fbpx
Now Reading
“Kaya Rakyat Malaysia” – Ramai Terkejut Lihat Toyota Alphard Top 10 Kereta Terlaris Januari 2025

“Kaya Rakyat Malaysia” – Ramai Terkejut Lihat Toyota Alphard Top 10 Kereta Terlaris Januari 2025

Toyota Alphard menduduki kedudukan ke-9 dalam carta 20 kenderaan terlaris pada bulan Januari 2025 di Malaysia dengan pendaftaran sebanyak 1,397 unit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Tidak dinafikan, kereta merupakan antara keperluan penting pada zaman ini terutamanya bagi individu-individu yang sudah mempunyai keluarga.

Dengan adanya kereta, sudah pasti ia dapat memudahkan seseorang mahupun sesebuah keluarga untuk bergerak ke sesuatu destinasi seperti pulang ke kampung halaman atau bercuti.

Maka tidak hairanlah jika setiap tahun ada sahaja model kenderaan baharu yang dikeluarkan oleh syarikat automotif nasional dan luar negara. Setiap kereta yang dilancarkan itu pasti ada pembelinya.

Seperti baru-baru ini, portal automotif, Paultan telah menyenaraikan 20 model kereta yang terlaris dijual di Malaysia sepanjang bulan Januari lalu mengikut data yang diambil berdasarkan pendaftaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Toyota Alphard antara 10 kereta terlaris dijual di Malaysia

Apa yang mengejutkan daripada data tersebut, kereta jenis MPV mewah iaitu Toyota Alphard turut berada di dalam carta dan mengalahkan kenderaan-kenderaan lain seperti Proton Persona serta Honda City yang memiliki harga jauh lebih murah.

Alphard menduduki kedudukan ke-9 dengan pendaftaran sebanyak 1,397 unit sekali gus menjadikannya kereta model bukan nasional kedua terlaris selepas Toyota Vios (1,605 unit) di tempat ketujuh.

Difahamkan, jumlah pendaftaran Alphard itu adalah sepenuhnya unit CBU baharu yang dijual secara rasmi oleh UMW Toyota Motor dan bukannya unit ‘recond’.

Perodua Axia paling laris bulan Januari, rampas takhta Perodua Bezza

Sementara itu, kedudukan lima tertinggi bagi model terlaris di Malaysia pada bulan Januari pula diambil sepenuhnya oleh model nasional.

Perodua Axia berjaya menduduki tempat pertama di mana hatchback segmen-A tersebut terjual sebanyak 7,096 unit.

Ia sekali gus mengalahkan sedan segmen-A iaitu Perodua Bezza yang sebelum ini mengungguli carta. Bezza kini berada di kedudukan kedua dengan jumlah pendaftaran sebanyak 5,106 unit.

Manakala model popular Perodua iaitu Myvi yang turut digelar ‘king’ pula berada di tempat ketiga dengan pendaftaran sebanyak 4,464 unit, sementara Proton Saga di kedudukan keempat (4,461 unit) dan diikuti Perodua Alza (3,214 unit).

Netizen terkejut, beri pelbagai komen menghiburkan

Dalam pada itu, menerusi perkongsian carta terbabit di akaun X Paul Tan, rata-rata pengguna media sosial turut terkejut melihat Alphard menjadi antara kenderaan pilihan di negara ini.

Malah, ada pula yang berseloroh dengan mendakwa kononnya Alphard yang dibeli itu sebagai persiapan raya untuk pulang ke kampung halaman dengan penuh bergaya.

Tidak kurang juga ada yang bergurau dengan mengatakan semakin banyaklah ‘peti ais’ (gelaran buat Alphard dan Vellfire) yang akan berada di jalan raya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.