berjasa bagi mendidik anak murid sehingga berjaya bukan sahaja dari segi pelajaran tetapi juga untuk mengasah akhlak dan salsiah seseorang.
Namun kadangkala, ada juga peraturan tidak masuk akal ditetapkan oleh segelintir golongan pendidik semasa di alam persekolahan. Seperti sebelum ini, tular di media sosial apabila ada individu tidak dikenali mendakwa seorang guru di Kelantan kerap memeriksa tuala wanita yang dipakai oleh golongan murid perempuan.
Bagaimanapun, kes itu dikatakan telah pun dilaporkan ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Baca Artikel Berkaitan: “Niat Tak Halalkan Cara” – Wanita Ini Gesa Guru Sekolah Henti Periksa Pad Murid Untuk Pastikan Haid
Cikgu Didakwa Denda Murid Buat 30 Ketuk Ketampi & Minta Duit Pelajar
Terbaharu, tular satu hantaran di laman Threads apabila seorang wanita dikenali sebagai Aida Jelita berkongsi tentang luahan si anak berumur 13 tahun semasa berada di sekolah.
Jelas Aida, anaknya mengalami sakit di bahagian kaki selepas mendakwa cikgu di sekolah mengarah untuk ketuk ketampi sebanyak 30 kali. Dakwa murid itu, guru berkenaan melakukan perkara tersebut kerana keadaan kelas yang dikatakan kotor.
Namun perkara yang mengudang perhatian adalah apabila hukuman itu dikenakan terhadap anak Aida sahaja memandangkan pelajar-pelajar lain didakwa telah membayar 50 sen kepada pendidik terbabit.
“Dia sorang je kena buat sebab dia tak ada 50 sen. Budak lain ada duit bayar denda tak payah ketuk ketampi. Baru tahu rupanya pilihan duit vs hukuman ni ada di sekolah juga?” tanya Aida.
Namun menurut wanita terbabit, dia mahu bertanya kepada penjaga murid lain mengenai isu itu bagi mengesahkan sama ada kejadian tersebut memang benar-benar berlaku ataupun sebaliknya.
View on Threads
Murid Pada Awalnya Perlu Buat 10 Ketuk Ketampi & Bayar 50 Sen
Selepas siasat dengan lebih lanjut, Aida mendapati murid-murid tersebut perlu membuat ketuk ketampi sebanyak 10 kali dan membayar 50 sen. Buat mereka yang tidak mempunyai 50 sen, murid perlu tambah 20 lagi ketuk ketampi.
Ujar Aida, anaknya tidak membawa duit pada hari berkenaan kerana telah disediakan bekal.
Oleh disebabkan kejadian itu, Aida terus meletakkan duit di dalam beg sekolahnya. Isu ini disahkan oleh salah seorang ibu kepada murid dalam kelas yang sama.
“Info update saya tu pun saya tanya ibu sorang ni dari anak kelas yang sama. Dia pun cakap anak dia tak bawak duit tapi sempat pinjam dari budak yang duduk sebelahnya. Jadi dia ketuk ketampi 10 kali dan bayar 50 sen. Anak saya tu lurus bendul tak sempat tanya orang nak pinjam duit,” dedahnya.
View on Threads
Ramai Berang Murid Diajar Untuk Selesaikan Masalah Dengan Duit
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai berasa berang dengan dakwaan murid diminta 50 sen hanya kerana kelas yang tidak bersih.
“Kenapa denda nak kena bayar? Kalau kena ketuk ketampi, biar semua kena. Kalau kena bayar, biar semua kena bayar. Tapi baik denda dari ajar murid semua benda boleh bayar dengan duit. Eh macam rasuah pula,” kata seotang pengguna Threads.
Malah ramai juga tidak bersetuju dengan cara guru itu mendidik anak murid menggunakan duit.
“Mindset, ‘Semuanya boleh selesai dengan duit. Kalau kau ada duit, kau boleh terlepas dari hukuman,’ dah pun diterapkan minda kanak-kanak,” ujar seorang wanita.
Sementara itu, ramai juga memberi cadangan agar Aida melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
“Tanya ibu bapa lain dan guru kelas. Kalau betul, awak boleh buat aduan kepada pihak sekolah atau SISPAA. Tak wajar hukuman tu kalau betul,” kata seorang netizen.





Baca Artikel Berkaitan: Polis Terima 4 Laporan Berhubung Dakwaan Murid Dipukul Dengan Penyapu Di Kem Motivasi
Baca Artikel Berkaitan: Murid Yang Dipercayai Didenda Berjemur Tengah Panas Mungkin Jadi OKU
Baca Artikel Berkaitan: “Kesiannya Baru Darjah 1” – Ustazah Didakwa Lempang Murid Hanya Sebab Tak Jumpa Surat