fbpx

Tular Dakwaan MITI Curi Idea Rekaan Pavilion Malaysia Untuk Expo 2025 Osaka

Fey Ilyas turut mendakwa akaunnya telah disekat oleh Menteri MITI ketika cuba menyuarakan isu terbabit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

[Kemaskini] MITI dalam satu kenyataan terbaharu berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci dakwaan yang mengatakan konsep reka bentuk Pavilion Malaysia Untuk Ekspo 2025 Osaka telah digunakan tanpa kebenaran.

Baca di sini.


Lumrah seorang manusia, pasti kita akan kecewa sekiranya usaha keras kita tidak dihargai atau lebih teruk lagi dicuri – tanpa sebarang kredit dan bayaran.

Dan sekarang bayangkan pula jika anda telah bertungkus-lumus untuk menyiapkan satu projek melibatkan kerajaan namun idea tersebut diambil dan digunakan tanpa menyebut langsung nama anda.

Itulah yang dikatakan berlaku kepada firma perunding kreatif, Current Media Group Sdn Bhd (CMG) yang mendakwa telah ‘dirisik’ oleh sebuah kementerian untuk membuat ‘proposal’ bagi satu projek berskala besar.

MITI risik CMG pada 2022 untuk bangunkan Pavilion Malaysia di Ekspo 2025

Foto: Instagram @feythehuman

Menerusi Instagram @feythehuman, Fey Ilyas yang mewakili CMG memperincikan keseluruhan kejadian ini yang menurutnya bermula pada tahun 2022.

Pada waktu itu, CMG telah dirisik oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai perunding kreatif untuk membangunkan konsep, tema, naratif, dan arah seni bina Pavilion Malaysia (Astaka Malaysia) bagi Ekspo 2025 di Osaka, Jepun.

Secara ringkasnya, Ekspo 2025 merupakan pameran global berskala besar tahunan yang bertujuan mempamerkan pencapaian negara-negara di seluruh dunia sebagai usaha untuk menarik pelabur berkualiti.

Bagi tahun ini, ia berlangsung di Osaka, Jepun, dari 13 April hingga 13 Oktober.

Astaka Malaysia Di Expo 2025 Osaka Foto: Expo 2025

Dalam hantaran sama, Fey turut berkongsi pelbagai dokumen, kertas kerja, pembentangan, e-mel, dan banyak lagi bukti komunikasi dengan MITI.

Setiap imej dalam hantaran Instagram tersebut menunjukkan perbandingan secara ‘side by side’ antara hasil kerja CMG dan apa yang digunakan MITI – yang dakwanya “bukanlah persamaan secara kebetulan”.

Foto: Instagram @feythehuman

Fey mendakwa bahawa MITI telah menciplak idea asal lalu diubah sebelum mendakwa ia adalah hasil kerja mereka sendiri.

Kami bukan sahaja membangunkan idea tersebut, malah kami juga yang diberi tanggungjawab untuk membentangkannya kepada pihak berkepentingan utama meliputi pelbagai kementerian, termasuk Menteri MITI, Tengku Zafrul.

Fey Ilyas

Buat kerja 8 bulan, sebelum MITI maklumkan projek perlu dilaksanakan secara tender terbuka

Menurut hantaran itu lagi, CMG telah bekerja selama lapan bulan dengan ‘deadline’ yang ketat sambil diberi jaminan berulang kali bahawa pelantikan rasmi mereka sedang dalam proses.

Namun, siapa sangka pada Januari 2023, mereka dimaklumkan bahawa projek itu tidak akan diteruskan dan perolehan bagi projek tersebut akan dilaksanakaan secara tender terbuka.

Malah menerusi satu tangkap layar yang dikongsikan, CMG mendakwa taklimat bagi tender tersebut turut menggunakan konsep CMG. Malah mereka mendakwa terdapat satu nama dokumen yang dikongsikan kepada pembida yang menggunakan ‘initial’ CMG.

Foto: Instagram @feythehuman

Dalam masa yang sama, spesifikasi tender menyebut bahawa konsep dan naratif adalah sebahagian daripada hasil kerja yang perlu ditunjukkan pembida, walhal kedua-duanya telah pun disiapkan oleh CMG berbulan-bulan sebelumnya di bawah arahan MITI.

Fey turut mempersoalkan bagaimana syarikat lain akan dibayar untuk menghasilkan sesuatu yang sudah tersedia dan yang telah dicipta oleh CMG.

“Jika MITI mahu mulakannya semula dan meminta cadangan baharu melalui tender, kami takkan membantah. Kami akan hormati keputusan itu.”

Dakwa 2 Tahun ‘Disidai’, Akaun Disekat Bila Cuba Bersuara

Fey mendakwa syarikatnya telah bertemu dengan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dan telah membangkitkan isu ini secara terus kepadanya.

Selain itu, mereka juga telah bertemu dengan sekretariat Ekspo termasuk menghantar beberapa surat, serta menyerahkan garis masa dan dokumen berkaitan.

Mereka kemudiannya dijanjikan bahawa isu ini akan diselesaikan, namun malangnya terus ‘disidai’ selama dua tahun.

“Apabila saya cuba buka mulut secara terbuka, saya telah disekat oleh Tengku Zafrul dan akaun rasmi Instagram Ekspo 2025 Malaysia juga menyekat saya,” dakwa Fey.

Setelah berbulan-bulan tanpa jawapan, mereka akhirnya menerima maklum balas yang ringkas – MITI tidak akan membuat bayaran kepada mereka atas alasan tiada rekod perolehan.

Pada penghujung hantaran, Fey menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar tentang CMG semata-mata, tetapi ia adalah isu maruah.

“Dan kerana diam diri hanya melindungi mereka yang terus melakukan perkara ini kepada orang lain,” katanya.

MITI Siasat Dakwaan Plagiat Rekaan Pavilion Malaysia

Dalam pada itu, MITI berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan konsep reka bentuk Pavilion Malaysia Untuk Ekspo 2025 Osaka telah diciplak dan digunakan tanpa kebenaran.

MITI menerusi satu kenyataan pada Sabtu (26 April) berkata, satu siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengumpul dan memastikan semua fakta berhubung dakwaan yang dibuat oleh seorang individu di media sosial.

“MITI mengambil maklum mengenai dakwaan berhubung penciptaan konsep Pavilion Malaysia yang telah tular di media sosial dan dilaporkan oleh pihak media sejak semalam (25 April).”

MITI menegaskan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika dan apabila perlu.

“Kami memandang serius perkara ini dan mengekalkan semua hak undang-undang kami. MITI kekal komited terhadap standard integriti dan pematuhan yang tertinggi dalam semua urusannya. Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya jika dan apabila perlu.”

MITI Malaysia

Baca artikel berkaitan: Tarif Trump Jejaskan Malaysia? Ini Penjelasan Tengku Zafrul [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.