Nahas Air India: 6 Tahun Berjauhan, Impian 5 Sekeluarga Nak Mula Hidup Baru Musnah Sekelip Mata
Isteri Dr Pratik iaitu Dr Komi Vyas yang juga pengamal perubatan telah berhenti kerja untuk mengikuti suaminya menetap di London bersama-sama tiga anak mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Semalam (12 Jun), dunia dikejutkan dengan berita sebuah kapal terbang komersial, Air India terhempas di bandar Ahmedabad, India yang mengorbankan 241 penumpang, manakala seorang terselamat.
Ketika ini, di media sosial, ramai yang berkongsi gambar-gambar serta video selepas insiden yang memaparkan serpihan bangkai pesawat dan kepulan asap hitam.
Tidak kurang juga sohor di laman X rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan saat pesawat itu berlepas sebelum secara tiba-tiba kembali menurun dan terhempas.
Tular gambar swafoto sebuah keluarga kali terakhir sebelum pesawat berlepas
Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan ramai pula ialah penularan gambar swafoto kali terakhir sebuah keluarga yang menaiki pesawat berkenaan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik bekas juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol di Facebook, individu di dalam gambar tersebut merupakan Dr Pratik Joshi bersama isteri dan anak-anaknya.
Menurutnya, Dr Pratik yang telah menetap selama enam tahun di London sudah lama mengimpikan untuk membina masa depan yang lebih baik di luar negara untuk isteri dan tiga anak kecil mereka yang selama ini berada di India.
Menerusi carian kami, Dr Pratik bertugas sebagai Radiologist di Royal Derby Hospital.

Isteri sanggup berhenti kerja di India demi ikut suami menetap di London
Jelas Mohd Ezairol, isteri Dr Pratik iaitu Dr Komi Vyas yang juga pengamal perubatan telah berhenti kerja untuk mengikuti suaminya menetap di London bersama-sama tiga anak mereka.
“Selepas bertahun-tahun perancangan, kerja keras dan sabar, impian itu akhirnya menjadi kenyataan. Hanya dua hari yang lalu isterinya, Dr Komi Vyas yang juga seorang profesional dan pengamal perubatan meletak jawatan daripada pekerjaannya di India.
“Beg telah dibungkus rapi, ucapan selamat tinggal telah pun dilafazkan dan masa depan yang gemilang menanit mereka di tempat baru,” katanya.
Impian mula hidup baru 5 beranak musnah sekelip mata
Pun begitu, impian untuk hidup bersama-sama di Londoh setelah enam tahun hidup berjauhan akhirnya musnah dengan sekelip mata selepas kesemua mereka terkorban dalam nahas terbabit.
“Semalam, kelima-lima mereka, penuh dengan harapan, keterujaan, dan perancangan, menaiki penerbangan Air India 171 untuk ke London.
“Mereka sempat berswafoto, dan kemudian foto indah ini dihantar kepada saudara mara sebagai tanda untuk memulakan perjalanan dan membina hidup baru,” katanya lagi.
Hidup ini sangat rapuh, kita bergantung pada qada dan qadar Tuhan
Berkongsi lanjut, Mohd Ezairol berkata kejadian itu merupakan peringatan buat semua bahawa hidup ini sangat rapuh dan segala perancangan bergantung pada qada dan qadar Tuhan.
“Semua yang kita bina, semua yang kita harapkan, semua yang kita suka, semuanya bergantung pada qada dan qadar Tuhan. Jadi selagi kita masih hidup, hargai dan tunjukkanlah kasih sayang kita pada orang² yang kita sayang.
“Jangan tunggu esok untuk kita tunjukkan kerana mungkin esok itu tidak bermakna lagi buat mereka atau kita,” ujarnya.
Pesawat dalam perjalanan ke London terhempas selepas beberapa saat berlepas
Terdahulu, pesawat Air India yang dalam perjalanan ke London, United Kingdom itu terhempas selepas beberapa saat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel pada jam 1.39 tengah hari waktu tempatan.
Menurut laporan BBC, pesawat jenis Boeing 787-800 itu terhempas di kawasan perumahan dan merempuh kompleks hospital serta asrama pelajar perubatan.
Pesawat terbabit dilaporkan membawa 230 penumpang dan 12 anak kapal. Dan dari jumlah berkenaan, seramai 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, 7 Portugal dan seorang warga Kanada.
Insiden tersebut turut mengorbankan puluhan nyawa individu lain yang berada di sekitar kawasan pesawat terhempas.
Baca Artikel Berkaitan: Pesawat Air India Terhempas: Ini Apa Yang Diketahui Setakat Ini [Video]



