Wanita Dedah Ejen Hartanah Di JB Cas Fi Dekat Penyewa & Tuan Rumah Raih Pelbagai Reaksi
Menerusi tangkap layar perbualan yang dikongsikan, ejen hartanah berkenaan mendakwa ia adalah praktis di Johor Bahru di mana penyewa perlu membayar kos ejen hartanah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rumah sewa merupakan salah satu unit hartanah yang sering menjadi pilihan orang ramai khususnya bagi mereka yang belum membeli rumah, baru membina perkahwinan atau individu yang berpindah ke tempat baru.
Ramai yang memilih untuk menyewa rumah disebabkan belum berkemampuan untuk membelinya atau mempunyai sewaan bulanan yang lebih murah berbanding dibeli.
Kebiasaanya urusan menyewa rumah banyak melibatkan ejen hartanah atau diiklankan sendiri oleh tuan rumah memandangkan orang ramai kini lebih selesa membuat carian di internet.
Wanita persoal mengapa penyewa perlu bayar yuran perkhidmatan ejen hartanah
Baru-baru ini, seorang wanita meluahkan kebimbangannya mengenai harga deposit rumah di Johor Bahru kerana perlu membayar fi tambahan kepada ejen hartanah.
Malah wanita yang dikenali sebagai Dhiyana Syuhada turut menyoal adakah normal untuk ejen mengambil upah perkhidmatan profesional daripada dua pihak iaitu tuan rumah dan penyewa dalam satu transaksi.
Dalam hantaran yang dikongsikan oleh Dhiyana di Thread, dia berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama seorang individu dipercayai ejen hartanah yang menyenaraikan perkara yang perlu dibayar serta jumlah keseluruhan deposit sebelum memasuki rumah.
- 1 bulan pendahuluan sewaan = RM2100
- Deposit sewa untuk tempoh 2 bulan (akan dipulangkan apabila penyewa keluar rumah) = RM4200
- Setengah bulan deposit utiliti (akan dipulangkan) = RM1050
- Yuran perjanjian dan setem (Agreement and stamping fee) = RM400
- Yuran profesional termasuk SST (Sales and Service Tax) = RM1,134
- Total = RM8,884
Ejen jawab penyewa bayar perkhidmatan ejen adalah praktis di JB
Sebaik menerima maklumat itu, Dhiyana kemudian bertanya apakah yang dimaksudkan dengan ‘yuran profesional’, adakah ia cas perkhidmatan ejen.
Ejen itu kemudian menjawab betul. Tidak faham dengan perkara itu, Dhiyana lalu bertanya bukankah yuran perkhidmatan itu kebiasaannya dibayar oleh tuan rumah dan bukannya penyewa.
“Kerana ia praktis di JB (Johor Bahru) adalah begitu. Malah saya juga membayar yuran perkhidmatan ejen ketika menyewa apartment sebelum menjadi ejen hartanah. Saya percaya awak bukanlah orang tempatan (rakyat di JB) bukan?” jawab ejen berkenaan.

Ambil yuran perkhidmatan daripada tuan rumah dan penyewa
Malah dia juga mengatakan ketika ini ramai ejen tempatan di kawasan berkenaan yang mengambil yuran perkhidmatan daripada penyewa.
Dhiyanah lalu menyoal dia tidak memahami mengapa ejen tidak meminta yuran tersebut daripada tuan rumah kerana secara teknikalnya mereka dilantik oleh tuan rumah dan bukan penyewa.
“Ambil daripada tuan rumah juga. Ambil daripada kedua-dua pihak (tuan rumah dan penyewa),” balas ejen itu kepada persoalan Dhiyanah.

View on Threads
Hantaran wanita undang pelbagai reaksi
Melihat di ruangan balas, hantaran Dhiyanah telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan pengguna Thread.
Malah ada yang tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan meminta Dhiyanah untuk membuat laporan kepada Lembaga Penilai, Pentaksiran, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (LPPEH).

