Impian Tunaikan Haji Termakbul, Mualaf Zahir Rasa Syukur Dijemput Jadi Tetamu Allah
Mohd Saufi atau nama lamanya, Kris Lim yang pernah menunaikan umrah pada tahun 2001 meluahkan rasa teruja dan tidak menyangka seorang mualaf sepertinya dapat mengerjakan ibadah haji.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak lama lagi, umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia dijangka akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.
Selain ibadah korban, menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah buat mereka yang berkemampuan juga menjadi tanda hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.
Lihat sahajalah beberapa individu terpilih telahpun berangkat dan berlepas ke tanah suci Mekah bagi menyempurnakan Rukun Islam Kelima itu.
Bila sebut sahaja tentang menunaikan ibadah haji, tidak semua orang berkesempatan dan dikurniakan rezeki menjejakkan kaki ke tanah suci.
Ada yang terpaksa menunggu giliran berpuluh tahun lamanya sebelum dipilih menjadi tetamu Allah SWT.
Mualaf Luah Rasa Syukur, Impian Tunaikan Ibadah Haji Termakbul
Namun, tiada apa yang lebih bermakna bagi seorang mualaf, Mohd Saufi Lim Abdullah apabila impiannya menjadi tetamu Allah termakbul dan dapat menunaikan haji di tanah suci setelah 36 tahun memeluk agama Islam.
Mohd Saufi yang berketurunan Baba dan Nyonya serta berusia 71 tahun itu menyifatkan detik penghijrahannya kepada agama Islam sebagai perjalanan rohani yang paling besar serta peluang menunaikan haji pula adalah impian yang telah lama dipendam.
“Sebak kerana saya terfikir kenapa tidak dari awal lagi saya diberitahu Islam ini benar, yang membolehkan kita membetulkan diri sendiri.
“Islam bukan sekadar ajaran tetapi satu cara hidup. Ia mengajar saya bagaimana menjadi manusia yang baik,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Memetik Sinar Harian, dia yang pernah menunaikan umrah pada tahun 2001 meluahkan rasa teruja dan tidak menyangka seorang mualaf sepertinya dapat mengerjakan ibadah haji.
“Bila lihat Kaabah itu saya tak terkejut tetapi perasaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Saya tahu saya tak akan kembali lagi (tunaikan haji) ini mungkin pertama dan terakhir melainkan umrah, jadi saya kena buat ibadah dengan serius. Allah sudah jemput kita, kita harus buat yang terbaik. Balik haji nanti saya harap akan jadi lebih baik,” jelasnya.
Seronok Tengok Individu Dari Negara Lain Berhimpun Di Masjidil Haram
Malah, Mohd Saufi yang dahulunya dikenali sebagai Kris Lim seronok melihat individu dari pelbagai latar belakang dan negara di seluruh dunia berhimpun di Masjidil Haram.
“Nasihat saya kepada yang lain daftarlah Tabung Haji kemudian tunggu peluang (tunai haji) dengan doa.
“Allah akan buka pintu untuk kamu. Kesihatan kena jaga, doakan Allah lindungi kita. Dalam apa-apa juga mengenai kehidupan kita kena doa sahaja,” katanya.
Aktif Bergelar Pendakwah Agama Lain Sebelum Peluk Islam
Tambah Mohd Saufi yang kini menetap di Bintulu, Sarawak dan bekerja sebagai pengurus stesen minyak, dia memeluk Islam ketika berusia 35 tahun.
Malah sebelum memilih Islam sebagai agamanya, dia aktif sebagai pendakwah agama lain dan terlibat dengan beberapa misi ke luar negara termasuk Filipina.
“Apabila ekonomi merudum, saya dihantar bertugas ke sebuah rumah ibadat di Johor Bahru. Di sana saya berkawan dengan anak-anak Melayu yang memperlihatkan keindahan Islam.
“Mereka tunjukkan saya contoh yang baik, itu yang menarik hati saya,” kongsinya lagi.
Mimpi Aneh Jentik Diri Mualaf Peluk Islam
Cerita Mohd Saufi lagi, dia didatangi mimpi aneh yang menjadi titik permulaan penghijrahannya apabila dia melihat dirinya sendiri bergelut dengan kepercayaan lama dan Islam.
“Saya pernah bermimpi, sebelah kaki saya berada dalam sampan manakala sebelah lagi di atas jeti. Sampan itu mewakili agama lama saya manakala jeti yang kukuh itu melambangkan Islam, agama yang suci,” katanya.
7 Adik-Beradik Dah Peluk Islam, Doa Agar Ahli Keluarga Lain Dikurniakan Hidayah
Kongsi warga emas itu, dia melafazkan dua kalimah syahadah di Majlis Agama Islam Johor pada April 1989 iaitu kira-kira sebulan selepas mengalami mimpi aneh tersebut.
“Saya anak sulung daripada 10 beradik, setakat ini tujuh daripada kami telah memeluk Islam.
“Antara doa utama saya di hadapan Kaabah ialah agar ahli keluarga saya yang belum menerima Islam turut mendapat hidayah.
“Saya berdoa agar Allah menjadikan saya sebagai cahaya yang boleh menarik mereka kepada Islam.
“Itu yang saya lafazkan saat pertama kali memandang Kaabah kerana apa yang paling saya sayang adalah keluarga,” kongsinya lagi.
Semakan kami di Facebook mendapati beliau sememangnya aktif mengikuti aktiviti anjuran masjid di Bintulu.
Malah, beliau dilihat seorang yang meminati aktiviti menanam pokok bunga dan buah-buahan.
@sinarharianonline ‘Saya doa keluarga turut diberi hidayah’ “Saya benar-benar berdoa supaya ALLAH SWT beri hidayah kepada ahli keluarga yang masih belum Islam.” Itu antara harapan seorang mualaf, Mohamad Saufi Lim Abdullah, 71, apabila menerima tawaran ke Tanah Suci mengerjakan haji tahun ini bersama isterinya, lapor wartawan Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #BeritaSemasa #Haji2025 #Jemaahhaji
♬ original sound – Sinar Harian – Sinar Harian
Tonton video penuh [DI SINI]
Baca Artikel Berkaitan: Anak Mualaf Meninggal Dunia 4 Tahun Lalu, Ibu Bapa Sering Ziarah Kubur Walau Berlainan Agama
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Sendiri Mau Masuk Islam” – Wanita Berusia 101 Tahun Ucap Syahadah Selepas Didakwah Anak Mualaf
Baca Artikel Berkaitan: Baru Peluk Islam, Mualaf Terima Banyak Sokongan Dari Orang Ramai [Video]



