fbpx
Now Reading
Trak FRU Kemalangan Dihasilkan Pada 1997, Ada Rekod Penyelenggaraan Baik – Saifuddin Nasution

Trak FRU Kemalangan Dihasilkan Pada 1997, Ada Rekod Penyelenggaraan Baik – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada insiden berkenaan disebabkan oleh kesalahan pemandu lori terbabit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Negara semalam (13 Mei) dikejutkan dengan berita yang memilukan apabila sembilan orang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam nahas jalan raya.

Kemalangan tersebut berlaku di antara trak FRU dengan sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil di simpang tiga Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa agar siasatan menyeluruh dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan Trak FRU & Lori Kerikil Ragut 9 Nyawa Anggota, 2 Lagi Kritikal

Trak FRU Sudah Hampir 20 Tahun Namun Masih Sesuai Digunakan

Terbaharu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa trak FRU yang terbabit dalam kemalangan tersebut adalah sesuai untuk digunakan di atas jalan raya.

Walaupun trak tersebut sudah agak berusia, namun Saifuddin berkata rekod penyelenggaraannya mempunyai kedudukan yang baik.

“Walaupun trak tersebut telah dihasilkan pada tahun 1997, tetapi tiada isu dengan sejarah penyelenggaraannya yang mengesahkan bahawa ia sesuai digunakan di atas jalan raya,” katanya dipetik MalayMail.

Beliau berkata sedemikian selepas menziarahi keluarga salah seorang anggota FRU yang terkorban dalam nahas terbabit, Damarrulan Abdul Latif, di Sungai Senam, Ipoh.

Saifuddin Minta Serahkan Perkara Teknikal Pada Pakar

Tambah Saifuddin, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada insiden berkenaan disebabkan oleh kesalahan pemandu lori terbabit.

Semalam (13 Mei), Ketua Polis Hilir Perak ACP Bakri Zainal Abidin memaklumkan bahawa siasatan awal terhadap insiden tersebut mencadangkan bahawa ia disebabkan oleh kegagalan stereng lori.

Dalam menjawab persoalan tentang meningkatkan tahap keselamatan dalam kenderaan terbabit, termasuk memasang tali pinggang keledar, Saifuddin berkata isu ini adalah kompleks.

“Kita kena faham ini adalah kenderaan tempur. Ia ada kebaikan dan keburukan sendiri. Apabila digunakan dalam misi, setiap saat berharga.

“Dalam keadaan kecemasan, walaupun satu atau dua saat diperuntukan untuk membuka tali pinggang keledar boleh menjejaskan kualiti misi,” ujarnya.

Saifuddin berkata perkara teknikal sedemikian perlu diserahkan pada pakar sementara pihaknya komited untuk menaikkan taraf kesemua aset bagi agensi-agensi di bawah bidang kuasanya.

Kaunselor Dilantik Bagi Keluarga Mangsa

Dalam pada itu, Saifuddin juga memaklumkan bahawa para kaunselor telah dilantik bagi membantu keluarga mangsa dalam menghadapi trauma dan kesedihan.

“Kami juga akan mempercepatkan tuntutan insurans berkumpulan buat kesemua anggota terlibat. Proses itu dianggarakan selesai dalam tempoh maksimum dua minggu.

“Ini menunjukkan komitmen kolektif kami dalam membantu keluarga yang terlibat,” katanya.

KPN Beri Cadangan Tingkat Keselamatan Konvoi Anggota

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah menyenaraikan beberapa cadangan bagi meningkatkan keselamatan anggota ketika dalam konvoi.

Pun begitu, perbincangan dengan kepimpinan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Isu ini tidak hanya melibatkan FRU, ia turut melibatkan pasukan lain di bawah KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menggunakan lori jenis sama untuk pergerakan anggota.

“Kita sedang meneliti cadangan menambah baik sistem keselamatan dalam lori, struktur bangku panjang yang digunakan mungkin menimbulkan masalah dari segi keserasian dengan sistem penahan keselamatan yang ada,” katanya dipetik MalaysiaGazette.

Razarudin berkata penggunaan bas untuk ke lokasi operasi merupakan antara langkah alternatif yang dipertimbangkan, namun mempunyai kekangan dari segi bajet.

“Langkah lain yang sedang diperhalusi adalah penggunaan kereta peronda sebagai kenderaan pengiring konvoi.

“Ini bermakna setiap konvoi akan dikawal oleh kereta peronda dan tugas pengiring akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) lain apabila merentasi sempadan negeri,” ujarnya

Konvoi FRU Dalam Perjalanan Pulang Ke Ipoh Selepas Selesai Tugas Di Teluk Intan

Insiden ke atas sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota termasuk pemandu berlaku kira-kira jam 8.50 pagi semalam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh.

Difahamkan mereka ketika itu baru sahaja menyelesaikan tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak di Teluk Intan.

Sembilan mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai:

  • Sjn Perumal Sugunanathan (meninggal di lokasi kejadian)
  • Sjn Mohd Roslan Abd Rahim (meninggal di zon merah Hospital Teluk Intan)
  • Kpl Nurit Pandak (meninggal di lokasi kejadian)
  • Kpl Amiruddin Zabri (meninggal di lokasi kejadian)
  • Kpl Mohd Pozli Jaudin (meninggal di lokasi kejadian)
  • Kpl Akmal Muhamad (meninggal di lokasi kejadian)
  • Kpl Mohamad Hilmi Mohd Azlan (meninggal di lokasi kejadian)
  • L/Kpl Damarrulan Abdul Latif (meninggal di lokasi kejadian)
  • Konst Akmal Wafi Annuar (meninggal di lokasi kejadian)

Walaupun pemandu lori yang terlibat dalam nahas berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau, namun Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemuanya telah dikenakan hukuman.

Tambah Ayob Khan, ujian air kencing pemandu lori berkenaan mendapati tiada sebarang unsur penggunaan bahan terlarang seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Baca Artikel Berkaitan: Nahas Trak FRU: Pemandu Lori Miliki 6 Rekod Jenayah Lampau Termasuk Rogol & Dadah

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.