Hilang Ketika Dalam Perjalanan Ke Pejabat SPRM, Siapa Sebenarnya Datin Seri Pamela Ling?
Difahamkan, Pamela dan suaminya sedang dalam proses penceraian yang sangat rumit di Singapura dan Malaysia melibatkan harta yang besar nilainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Datin Seri Pamela Ling Yueh mungkin bukan nama yang dikenali ramai sebelum ini, namun berita kehilangannya secara tiba-tiba telah menarik perhatian seluruh negara.
Pamela dilaporkan hilang pada 9 April lalu dan dipercayai diculik ketika dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Sehingga hari ini, wanita berusia 42 tahun itu masih lagi belum ditemui.
Mungkin ada di antara kita yang mempersoal siapakah sebenarnya wanita bernama Pamela Ling ini dan apa yang telah terjadi ketika dia dalam perjalanan ke pejabat SPRM.
Pamela isteri kepada ahli perniagaan di Sarawak, menetap di Singapura sejak 2008
Menurut laporan The Borneo Post yang memetik beberapa agensi berita, Pamela ialah isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu iaitu pengasas Joinland Group.
Joinland Group menjalankan pelbagai jenis perniagaan dari hartanah, perladangan, perkapalan hingga insurans di beberapa negara termasuk Singapura, Brunei, Australia dan Papua New Guinea.
Pamela yang dipercayai berasal dari Sibu itu juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata dan telah menetap di Singapura sejak tahun 2008 di mana dia menguruskan sebuah syarikat pengurusan hartanah.

Pamela dipanggil SPRM untuk bantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram
Beliau pulang ke Malaysia pada Januari 2025 untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh SPRM selepas dia dan suaminya disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan Akta SPRM 2009.
Difahamkan, Pamela dan Thomas juga sedang melalui proses penceraian yang sangat rumit di Singapura dan Malaysia melibatkan harta yang besar nilainya.
Malah, portal Sabah Kini melaporkan terdapat dakwaan yang suaminya berlaku curang dengan wanita lain yang kini dikatakan sudah menjadi isteri kedua Thomas.
Malah tular gambar Thomas bersama wanita tersebut ketika melawat Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.
Namun, apa yang benar-benar mengejutkan semua orang ialah kehilangannya secara tiba-tiba dan apa yang mungkin berlaku ketika dia dalam perjalanan ke pejabat SPRM.
Kronologi kehilangan Pamela
9 April 2025:
- Jam 1.29 tengah hari: Pamela menempah Grab dari apartmennya di Sunway Velocity, Cheras.
- Dia memaklumkan kepada peguamnya, Datuk N Sivananthan, bahawa dia sedang menuju ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan dijangka tiba pada jam 2.08 petang.
- Jam 1.52 petang: Lokasi terakhir telefonnya dikesan di lebuh raya MEX, berhampiran Pusat Bandar Putra Permai.
- Jam 1.57 petang: Pamela menghantar mesej kepada N Sivananthan untuk mengesahkan dia sedang dalam perjalanan.
- Jam 2.00 petang: semua panggilan dan mesej WhatsApp tidak lagi berbalas dan tidak dapat dihantar.
- Jam 3.02 petang: Peguam Pamela membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, mengenai kehilangan anak guamnya itu.
10 April 2025:
- N Sivananthan buat laporan polis kali kedua di Balai Polis Seri Kembangan.
Lelaki pakai vest polis dan wanita seperti pegawai polis tarik Pamela keluar dari kereta e-hailing
Menurut keluarga Pamela dan N Sivananthan, Grab yang dinaiki wanita itu telah dipintas oleh tiga buah kenderaan tidak dikenali.
Seorang lelaki memakai vest polis dan seorang wanita berpakaian seperti pegawai polis dilaporkan menarik Pamela keluar dari kereta dan memintanya masuk ke dalam salah satu kereta mereka.
Grab kemudian mengesahkan perjalanan itu telah tamat, tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.
Berita kehilangan Pamela ini mula tular selepas abangnya, Simon Ling tampil secara terbuka dan mendakwa adiknya telah diculik.
Keluarga Pamela juga memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai keberadaan wanita itu.
Apa situasi terkini kehilangan Pamela?
Polis sedang menyiasat kes ini sebagai penculikan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, tetapi masih belum ada sebarang permintaan wang tebusan.
Polis Kuala Lumpur bersama Bukit Aman juga sedang bekerjasama untuk mengesan apa yang sebenarnya berlaku.
Seramai 16 individu termasuk suaminya telah dipanggil memberi keterangan selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang diperiksa dan pemandu Grab berkenaan juga telah disoal siasat.
Lapan suspek dipercayai terlibat dalam kes penculikan Pamela
Terbaharu, Polis Kuala Lumpur juga menyatakan sekurang-kurangnya lapan suspek dipercayai terlibat dalam kes ini dan anggaran suspek itu adalah berdasarkan pecahan kepada lima pemandu untuk lima kereta serta tiga lagi individu yang keluar untuk melarikan Pamela dari kenderaan e-hailing Grab dinaikinya, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu memetik Malaysia Gazette, peguam keluarganya, Sangeet Kaur Deo mendedahkan Pamela mungkin memiliki maklumat material atau sensitif menyebabkan dia terdedah kepada risiko yang membahayakan keselamatannya.
Keluarga Pamela masih berharap dia akan ditemui selamat dan merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu.
Sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi bapanya Ling Kie Yii di 012-8867979 atau Simon di 012-8866799.



