fbpx
Now Reading
“Saya Kena Kuat” – Tular Video Wanita Pujuk Anak Yang Merintih Sakit Kanser, Si Ibu Kongsi Kisah Sebenar

“Saya Kena Kuat” – Tular Video Wanita Pujuk Anak Yang Merintih Sakit Kanser, Si Ibu Kongsi Kisah Sebenar

Wanita yang dikenali sebagai Haida itu menjelaskan, anak sulungnya dilahirkan normal dan merupakan seorang yang ceria serta aktif bersukan sebelum disahkan menghidap Leukemia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita terkini dan isu trending.


Jika sudah namanya manusia, pasti tidak lari dari diuji dengan cabaran dan dugaan dalam kehidupan.

Ia pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada orang yang diuji dari segi pendapatan, kesihatan dan pekerjaan.

Namun, ada juga yang diuji dengan masalah kesihatan diri sendiri atau orang tersayang yang dilanda penyakit kronik.

Keadaan sebegini pastinya menguji kesabaran dan ketabahan seseorang apatah lagi melihat yang tersayang berada dalam kesakitan.

Ibu Kuat & Tabah Layan Luahan Anak Sakit Kanser

Itulah yang dialami oleh seorang wanita apabila dia diuji anak perempuan kesayangannya menghidapi penyakit barah darah atau leukemia.

Menerusi video yang tular dan dikongsikan di TikTok @allyshaaida, kelihatan dia memujuk kanak-kanak berkenaan yang meluahkan rasa sakit akibat kanser yang dihadapinya.

“Kenapa Allah tunjukkan jalan macam ini? Tapi sakit, kakak tak kuat ibu. Sakit badan, sakit kepala.

“Kakak dah tak tahan ibu, sakit badan, sakit semua, kakak nak macam dulu,” luah anaknya.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah wanita berkenaan dilihat kekal tenang dan terus memeluk serta memujuk anaknya itu dengan kata-kata yang positif.

Perkongsian wanita itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang turut sebak dan tersentuh melihat momen di antara ibu dan anak.

Malah, majoriti pengguna media sosial menitipkan doa agar anak kecil itu segera diberi kesembuhan.

Wanita Kongsi Cerita, Terpaksa Kuat Depan Anak & Tak Mahu Anak Sedih

Memetik Harian Metro, wanita yang dikenali sebagai Haida Pairan itu menjelaskan, tujuan dia berkongsi video bersama anak perempuannya Nur Umairah Mohd Fauzi adalah sebagai kenangan dan sokongan kepada pejuang barah yang lain.

“Sebagai ibu, memang luluh hati saya melihat anak merintih dan tak sanggup rasanya tengok dia menangis kerana kesakitan.

“Tapi saya kena kuat menahan air mata supaya anak saya tak tahu dan nampak kedukaan saya.

“Lagipun, anak pernah tanya adakah dia penyebab semua orang sekeliling bersedih sebab dia sakit. Jadi sejak itu, saya berjanji dengan diri saya yang saya tak akan menunjukkan kesedihan di depannya,” katanya.

Anak Dilahirkan Normal, Simptom Mula Muncul Pada November Lalu

Cerita Haida, anak sulungnya itu dilahirkan normal dan merupakan seorang yang ceria serta aktif bersukan.

“Kakak (Nur Umairah) juga seorang pengawas, namun pada pertengahan November lalu, dia mula menunjukkan simptom seperti kerap demam yang lambat nak baik, nampak muka letih dan pucat serta ada kesan lebam pada badan.

“Melihat perubahannya yang ketara itu, saya dan suami bawa anak ke klinik kesihatan kemudian lakukan ujian darah.

“Tak lama selepas itu, doktor hubungi saya untuk datang ke klinik beritahu keputusan darah tak normal dan minta rujuk ke hospital,” jelasnya.

Hampir Pengsan Bila Tahu Keputusan Sampel Darah & Air Tulang Sumsum

Tambah wanita itu lagi, hasil pemeriksaan terhadap sampel darah dan air tulang sumsum Nur Umairah mendapati anaknya itu menghidap barah.

“Penerimaan awal agak sukar malah saya amat terkesan sampai terasa nak pengsan kerana terkejut, tak boleh terima dan seolah tak tahu nak berpijak di mana.

“Suami awalnya positif tapi dia pun sedih dan sejak November lalu, kakak memang banyak hari tak ke sekolah kerana awal Disember lalu, dia mula menjalani rawatan kemoterapi yang sudah selesai empat sesi.

“Setakat ini, nampak dia okay lagi cuma emosinya agak ‘down’ kerana tanya kenapa keadaannya begitu dan rindu juga dengan kawan,” ujarnya.

Haida kini sedang menjaga anaknya yang berusia 11 tahun itu sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 21 Disember 2024.

Sanggup Ganti Tempat Anak Tanggung Kesakitan

Jelas Haida, jika diberi pilihan, dia sanggup menggantikan tempat dan menanggung kesakitan yang dialami oleh kanak-kanak berkenaan namun dia tiada pilihan sebaliknya hanya menerima ketentuan Illahi.

“Jujurnya, waktu awal dulu memang saya pernah persoalkan kenapa anak yang sakit, bukannya saya kerana berat untuk dia tanggung dalam usia muda, tapi perancangan Allah SWT itu lebih baik.

“Kalau saya sakit, macam mana dengan dia dan anak lain. Jadi sebagai ibu, saya akan terus galas tanggungjawab menjaga dan ikhtiar kerana nak tengok anak kembali sihat.

“Kekuatan saya dapat daripada anak dan orang sekeliling, iaitu suami, keluarga dan rakan, kerana ada yang sanggup datang daripada jauh untuk ziarah.

“Ikutkan, saya masih bekerja cuma di luar pejabat dan sehingga Mac depan serta berkemungkinan akan ditamatkan perkhidmatan kerana tidak dapat hadir (ke pejabat secara fizikal).

“Bagi saya, nyawa anak tak boleh dibeli, jadi mungkin ada rezeki lain di kemudian hari nanti,” katanya.

Berkerjasama Dengan Suami Beli Keperluan Anak

Tambah Haida, dia dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori kini bersama-sama mengeluarkan belanja bagi menampung kos keperluan Nur Umairah seperti lampin pakai buang.

Buat orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada mereka, boleh menyalurkan sumbangan tersebut ke akaun Maybank 151071000777 atas nama Haida Pairan.

Baca Artikel Berkaitan: “Anak Yang Kuat”- Ibu Kongsi Anak Hidap Kanser Tulang Buat Ramai Sebak [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Suami Tergamak Tinggal Isteri Hidap Kanser Rahim Tahap 4, Anak-Anak Tak Dapat Ke Sekolah

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.