Kenapa Anak Mudah Cranky Ketika Cuaca Panas? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik
Antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan bagi mengenal pasti anak terlampau panas adalah tiada air mata ketika menangis dan tidak membuang air kecil dalam tempoh masa enam jam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bayi dan kanak-kanak kecil sudah tentu akan meragam sekiranya berada dalam keadaan tidak selesa dan dibiarkan sedemikian.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh mak ayah, namun kadangkala mereka tidak dapat mengenal pasti apa yang diinginkan oleh anak-anak, terutamanya yang masih belum pandai bercakap.
Antara keadaan yang mungkin menyebabkan anak-anak meragam termasuk lampin yang sudah penuh, kelaparan, cuaca terlalu panas dan berada dalam keadaan tidak sihat.
Baca Artikel Berkaitan: Anak Asyik Tantrum? Wanita Ini Kongsi Tips Untuk Elak Si Kecil Cepat Meragam
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Isu Budak Tantrum Dalam Feri, Doktor Sound Ada Lelaki Bagi ‘Tips’ Kasi Ubat Tidur Terkawal Pada Anak
Baca Artikel Berkaitan: Tak Tahu Bila Waktu Tidur Sesuai Untuk Anak Anda? Ini Saranan Pakar Pediatrik
Kanak-Kanak Meragam Akibat Kesan Gelombang Haba
Menjawab persoalan tentang kanak-kanak yang banyak meragam sejak kebelakangan ini, Pakar Perunding Pediatrik Dr Nisa Khalil, menjelaskan bahawa ia berlaku akibat mereka merasakan kesan gelombang haba yang dialami Malaysia.
Memetik Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), dia berkata beberapa kawasan dalam negara telah mencecah Tahap 1 (Berjaga-jaga) dengan suhu harian di antara 35°Cke 37°C selama tiga hari berturut-turut.
Menurutnya, dalam minggu ini sahaja terdapat kes bayi yang tidak mahu minum susu, kanak-kanak kecil terlalu lesu dan kanak-kanak pengsan sewaktu hari sukan sekolah.
Kanak-Kanak Lebih Cepat Terasa Panas
Dr Nisa menerangkan bahawa kanak-kanak merasakan panas lebih cepat berbanding orang dewasa, kerana belum boleh mengeluarkan peluh dengan cekap.
Dalam masa sama, kanak-kanak mungkin tidak tahu untuk memaklumkan bahawa mereka berasa terlalu panas, serta tidak meminta air minuman bagi menghilangkan kesan panas.
Pakar pediatrik itu turut menyenaraikan tanda-tanda yang perlu diperhatikan bagi mengenal pasti kanak-kanak berada dalam keadaan terlampau panas dan mengalami dehidrasi, antaranya:
- Tidak mengeluarkan air mata ketika menangis.
- Bibir yang amat kering.
- Sukar untuk bangun tidur dan lemah longlai.
- Tidak membuang air kecil dalam tempoh masa enam jam.
- Pernafasan laju atau demam.
Katanya, sekiranya tanda-tanda ini diperhatikan pada kanak-kanak, segera bawa mereka ke klinik atau hospital berdekatan.

Pastikan Kanak-Kanak Tidak Mengalami Dehidrasi Dengan Langkah Mudah
Mengulas mengenai tindakan yang boleh diambil bagi membantu mengurangkan kesan panas pada kanak-kanak, Dr Nisa menegaskan agar tawarkan air minuman kepada mereka setiap 30 ke 60 minit walaupun tidak diminta.
Selain itu, pakaikan mereka dengan pakaian yang selesa dan ringan, serta berikan mereka tidur di ruang yang sejuk sama ada dengan memasak kipas atau pendingin hawa.
Elakkan aktiviti di luar dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, atau selagi mana matahari masih terik dan bahang panas terasa.
Perhatikan juga sama ada anak-anak membuang air kecil dan sentiasa semak lampin. Jika lampin kering atau mereka tidak ke tandas, ia merupakan tanda badan tidak mempunyai air yang secukupnya.
Dr Nisa mengingatkan bahawa ‘tantrum’ anak-anak bukan tingkah laku semata-mata, tetapi boleh menjadi indikasi keadaan lain seperti berasa terlalu panas.
“Jangan ke taman, buka kipas dan berikan air. Anak anda bukan ‘manja’. Mereka hanya cuba bertahan dalam gelombang panas ini, sama seperti anda,” katanya.

Beri Aiskrim Lolly Untuk Tingkatkan Hidrasi Kanak-Kanak
Di samping itu, Dr Nisa turut berkongsi satu tip bonus bagi mengurangkan kesan panas gelombang haba ke atas kanak-kanak, iaitu dengan memberi aiskrim lolly.
“Aiskrim lolly bukan hanya menyeronokkan, tetapi boleh mempunyai fungsi juga,” katanya.
Bagi kanak-kanak berusia satu tahun ke atas, antara resepi aiskrim lolly yang boleh diberi adalah seperti:
- Campuran air kelapa dan buah-buahan.
- Campuran yogurt asli dan puri buah naga.
- Susu badan atau susu formula.
Dr Nisa berkata aiskrim lolly ini dapat menyejukkan badan dan meningkatkan hidrasi, tertutamanya buat kanak-kanak yang tidak gemar meminum air kosong.

View on Threads
5 Daerah Pada Tahap 1 Status Cuaca Panas, Ini Tips Hadapi Cuaca Panas
Cuaca panas yang sedang dialami Malaysia kini bukan sahaja memberi kesan kepada kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.
Berdasarkan Status Cuaca Panas yang dikeluarkan oleh METMalaysia semalam (28 Mei), terdapat lima daerah yang berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) cuaca panas iaitu:
- Petaling, Selangor
- Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan
- Larut dan Matang, Perak
- Kinta, Perak
- Kuala Krai, Kelantan
Oleh itu, tindakan perlu diambil bagi mengurangkan risiko dehidrasi serta masalah lain seperti strok haba, antaranya:
- Elak berada di luar bangunan ketika cuaca panas.
- Kekalkan kesejukan di rumah dengan menutup langsir dan meletakkan sebesen air di kawasan rumah.
- Minum air secukupnya bagi mengganti semula kandungan air yang keluar dalam bentuk peluh.
- Pakai pakaian yang sejuk dan selesa, terutamanya kain yang bersifat ‘moisture-wicking’.
- Mandi menggunakan air sejuk.
- Kurangkan aktiviti senaman di luar.
Baca Artikel Berkaitan: Murid Yang Dipercayai Didenda Berjemur Tengah Panas Mungkin Jadi OKU
Baca Artikel Berkaitan: Suhu Di Asia Tenggara Kekal Tinggi, Ini Tips Untuk Hadapi Cuaca Panas
Baca Artikel Berkaitan: Aiskrim Sebagai ‘Ubat’? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik


