fbpx

Cikgu Disiplin Siap Sediakan Snek, Stokin & Makanan Untuk Santuni Pelajar Raih Perhatian [Video]

Menerusi video yang dikongsikan Mr Ali, dia berpendapat seorang guru disiplin tidak semestinya perlu menggunakan pendekatan yang keras sebaliknya menyantuni para pelajar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kerjaya sebagai seorang guru bukanlah satu perkara yang mudah, ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak bangsa.

Malah ada juga yang mengumpakan menjadi guru seperti lilin yang membakar diri sendiri kerana mereka bukan sekadar mengorbankan tenaga tetapi masa untuk memberikan perhatian kepada anak didik.

Setiap penat lelah itu tidak diminta sebarang balasan sebaliknya cukup jika dapat melihat anak murid menjadi insan yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.

Guru selalu bawa makanan kerana mahu santuni pelajar

Baru-baru ini seorang guru yang terkenal membuat kek batik di media sosial, Mr Ali Cakes telah berkongsi inisiatif yang dilakukannya untuk mendekati pelajar.

Mr Ali yang juga seorang guru disiplin di sebuah sekolah memaklumkan para pelajar adalah sebahagian daripada hidupnya.

Jelasnya, itu juga adalah sebab mengapa dia gemar membuat manisan dan membungkusnya dalam pek kecil untuk dimakan bersama-sama.

Menjadi guru disiplin buat Mr Ali mendalami perasaan pelajar

Menurut Mr Ali mungkin ramai pengikutnya di media sosial tidak mengetahui yang beliau sebenarnya adalah guru disiplin dan sejak awal mula memuat naik video masakan dia sememangnya berada di bawah hal ehwal murid.

“Semakin saya dalam bidang (guru disiplin) ini semakin saya menyelami perasaan anak-anak. Disiplin tak semestinya kena menengking, kadang ianya menyantuni.

“Jadi saya wujudkan bilik bahasa Inggeris, ambil masa tiga tahun untuk saya siapkan bilik ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Thread.

Sediakan bilik Bahasa Inggeris dengan snek, stokin, dan buku aktiviti untuk kemudahan murid

Dalam hantaran sama Mr Ali turut berkongsi satu video memaparkan Point Of View (POV) apabila seseorang mencintai perkerjaan yang dilakukannya.

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan Mr Ali sering membawa makanan buat anak-anak muridnya.

Malah dia menyediakan makanan itu sebagai ‘reward’ dan ia bukan hanya untuk pelajar tetapi dia juga memberikannya kepada para guru.

Antara makanan yang sering dibawa adalah kek batik yang dibuat sendiri, buah-buahan, karipap, pisang goreng, coklat premium jenama Patchi, kek dan banyak lagi.

Selain itu, Mr Ali juga berkongsi antara barangan yang disediakan buat para pelajarnya di dalam bilik Panitia Bahasa Inggeris.

“Stokin saya sediakan sebab stokin dia orang (pelajarnya) selalu koyak. Jadi saya sediakan siap-siap.”

Selain itu dia juga menyediakan buku latihan pelbagai subjek, bahan pembelajaran, snek, permainan seperti Scrabble dan chess serta bilik yang lengkap dengan meja untuk kemudahan pelajar-pelajarnya.

Kelihatan bilik yang disediakan begitu selesa dan cantik, sekali gus membuatkan kanak-kanak pasti berasa senang untuk berada dalam ruang tersebut.

“Saya nak murid rasa sekolah ni macam rumah yang selamat untuk mereka. Masa kanak-kanak saya, orang hina sebab susah. Bila dah besar jadi cikgu saya tak akan bagi anak murid saya rasa apa yang saya rasa dulu. Seorang guru cuma mahukan anak muridnya berjaya dunia akhirat,” katanya lagi.

View on Threads

Ramai suka lihat konten Mr Ali buat kek untuk murid, siap nak jadi pelajar

Melihat di ruangan komen, ramai yang ingin menjadi pelajar Mr Ali. Malah ada juga yang meluahkan mereka juga teringin merasai kek atau pencuci mulut yang dibuat oleh guru berkenaan.

Tidak kurang ada yang memuji Mr Ali seorang guru yang terbaik serta mendoakan kebaikan buatnya kerana menyantuni pelajar dengan ikhlas.

Selain itu, hantaran tersebut juga membuatkan ada individu terinspirasi dan ingin melakukan perkara sama sepertinya.

“Macam mana nak jadi anak murid Mr Ali? Nak dapat patchi juga”

“Saya doakan cikgu masuk ke syurga tanpa hisab sebab menyantuni budak-budak seikhlas hati”
“Wah, ini sangat inspiring. Saya teringin sangat nak buat bilik komuniti macam ni untuk anak-anak yang tiada tempat dituju selepas sekolah. Boleh duduk ulang kaji, main board game, sekadar berehat atau menonton tb..”
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.