Ini Peranan Senator & Fungsi Dewan Negara Dalam Pentadbiran Malaysia Yang Patut Korang Tahu
Pemilihan senator yang merupakan ahli Dewan Negara tidaklah sama seperti ahli Dewan Rakyat di mana keahliannya dipilih menerusi pilihan raya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai peletakan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua Bahagian Kota Raja dan ahli pada 30 Mei lalu.
Lebih mengejutkan, beliau yang merupakan senator juga menyuarakan hasrat mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden dan Setiausaha parti tersebut.
Pengumuman itu nyata mengejutkan ramai pihak hingga timbul dakwaan yang mengatakan Tengku Zafrul bertindak demikian hanya untuk mengekalkan jawatannya sebagai menteri.
Ia memandangkan tempoh perkhidmatan sebagai senator yang bermula pada 3 Disember 2022 akan berakhir hujung tahun ini.
Bukan itu sahaja, situasi ini turut membuatkan ada yang tertanya tentang peranan sebenar senator dan fungsinya dalam pentadbiran Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: “Cetus PRK Tanpa Keperluan Mendesak Bazir Duit Rakyat”- Tengku Zafrul
Baca Artikel Berkaitan: Tengku Zafrul Letak Jawatan UMNO, Mahu Sertai PKR
Dewan Negara Sebahagian Daripada Sistem Demokrasi Berparlimen
Umumnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negara.
Selain YDPA, parlimen juga terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang merupakan institusi tertinggi dan berfungsi menggubal undang-undang Malaysia.
Bila bercakap tentang politik, ramai yang hanya mengaitkannya dengan Dewan Rakyat.
Sedangkan Dewan Negara juga memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar dan undang-undang negara.
Ringkasnya, ahli Dewan Rakyat dipanggil sebagai ahli parlimen manakala ahli Dewan Negara pula digelar sebagai senator.

Ini Info & Fungsi Senator Yang Merupakan Ahli Dewan Negara
Buat anda yang tidak tahu, Dewan Negara terdiri daripada 70 orang ahli di mana:
- 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili dua orang ahli)
- 44 ahli dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri termasuk dua orang wakil daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang daripada Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya
Ini bermaksud pemilihan senator tidaklah sama seperti ahli Dewan Rakyat yang keahliannya dipilih menerusi pilihan raya.
Kesemua ahli dilantik dan dipilih berdasarkan sumbangan dan kejayaan mereka yang cemerlang dalam profesion masing-masing sama ada dalam bidang perdagangan, industri, pertanian atau perkhidmatan sosial.
Ini antara syarat seseorang itu layak menjadi calon senator:
- Warganegara Malaysia
- Umur tidak kurang daripada 30 tahun
- Sempurna akal
- Tidak muflis
Jawatan senator yang disandang pula adalah bagi tempoh satu penggal iaitu tiga tahun. Namun, ia boleh dilanjutkan sepenggal lagi.
Menariknya, pembubaran parlimen tidak akan menjejaskan pelantikan senator sebagai ahli Dewan Negara.
Fungsi Senator Ahli Dewan Negara
Secara asasnya Dewan Negara berfungsi mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dibawa naik oleh Dewan Rakyat.
Kedua-dua dewan ini perlu meluluskan rang undang-undang yang dibuat sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda.

Jadi apa peranan senator yang juga ahli Dewan Negara di sini? Dimudahkan, mereka adalah:
- Merupakan Majlis Tertinggi atau Senat
- Bertanggungjawab membahas rang undang-undang (RUU) yang telah dibentuk di Dewan Rakyat dengan lebih terperinci dan halus.
- Menyemak dan meluluskan RUU sebelum ia dikemukakan kepada YDPA.
- Boleh menangguh RUU yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi tidak boleh menolaknya
- Berfungsi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum.
Jaga kepentingan & kebajikan kumpulan yang diwakili
Malah, mereka juga mewakili kumpulan bangsa minoriti atau menjaga kepentingan orang asli (OA).
Senator juga berfungsi mewakili atau membangkitkan isu permasalahan yang berlaku dalam sesuatu industri, sebagai contoh Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin – penggiat seni pertama yang dilantik sebagai senator pada tahun 20004.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau banyak membangkitkan permasalahan dan kebajikan karyawan sebagai contoh isu hak cipta, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan penggiat seni dan banyak lagi.
Begitu juga Datuk Ras Adiba Radzi yang dilantik sebagai wakil Orang Kurang Upaya (OKU) pada tahun 2000 dengan misi beliau pada waktu itu untuk memperjuangkan nasib mereka.
Selain Ras Adiba, dua lagi individu yang pernah dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan OKU adalah Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md. Salleh (pertama) dan Bathmavathi Krishnan (kedua).
Menteri Juga Sebenarnya Boleh Dilantik Dari Kalangan Senator
Bila sebut tentang jawatan Menteri, ramai yang beranggapan hanya ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen) sahaja yang layak dan boleh dipilih menjawat jawatan tersebut.
Sedangkan hakikatnya seorang senator juga boleh dilantik menjadi seorang menteri, malah di Malaysia sudah terdapat ramai menteri yang merupakan lantikan senator.
Ia berdasarkan syarat di bawah Perkara 43 (2)(b), Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang Menteri hendaklah menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Malah senator yang dilantik menjadi menteri juga tidak terikat dengan akta antilompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) sekiranya mereka keluar dari parti ketika berada dalam jemaah menteri berbanding Ahli Parlimen biasa, seperti yang disebut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sebagai contoh adalah Tengku Zafrul yang baru-baru ini mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.
Semakan kami turut mendapati kandungan pindaan 49(a) dalam akta sama hanya menyebut tentang ahli Dewan Rakyat dan bukannya ahli Dewan Negara.


Senarai Senator Yang Pegang Jawatan Menteri & Timbalan Menteri
Selain Tengku Zafrul, ini antara senator yang menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri pada ketika ini:
- Datuk Saifuddin Nasution – Menteri Dalam Negeri
- Datuk Dr Zambry bin Abdul Kadir – Menteri Pendidikan Tinggi
- Datuk Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Mokhtar – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
- Datuk Seri Utama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)
- Datuk Seri Amir Hamzah Azizan – Menteri Kewangan II
- Dr Hajah Fuziah Salleh – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup
- Puan Saraswathy Kandasami – Timbalan Menteri Perpaduan Negara
- Dr Zulkifli bin Hasan – Timbalan Menteri Agama

Malah, sebelum ini juga, ada senator yang pernah menyandang jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri.
Antaranya seperti Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan beberapa lagi.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada jawatan menteri atau timbalan menteri dilantik dari kalangan mereka yang terdiri daripada ahli Dewan Negara.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Ibrahim Titah Parlimen Bukan Tempat Memaki Hamun, Wakil Rakyat Perlu Jadi Benteng Perpaduan Negara
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Belanja RM44 Juta, Biaya 236 Lawatan Menteri Ke Luar Negara Sepanjang 2024



