Makanan Tradisi Malaysia Dinobatkan Terbaik Di Dunia, Cef Malaysia Rangkul Pingat Emas [Video]
Antara menu yang dihidangkan oleh pasukan cef yang berasal dari Malaysia ini adalah, otak-otak daun pisang, nasi kerabu ulam-ulaman, udang bakar sambal, kuih keria, cendol pandan dan banyak lagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Malaysia sememangnya salah sebuah negara yang terkenal dengan budaya serta tradisi makanannya.
Malah jika pelancong luar negara datang ke negara ini, antara perkara yang sering kita dengari adalah mereka sangat mencintai makanannya.
Bukan hanya itu ada juga yang sanggup melancong jauh kerana rindukan makanan di negara ini. Oleh disebabkan itu, makanan tradisi Malaysia perlu dibawa sehingga ke luar negara agar ramai yang dapat mengenali negara indah dan harmoni ini menerusi makanannya.
Malaysia rangkul emas dalam The Best National Cuisine In The World
Terbaharu, sekumpulan chef atau cef telah mencipta nama di dunia apabila bergelar juara dunia dan merangkul pingat emas dengan gelaran ‘The Best National Cuisine In The World’ dalam satu kejohanan masakan tradisi dunia.
Pertandingan The National Cuisine Challenge 2025 itu telah disertai sekitar tujuh orang cef dan ia berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Menerusi hantaran dikongsikan Malaysian Chefs Dubai di Instagram, pertandingan tersebut turut disertai oleh perserta dari China, India, Indonesia, Sri Lanka, Nepal, Thailand, South Africa dan banyak lagi.
Kumpulan cef dari Malaysia ini telah mempertandingan Nasi Kerabu sebagai salah satu menu yang berjaya memikat hati para juri.
Memetik laporan myresipi, antara individu yang penting dalam tongak kejayaan ini adalah Cef Syafiq Shahrom yang ketika ini bekerja di Grand Hyatt Dubai.
Jalani latihan selama 3 bulan, makanan tradisi berjaya pikat hati juri profesional
Cef Syafiq merupakan pengurus untuk pasukan berkenaan dan menceritakan perjalanan mereka untuk merangkul pingat emas itu bukan suatu perkara mudah bahkan mereka menjalani latihan selama tiga bulan.
Bagi acara tersebut pasukan berkenaan terdiri daripada lima orang cef manakala dua lagi merupakan pengurusan pasukan yang bertanding dalam kategori makanan tradisional dunia.
Kumpulan cef ini telah membawa pelbagai jenis makanan bermula daripada pembuka selera, hidangan utama sehinggalah ke pencuci mulut untuk dirasa oleh para juri profesional dari Australia, Jerman, Afrika, Mesir, Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland, negara-negara Nordic dan termasuklah UAE.

Malah mereka telah diberikan masa tiga jam untuk menyediakan kesemua makanan ini iaitu:
Pembuka selera (starter):
- Otak-otak daun pisang (makanan tradisi Johor)
- Kerabu Umai Latok dan limau bali (makanan tradisi Sarawak)
- Lohbak ayam (makanan tradisi Pulau Pinang)

Hidangan utama (main dish):
- Nasi kerabu ulam-ulaman (makanan tradisi Kelantan)
- Udang Bakar Sambal (makanan tradisi Melaka)
- Ayam Rendang Nogori (Makanan tradisi Negeri Sembilan)
- Achar Awak Nyonya

Pencuci mulut (dessert):
- Kuih keria Melaka (makanan tradisi Melaka)
- Puteri dua sebilik (makanan tradisi Pahang)
- Cendol Pandan (makanan tradisi Pulau Pinang)

Menu yang dibawa inspirasi daripada negeri asal setiap ahli pasukan
Kesemua menu yang dibawa ini telah diinspirasikan daripada negeri asal setiap ahli pasukan serta resepi warisan yang dipelajari oleh mereka sejak kecil seperti daripada ibu dan nenek masing-masing.
Malah apa yang lebih menarik, para cef tidak sahaja menunjukkan budaya dan tradisi Malaysia menerusi makanan bahkan termasuk daripada hiasan hidangan apabila menggunakan bakul, dulang, mangkuk tingkat termasuk menyediakan air basuh tangan sebelum makan.
Perkara ini secara tidak langsung telah menampilkan keunikan pasukan Malaysia berbanding pasukan lain.
Terbangkan bahan-bahan dari Malaysia ke Dubai untuk pertandingan antarabangsa
Dalam satu temubual bersama pengurus pasukan iaitu Cef Rene Johari bersama stesen radio swasta, Hot FM, mereka mengetengahkan nasi kerabu kerana ramai orang sekarang yang memilih untuk menikmati makananan sihat.
“Nasi kerabu ini dia unik, sebab dia warna-warni, dia tropikal dan menunjukkan warna-warni Malaysia. Sebab itu kita pilih nasi kerabu.
“Tiga (hidangan) makanan pembuka selera, empat (hidangan) makanan utama, dengan pencuci mulut kita letak tiga (jenis hidangan). Tapi semua datang dari negeri-negeri atau pun pecahan Borneo dan semenanjung Malaysia,” katanya.
Malah Cef Rene turut bersyukur kerana mendapat sokongan daripada banyak pihak termasuklah Consulate General of Malaysia dan Pelancongan Malaysia yang menerbangkan bahan-bahan diperlukan daripada Malaysia.
Bukan hanya itu mereka turut membawa latok daripada Sabah terus ke Dubai.
Apa yang lebih menarik mereka turut berkongsi momen indah memenangi pertandingan tersebut di dalam akaun Instagram masing-masing.
Untuk maklumat anda kesemua cef yang menyertai pertandingan ini berkhidmat di hotel terkemuka di Dubai.



