Bertahun Simpan Wang Kertas RM20 Dalam Bekas Kek Bulan, Lelaki Berjaya Kumpul RM10,000
Lelaki yang dikenali sebagai Dawei Woo turut memaklumkan selain wang kertas RM20 dia juga mengumpul RM5 dan duit syiling untuk dijadikan simpanan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Budaya menyimpan wang perlulah sentiasa diterapkan setiap individu sejak dari kecil lagi.
Malah tabiat menyimpan wang dan mengetahui betapa penting penggunaannya di masa hadapan perlu dijadikan sebagai rutin sehingga dewasa.
Bukan hanya itu, ramai yang mempunyai pelbagai cara serta tips untuk menyimpan wang untuk kegunaan di masa hadapan.
Lelaki kongsi simpan duit kertas RM20 dalam bekas kek bulan
Baru-baru ini, seorang lelaki yang juga menyediakan servis mengurut telah berkongsi hasilnya menyimpan duit kertas RM20 sehingga meraih perhatian.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Dawei Woo di Facebook, awalnya telah berkongsi gambar memaparkan beberapa keping duit RM20 yang disimpannya.
Dalam hantaran tersebut, lelaki berkenaan turut memaklumkan dia menyimpan kepingan wang kertas RM20 itu di dalam bekas tin kek bulan selama tiga hingga empat tahun.
“Ada orang lain yang memiliki RM20 untuk satu makanan, manakala saya mempunyai RM20 di dalam tin kek bulan selama beberapa tahun untuk ia penuh.
“Ia bukan sekadar duit, tetapi ia adalah ritual kehidupan,” ujarnya.
Malah Dawei Woo turut menyifatkan dia begitu berpuas hati sebaik membuka bekas kek bulan itu dan melihat hasil simpanannya selama ini.
Turut kelihatan duit tersebut memenuhi satu bekas dan ia disusun dengan cantik.
Berjaya kumpul sehingga RM10,000
Di ruangan komen, Dawei Woo turut memaklumkan dia berjaya mengumpul sekitar RM10,000 daripada wang kertas RM20 berkenaan.
Ketika ditanya bagaimana dia boleh mendisiplinkan diri untuk menyimpan wang sebanyak itu, Dawei Woo memaklumkan dia tidak menggunakan wang untuk perkara yang tidak berfaedah.
Selain itu, lelaki itu mengatakan selain RM20 dia juga menyimpan wang kertas RM5 dalam bekas lain.
“Kawal keinginan dan sekali sekala beri ganjaran (reward) pada diri sendiri. Saya simpan RM20 atau RM5 setiap kali menerimanya. Saya simpan duit ini untuk melancong buat saya dan ibu,” ujarnya kepada BuzzKini.

Rancang nak bawa ibu bapa melancong dengan duit disimpan
Katanya lagi, menyimpan sendiri wang kertas RM20 lebih efektif dan memuaskan berbanding menyimpan di dalam bank.
Dia juga memaklumkan merancang menggunakan wang itu untuk melancong ke China bersama orang tuanya sekitar bulan Oktober atau November nanti.
Disoal bagaimana dia boleh menyimpan wang kertas memandangkan masa kini ramai yang menggunakan pembayaran secara talian, Dawei mengatakan ia bergantung kepada penggunaan wang tunainya setiap hari.
“Bergantung kepada kehidupan harian dalam menggunakan wang tunai. Barang yang dibeli di atas talian akan dibayar secara online.
“Pembayaran secara atas talian adalah sukar untuk dikawal memandangkan ia mudah untuk digunakan,” jelasnya lagi.
Tambah Dawei Woo, dia turut menerima komen balas daripada individu lain yang membuat simpanan sama sepertinya dengan iaitu mengumpul wang kertas jumlah sama seperti RM1, RM5, RM10, RM20, dan banyak lagi.
Jelasnya selain wang kertas dia juga menyimpang duit syiling dalam beberapa bekas untuk simpanan.
Ramai teruja lihat lelaki kumpul banyak duit dengan RM20
Melihat di ruangan balas, ramai yang teruja dengan perkongsian lelaki berkenaan. Malah ada juga yang ingin mengikut jejak langkahnya untuk menyimpan wang dengan cara sama.
Malah ada yang mengatakan tabiat menyimpan yang dibuat bermula hari ini akan dapat dilihat hasilnya pada tiga atau empat tahun akan datang.
“Saya gunakan wang tunai sebelum pandemik. Saya juga simpan begini. Selepas pandemik saya lebih banyak menggunakan pembayaran di atas talian. Ia sangat sukar untuk menyimpan wang kertas. Sebelum ini, setiap tahun saya dapat menyimpan. Ia adalah cara yang bagus untuk menyimpang wang”

“Saya akan belajar dari awak mulai hari ini. Jika awak tak boleh menyimpan hari ini, mulakan esok”

“Simpan setiap hari, ia akan berbeza selepas tiga tahun”




