fbpx
Now Reading
Gara-gara Kutuk Bos Di Media Sosial, Staf FAMA Kena Denda RM10,000

Gara-gara Kutuk Bos Di Media Sosial, Staf FAMA Kena Denda RM10,000

Tertuduh telah menggunakan aplikasi X menerusi akaun ‘Senator Antonio Samad’ dan secara sedar membuat penghantaran jelik mengenai bosnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui, tindakan mengeluarkan kata yang tidak baik atau buruk mengenai orang lain di khalayak atau media sosial adalah perkara yang salah.

Ini kerana setiap kata-kata yang dikeluarkan itu bukan sahaja boleh mengaibkan seseorang sebaliknya mengundang kepada fitnah yang akan memburukkan keadaan.

Malah individu yang diaibkan atau difitnah juga boleh mengambil tindakan undang-undang atas perbuatan menyebarkan perkara tak benar atau memalukan mereka.

Kutuk bos di media sosial, staf FAMA terpaksa bayar denda RM10,000

Terbaharu, seorang staf di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka telah dikenakan denda sejumlah RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka.

Kakitangan FAMA itu dikenakan denda sebaik dia mengaku bersalah atas tindakan melakukan komunikasi jelik kepada bekas pengarah negeri di jabatan terbabit pada dua tahun yang lalu.

Mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca, guna aplikasi X muat naik hantaran jelik

Menurut Hakim Haderiah Siri, beliau membuat keputusan berkenaan selepas Orang Kena Saman (OKS), Adi Ariff Ahmad yang berusia 51 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan pihak jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kakitangan berkenaan telah menggunakan aplikasi X menerusi akaun ‘Senatorrr Antonio Samad’ dan secara sedar melakukan serta memulakan penghantaran komunikasi atau memuat naik hantaran yang jelik.

Memetik laporan Kosmo, dalam hantaran tersebut tertuduh menulis “Pengarah FAMA Melaka ni nak kerja ke nak berniaga? Ke nak jadi kartel?” dan “Menurut sumber dalaman, rakan niaga or rakan subahatnya yang juga staff dia berhari2 (hari) tak datang kerja katanya dia payung cukup2 (cukup).. Minta exco Pertanian Melaka n (dan) KP FAMA buat siasatan perangai mamat ni.”

Hantaran itu dilihat sekitar jam 5 petang di sebuah rumah beralamat Jalan Kelubi Damai 1, Taman Kelubi Damai dalam daerah Jasin pada 11 Oktober 2023.

Ekoran daripada tindakan tersebut, tertuduh kemudian didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut seksyen 233(3) akta sama di mana hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tahun atau kedua-duanya sekali.

Kakitangan FAMA berkenaan juga boleh didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 untuk setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitannya.

Rayu untuk hukuman denda rendah kerana pencari nafkah tunggal dan tanggung keluarga serta anak masih belajar

Tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam kemudiannya merayu agar hukuman denda rendah dikenakan.

Ini kerana, tertuduh memberi alasan dirinya adalah pencari nafkah tunggal buat keluarga selain menyara isteri termasuk empat orang anak yang masih lagi belajar.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal serta bersesuaian dengan trend hukuman semasa diberikan kepada tertuduh.

Sebaik mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh perlu membayar denda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Sebagai info sebarang kandungan di media sosial yang dikategorikan sebagai jelik boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut Seksyen 233 yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.