Lebih 50 Tahun Berniaga, Rupanya Restoran Ayam Goreng Terkenal Di Indonesia Guna Minyak Babi
Memetik DetikFood, kremesan (kerak ayam) ranggup yang menjadi pelengkap hidangan itu digoreng dengan menggunakan minyak babi dan ia tidak dinyatakan dengan jelas sebelum ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Indonesia merupakan salah satu negara yang menjadi tumpuan pelancong kerana kepelbagaian makanannya selain tempat-tempat percutian yang menarik.
Bukan sekadar pelancong dari Eropah, malah rakyat Malaysia juga gemar bercuti ke Indonesia kerana jarak yang dekat dan mudah untuk mencari makanan-makanan yang halal.
Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan sebuah restoran di Indonesia ini selepas berpuluh-puluh tahun berniaga baru mengakui bahawa makanan di kedainya adalah tidak halal.
Restoran Ayam Goreng Widuran rupanya tak halal, guna minyak babi
Restoran Ayam Goreng Widuran, yang telah beroperasi di Solo, Jawa Tengah sejak 1973 itu kini menjadi bualan hangat selepas pendedahan bahawa sebahagian menu di premis terbabit termasuk ayam kampung gorengnya adalah tidak halal.
Memetik DetikFood, kremesan (kerak ayam) ranggup yang menjadi pelengkap hidangan itu digoreng dengan menggunakan minyak babi dan ia tidak dinyatakan dengan jelas sebelum ini oleh restoran terbabit.
Susulan itu, perkara berkenaan telah mencetuskan kemarahan ramai terutamanya pelanggan Muslim di republik tersebut.
Tular selepas seorang pengguna Threads dedahkan status halal restoran terbabit
Perkara ini mula tular selepas seorang pengguna bernama @pedalranger memuat naik hantaran di akaun Threads meluahkan rasa terkejut dan kecewa selepas mengetahui tentang penggunaan minyak babi dalam gorengan itu.
Ciapan tersebut kemudiannya tular dan mencetuskan reaksi daripada pelanggan lain, khususnya pelanggan beragama Islam yang pernah makan di restoran itu tanpa mengetahui status non-halal berkenaan.
Malah, kejujuran pihak restoran turut dipersoal dengan ramai yang berpendapat mereka seharusnya lebih jujur dan telus sejak dahulu lagi.
View on Threads
Sebagai respons kepada perkara tersebut, pihak Ayam Goreng Widuran akhirnya mengemaskini Bio Instagram dan halamam Google Review mereka dengan label ‘non-halal’ bagi mengelakkan kekeliruan di masa hadapan.
Ayam Goreng Widuran akhirnya keluarkan kenyataan rasmi
Mereka turut memuat naik kenyataan rasmi di laman Instgram pada Jumaat lalu (23 Mei) berhubung perkara itu.
“Kepada seluruh pelanggan Ayam Goreng Widuran, kami menyampaikan permohonan maaf yang seikhlas-ikhlasnya atas kekecohan yang berlaku di media sosial belakangan ini. Kami memahami bahawa hal ini menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
“Sebagai langkah awal, kami telah meletakkan keterangan ‘non-halal’ secara jelas di seluruh cawangan premis dan media sosial rasmi kami,” tulisnya.
Difahamkan, restoran Ayam Goreng Widuran sememangnya terkenal dan menjadi salah satu masakan terkenal di Solo.
Para pelancong kebiasaannya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati ayam goreng berserta kerak-kerak ayam itu.
Pelancong Malaysia yang beragama Islam dinasihati agar lebih berhati-hati selepas ini dalam membeli makanan di luar negara meskipun makanan tersebut kelihatan halal.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Indonesia turut memaklumkan pihak akan turun padang untuk melakukan pemeriksaan ke atas restoran terbabit.
“(Jumaat) kami telah mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi kerajaan dan kami merancang untuk mengadakan pemeriksaan pada hari Selasa (27 Mei).
“Jika berkaitan bahan mentah, ia di bawah Jabatan Pertanian, sekiranya makanan yang telah dimasak, ia akan membabitkan Jabatan Kesihatan dan Badan Pengawas Ubat dan Makanan,” kata Ketua Jabatan Perdagangan Solo, Agus Santoso.



