Penduduk AS Boleh Didenda & Penjara Jika Guna Aplikasi AI China, DeepSeek
Presiden Donald Trump menyifatkan aplikasi DeepSeek ini sebagai ‘wake-up call’ (kesedaran) untuk industri teknologi di Amerika Syarikat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada zaman ini, teknologi kecederdasan buatan (AI) semakin berkembang dengan pesat di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Tiada siapa yang boleh menafikan tentang kelebihan menggunakan AI ini yang dapat membantu dalam urusan seharian dan kegunaan kerja.
Aplikasi-aplikasi yang menyediakan perkhidmatan AI ini juga boleh dikatakan semakin banyak sekali gus membuka ruang kepada orang ramai untuk memilihnya.
Amerika Syarikat larang penduduk guna DeepSeek
Bagaimanapun, satu rang undang-undang baharu yang dicadangkan di Amerika Syarikat menetapkan individu yang menggunakan aplikasi Al China, DeepSeek di negara itu bakal berdepan hukuman denda jutaan dolar atau penjara.

Memetik Independent, rang undang-undang yang dikemukakan oleh Senator Republikan, Josh Hawley itu bertujuan untuk melarang rakyat AS daripada memajukan keupayaan AI di China.
Cadangan yang dikemukakan ini juga akan menghalang pengimportan ‘teknologi atau harta intelek’ yang dibangunkan di negara Tanah Besar itu.
Guna DeepSeek di AS boleh didenda jutaan dolar atau penjara
Difahamkan, di bawah undang-undang ini, mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Bagi denda pula, individu yang menggunakan DeepSeek boleh didenda sehingga AS$1 juta (kira-kira RM4.4 juta), manakala perniagaan pula boleh mencecah sehingga AS$100 juta (RM442.5 juta).
Meskipun rang undang-undang ini tidak menyebut DeepSeek secara langsung, tetapi ia diperkenalkan hanya seminggu selepas chatbot China terbabit menjadi aplikasi AI paling popular di AS sehingga menyebabkan saham gergasi teknologi di negara Uncle Sam itu jatuh menjunam.
Tidak hanya itu, populariti mendadak DeepSeek ini juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan, privasi dan etika seperti ketidakmampuan DeepSeek menjawab soalan berkaitan isu sensitif tentang Parti Komunis China.

Presiden AS, Donald Trump menyifatkan aplikasi China ini sebagai ‘wake-up call’ (kesedaran) untuk industri teknologi di sana selain White House juga dilaporkan sedang menilai kesan DeepSeek terhadap keselamatan negara.
Gerakan untuk haram dan larang penggunaan DeepSeek di AS
Tentera Laut Amerika Syarikat telah pun melarang anggotanya daripada menggunakan DeepSeek untuk tugas kerja atau kegunaan peribadi.
Manakala NASA pula telah mengharamkan teknologi AI itu daripada digunakan pada peranti dan rangkaian kerajaan.
Beberapa negeri juga telah menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan larangan ke atas DeepSeek, di mana Texas menjadi negeri pertama yang melaksanakan larangan ke atas aplikasi itu.
“Texas tidak akan membenarkan Parti Komunis China menyusup masuk ke dalam infrastruktur negeri ini melalui aplikasi AI dan media sosial yang mengumpul data.
“Texas akan terus melindungi dan mempertahankan negeri ini daripada pihak asing yang mempunyai sifat bermusuhan,” kata Gabenor Texas, Greg Abbott.
Pakar keselamatan turut memberi amaran bahawa DeepSeek mungkin menimbulkan ancaman yang lebih besar kepada perniagaan dan kerajaan berbanding aplikasi milik China yang lain seperti TikTok.
Sekadar info, pengharaman dan larangan DeepSeek ini bukan hanya di AS, malah negara Taiwan dan Australia juga sudah melarang peranti kerajaan daripada menggunakan aplikasi AI buatan China itu, lapor TechNave.