Menurut Property Guru, yang memetik Bekas Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng, ejen hartanah tidak boleh mengutip yuran profesional kepada lebih daripada satu pihak dalam satu urusan.
“Peraturan 89 di bawah Peraturan 1986 secara jelas menyatakan ejen yang sama tidak sepatutnya mengenakan bayaran kepada kedua-dua pihak (tuan rumah dan penyewa) dalam satu transaksi.
“Walau bagaimanapun, dalam situasi agensi bersama (co-agency), ejen penyeneraian boleh menetapkan bayaran kepada client (tuan rumah) dan ejen penyelesaian (closing agent) boleh mengenakan bayaran kepada client (penyewa) sebagai fi profesional,” kata Chan.
Dalam laporan sama, yang memetik Peraturan 89, ejen hartanah berdaftar tidak boleh mengenakan bayaran atau fi kepada lebih daripada satu pihak dalam satu transaksi dan yuran tersebut tidak boleh melebihi had maksimum yang ditetapkan dalam Jadual Tujuh.
Jelas laporan itu lagi, ejen hartanah hanya boleh menerima yuran atau fi daripada pihak yang melantiknya. Sekiranya ejen mengenakan yuran yang tidak munasabah orang ramai boleh melaporkannya kepada LPPEH di emel: complaint@lppeh.gov.my
Ada juga bekas ejen hartanah berpendapat ejen hartanah di JB semakin melampau namun dia bersetuju yang fi perjanjian yang ditetapkan adalah sedikit murah dari harga pasaran berdasarkan pengiraan yang dilakukannya.

Terdapat juga salah seorang yang bekerja sebagai pengurusan hartanah di Johor mengatakan ejen tidak sepatutnya mengambil bayaran cas perkhidmatan daripada penyewa. Jika diambil mereka perlu membahagikan komisyen kepada dua iaitu tuan rumah dan ejen.

Tidak kurang juga ramai yang berkongsi tangkap layar bayaran yang dikenakan untuk membayar deposit rumah.
Ada juga mendakwa di Pulau Pinang juga melakukan praktis yang sama di mana penyewa perlu membayar cas perkhidmatan ejen.


Ada ejen hartanah maklumkan jika ejen dilantik oleh tuan rumah, tuan rumah yang perlu bayar
Dalam satu video yang dikongsikan oleh seorang ejen hartanah dikenali sebagai Zulhisham turut menerangkan mengenai siapakah yang perlu membayar kos ejen hartanah.
“Kalau tuan rumah yang lantik ejen hartanah untuk carikan penyewa maka tuan rumah lah yang bayar kos ejen hartanah. Tapi kalau penyewa yang lantik ejen hartanah untuk carikan rumah sewa maka penyewa tulah perlu bayar kos ejen hartanah.
“Cuma kos ejen hartanah ini bukanlah 3% macam jual. Untuk kes sewa ni hanya 1.25 bulan sahaja. Maksudnya kalau sewa rumah tu RM1,000, Kos ejen hartanah adalah RM1,250.
“Ini belum termasuk SST 8%. Tapi kebiasaannya di Malaysia, tuan rumah yang lantik ejen hartanah untuk carikan penyewa,” jelasnya.
Malah dia juga mengatakan adalah jarang untuk penyewa yang melantik ejen hartanah melainkan bagi kes komersial atau industri seperti sewakan kilang, lot kedai dan sebagainya.
@zulhisham007 Replying to @syahyzoom Siapa kena bayar agent fee sewa rumah? Kalau owner yang lantik ejen, owner yang kena bayar. Kalau penyewa yang lantik ejen, penyewa kena bayar. Agent fee adalah 1.25 bulan sewa + 8% SST. Contoh: Sewa RM1k, agent fee RM1,250 + SST. Biasanya, owner yang lantik ejen hartanah ni. So owner yang kena bayar ejen fi ejen hartanah #RumahSewa #EjenHartanah #SewaRumah ♬ original sound – Zulhisham Gohartanah
“Mereka ambil daripada awak, mereka juga ambil daripada tuan rumah. Cas perjanjian adalah scam. Mereka hanya sunting dengan kontrak sedia ada dan bayar RM20-30 setem…”

“Boleh laporkan REN tu. Tiada istilah professional fees. Boleh rujuk dengan MIEA atau LPPEH. REN boleh dilucutkan. Ini berlaku hanya di JB sahaja negari lain tiada”

“Ini adalah saya punya. Tapi memang dia orang ambil daripada tuan rumah dan penyewa? Adakah ia sah di sisi undang-undang?”

“Pengalaman pertama berhijrah ke Johor dan mencari rumah sewa”

“Gila lah nak masuk rumah dekat JB kena sediakan duit kurang RM10,000. Tolonglah jangan main harga”




