“Bukan Main Berselera Mayat” – Ramai Terhibur Lihat Pesanan Makanan Yang Diterima Peniaga Ini
Menurut peniaga makanan terbabit, pesanan itu sebenarnya daripada staf-staf hospital yang dipercayai bertugas di bilik mayat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Meniaga makanan bukanlah sesuatu perniagaan yang boleh dianggap mudah di mana setiap hari ada sahaja karenah pelanggan yang harus dihadapi.
Malah, makanan yang dikritik tidak sedap dan kesilapan semasa mengambil pesanan antara cabaran lain yang perlu dilalui.
Susulan itu, ada peniaga yang sentiasa mengingatkan para pekerjanya untuk mengambil pesanan makanan daripada pelanggan dengan jelas agar kesilapan sedemikian dapat dielakkan.
Peniaga makanan terkejut, terima pesanan daripada ‘bilik mayat’
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial seorang peniaga makanan western terkejut akibat pesanan makanan yang dibuat oleh pekerjanya terlalu terang dan jelas.
Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Facebook Qulai Pizza Kayu Api, peniaga terbabit terkejut kerana pesanan itu daripada pelanggan yang berada di lokasi bilik mayat sebuah hospital di Kulai, Johor.
“Staf pak cik buat hal. Antara kemahiran yang selalu pak cik terapkan pada staf pak cik adalah komunikasi dan merekod order (pesanan) dengan terang dan jelas. Tapi janganlah jelas sangat macam ini,” tulisnya.
Rupanya staf hospital bertugas di bilik mayat yang pesan makanan
Menurutnya, ternyata pesanan makanan itu adalah daripada staf-staf hospital terbabit yang dipercayai bertugas di bilik mayat.
“Terkejut pak cik. Ingatkan mayat yang order (pesan). Taiplah ‘staf bilik mayat Hospital Kulai’ untuk delivery (dihantar),” tulisnya lagi.
Dalam satu hantaran baru, peniaga terbabit turut berkongsi ulasan yang diberikan oleh salah seorang staf hospital berkenaan yang memuji makanan yang dipesan itu sedap.
Netizen terhibur siap berseloroh
Sementara itu, memindai ke ruangan komen pula, kebanyakan pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi setelah melihat hantaran itu.
Malah, kebanyakan mereka terhibur dengan pesanan makanan yang tertera bilik mayat terbabit.
Rata-rata pengguna Facebook berseloroh dengan menyatakan bahawa mayat juga masih berselera untuk makan meskipun sudah meninggal dunia.






