Nahas Bas UPSI: Mangsa Maut Dikategori Syahid Akhirat – Mufti Pulau Pinang
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, kemalangan yang menimpa penuntut UPSI dalam insiden itu adalah satu musibah besar buat keluarga dan masyarakat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebanyakan rakyat Malaysia pada ketika ini pastinya masih terkesan dan berduka dengan tragedi kemalangan maut bas yang membawa 44 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi semalam (9 Jun).
Insiden itu berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik sekitar pukul 1.10 pagi dan telah mengorbankan 15 mangsa di mana kesemuanya adalah pelajar UPSI.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Bas UPSI: “Hantar Anak Malam Tadi, Pagi Ini Dapat Tahu Dia Meninggal Dunia” – Ibu
Para mahasiswa muda itu terlibat kemalangan ketika ingin pulang semula ke kampus UPSI di Tanjong Malim untuk menuntut ilmu setelah menyambut Hari Raya Aidiladha pada Sabtu lalu bersama ahli keluarga di kampung halaman mereka di Jertih, Terengganu.
Penuntut UPSI yang maut dalam kemalangan dikategorikan mati syahid
Terbaharu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menyatakan para penuntut UPSI yang maut akibat kemalangan itu tergolong dalam kategori syahid akhirat kerana sedang berjihad untuk menuntut ilmu.
Beliau berkata demikian berpandukan pandangan tokoh ulama iaitu Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh ‘Atiyyah Saqr dan lain-lain yang menyatakan umat Islam meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya bukan akibat kecuaian atau maksiat sendiri, termasuk dalam kategori syahid akhirat.
Menurutnya, meskipun kemalangan jalan raya tidak disebut secara khusus dalam hadis, ulama kontemporari memasukkannya dalam qiyas terhadap kematian tertimpa atau terbakar yang mengejut dan menyakitkan, serta tidak disengajakan oleh mangsa.
“Dalam insiden tragis yang menimpa sekumpulan penuntut dalam perjalanan ke institusi pengajian tinggi, persoalan adakah mereka syahid sangat relevan, khususnya kepada waris dan masyarakat yang ingin memahami kedudukan sebenar mangsa di sisi agama.
“Ulama membahagikan syahid kepada tiga kategori iaitu syahid dunia dan akhirat, syahid dunia saja serta syahid akhirat iaitu mereka yang tidak meninggal dunia di medan jihad, tetapi (meninggal dunia) dalam keadaan tertentu disebut dalam hadith Nabi seperti mati lemas, terbakar, tertimbus dan sebagainya.
“Dalam kes kemalangan itu, mangsa adalah penumpang dan penuntut universiti yang dalam perjalanan menuntut ilmu, maka insya-Allah mereka tergolong dalam kategori syahid akhirat, iaitu diberi ganjaran besar oleh Allah di akhirat kelak. Bagaimanapun, jenazah mereka tetap dimandikan dan disolatkan sebagaimana jenazah biasa,” katanya dipetik Harian Metro.
Insiden yang berlaku satu musibah besar buat keluarga dan masyarakat
Ujar beliau lagi, kemalangan yang menimpa bakal guru dalam insiden yang berlaku itu adalah satu musibah besar buat keluarga dan masyarakat.
Bagaimanapun, Mohd Sukki berkata, dalam sudut pandang Islam, ia juga peluang untuk mangsa terkorban mendapat kedudukan mulia jika memenuhi syarat syahid akhirat yang digariskan oleh syarak.
“Justeru, saya berharap keluarga dapat bersabar dengan ujian yang berat ini. Kita doakan semoga Allah SWT mengurniakan pahala syahid dan melapangkan kubur si mati serta mengurniakan ganjaran sabar yang besar kepada waris ditinggalkan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera dashcam yang memperlihatkan saat bas persiaran yang membawa penuntut UPSI itu terbalik sebelum merempuh Perodua Alza.







