fbpx
Now Reading
Tular Video Dakwa Rumah Kebajikan Di Selangor Kurung Penghuni Macam Haiwan

Tular Video Dakwa Rumah Kebajikan Di Selangor Kurung Penghuni Macam Haiwan

Di dalam rakaman itu, beberapa penghuni yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak didakwa telah dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui, di Malaysia terdapat ribuan rumah-rumah kebajikan milik kerajaan dan swasta yang menempatkan kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Rumah kebajikan ini berfungsi menyediakan tempat tinggal yang selesa dengan keperluan asas penyediaan makanan, ruang belajar, pusat sumber, surau dan kemudahan-kemudahan lain.

Pun begitu, siapa sangka sebuah rumah kebajikan yang sepatutnya melayani penghuninya secara baik malah didakwa telah bertindak sebaliknya.

Rumah kebajikan didakwa kurung penghuni macam haiwan

Baru-baru ini, satu video pendedahan mengejutkan telah tular di media sosial mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, Selangor.

Perkara terbabit mula tular dan mendapat perhatian ramai selepas ia didedahkan oleh pihak penganjur sebuah pertandingan seni mempertahankan diri sebelum dikongsikan pula oleh penyanyi rap, Caprice di akaun Instagram miliknya.

Difahamkan, individu-individu di dalam video terbabit pada awalnya hadir ke rumah kebajikan berkenaan untuk memberi sumbangan seperti makanan, pakaian serta hadiah kepada kanak-kanak yang menghuni di sana.

Rumah kebajikan tak benarkan beri makanan dan hadiah kepada penghuni di sana

Bagaimanapun, rasa curiga mula muncul selepas pemilik rumah kebajikan terbabit tidak membenarkan mereka untuk memberi makanan serta hadiah, malah layanan yang diterima juga kurang memuaskan.

“Sampai sahaja di sana (rumah kebajikan) hanya separuh daripada anak-anak yang turun untuk menyambut kami.

“Lebih pelik kami diberitahu tidak dibenarkan memberi hadiah atau makanan kepada mereka. Tapi pada asasnya dia (pemilik) nak kami tinggalkan barang dan balik,” katanya.

Dakwa ada penghuni di dalam bilik berkunci seperti sangkar

Di dalam rakaman itu, beberapa penghuni yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak didakwa telah dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.

“Kami tak puas hati dan minta untuk duduk sekejap dan cakap dengan anak-anak di sana.

“Mereka (anak-anak) beritahu kami ramai lagi kawan-kawan mereka ‘terkunci’ dalam bilik. Bila kami naik atas, betul ada yang dikunci macam haiwan,” dakwanya.

JKM Selangor sahkan terima aduan, laporan siasatan dan pemantauan sedang disediakan

Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian di rumah kebajikan tersebut.

“Untuk makluman JKM ada terima aduan tersebut. Pegawai JKM turun semalam dan laporan siasatan dan pemantauan sedang disediakan,” katanya dipetik Kosmo.

Menurut Azmir, rumah kebajikan berkenaan merupakan sebuah pusat pertubuhan bukan kerajaan berkediaman dan berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.