Haram Jual Beli Emas Secara Ansuran Walaupun 0% Interest Rate? Ini Penjelasannya
Berdasarkan hadis, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kita semua pasti tahu emas merupakan salah satu barangan perhiasan untuk melengkapkan lagi penampilan seseorang wanita.
Malah, pasti ramai yang tahu jika emas juga boleh dijadikan sebagai aset pelaburan untuk jangka masa panjang.
Hal ini kerana, saban tahun, harga emas bagi setiap gram semakin meningkat tidak seperti aset-aset yang lain.
Baca Artikel Berkaitan: “Nilai Naik Hampir 150%” – Tular Wanita Jual Semula Gelang Emas Dibeli 7 Tahun Lalu
Ramai tak tahu emas tak boleh dijual beli secara ansuran walaupun 0% interest rate
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial satu hantaran yang menyatakan bahawa hukum membeli emas secara ansuran adalah haram meskipun tidak dikenakan sebarang kadar faedah (0% interest rate).
Hantaran yang dimuat naik oleh seorang wanita di akaun Threads miliknya (@ameeracls) itu kemudiannya mendapat perhatian ramai dan ternyata masih ada individu-individu yang tidak mengetahui tentang perkara itu.
Wanita berkenaan turut berkongsi beberapa sumber rujukan berhubung perkara itu yang diambil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
View on Threads
Jual beli emas secara ansuran ada unsur riba al-nasiah
Menurut laman web Pejabat Mufti WP, jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Hal ini kerana emas dikategorikan sebagai item ribawi iaitu barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba.
Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot).”
Hadis Muslim (1587)
Jual beli item ribawi mestilah dilakukan secara serta-merta
Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.
Ini bermakna jual beli emas hendaklah dilakukan secara ‘on the spot’ dalam satu majlis, sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran).
Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu meskipun dikenakan 0% kadar faedahnya.
Pembeli boleh buat pinjaman duit daripada pihak ketiga seperti kredit kad
Menurut Pejabat Mufti WP lagi, bagaimanapun sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.
Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.
Pembayaran melalui kad kredit pula masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh daripada pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut.
Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Hukum jual beli emas secara trade-in
Hukum trade-in emas seperti syiling, jongkong, dinar adalah haram kerana kaedah tersebut terdedah dengan unsur riba al-fadl (bayaran tambahan).
Manakala trade-in emas perhiasan pula dibenarkan kerana ia tidak lagi dianggap mata wang sebagai sifat asal dan terkeluar daripada illah ribawi (sebab yang memungkinkan berlakunya riba) iaitu harga (al-thaman).
Keputusan ini berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas.
Kesimpulan jual beli emas, ambil tahu jangan terus dibelenggu ragu-ragu
Kesimpulannya, emas (dinar, jongkong, syiling emas) sebagai pertukaran mata wang termasuk dalam kategori barangan ribawi.
Sementara, emas perhiasan atau emas yang ditempa tidak lagi dianggap sebagai wang pertukaran maka ia terkeluar daripada illah item ribawi.
Susulan itu, urusniaga emas perhiasan secara trade-in adalah dibenarkan berdasarkan sebahagian pandangan fuqaha yang menyatakan emas perhiasan bukan item ribawi.
Maka, pandangan tersebut dipilih untuk diaplikasikan dalam transaksi emas perhiasan tanpa terikat dengan syarat-syarat jual beli yang bercirikan item ribawi.
“Namun, mereka yang ingin memilih pandangan jumhur yang berpendapat bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf untuk mengambil jalan berhati-hati dan selamat serta lebih warak (dengan menggunakan kaedah lain),” kata Pejabat Mufti WP.
Kaedah yang dimaksudkan adalah dengan melakukan transaksi emas baru dan emas lama menggunakan dua akad seperti berikut:
- Menjual emas perhiasan lama dan terima duit hasil jualan tersebut.
- Kemudian membeli emas perhiasan baru dengan membayar daripada hasil jualan emas perhiasan lama atau membeli emas perhiasan baru yang lagi mahal dengan menambah duit lain.



