Pakar Kongsi Tips Untuk Atasi Masalah Brain Rot, Paling Penting Kurangkan Rangsangan Digital!
Pakar psikologi Amirul Ramli berkata masalah brain rot boleh membuatkan otak menjadi lembab, seterusnya menyebabkan kesukaran fokus, susah berasa semangat dan hilang motivasi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Dengan penggunaan peranti berskrin seperti telefon pintar dan tablet yang seolah-olah menjadi satu kewajipan harian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir individu yang mula mengalami masalah ‘brain rot’.
Brain rot merujuk kepada keadaan di mana keupayaan kognitif seseorang dilihat sebagai merosot akibat ketagihan skrin serta menonton kandungan berkualiti rendah.
Namun ini tidaklah bermakna kesan itu berkekalan selama-lamanya dan tidak boleh diperbaiki semula.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Brain Rot’ Dipilih Sebagai ‘Word Of The Year 2024’ Oleh Oxford University Press
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Ini Jelaskan Mengapa Animasi ‘Skibidi Toilet’ Berbahaya Buat Kanak-Kanak
Lima Kaedah Untuk Perbaiki Masalah Brain Rot
Seperti yang dikongsikan oleh pakar psikologi Amirul Ramli di TikTok (@amirul.ramli), terdapat beberapa kaedah yang boleh dijalankan oleh seseorang bagi memperbaiki masalah brain rot yang dihadapi.
Katanya dalam keadaan brain rot, otak yang lembab akan menyebabkan kesukaran fokus, susah berasa semangat dan hilang motivasi.
#1. Kurangkan Rangsangan Digital
Dalam era teknologi masa kini, boleh dikatakan semua orang mesti ada menonton media digital setiap hari.
Namun Amirul berkata bagi menghilangkan masalah brain rot, rangsangan digital ini perlu dikurangkan.
“Banyak sangat swipe, skrol video pendek, ambil tahu isu semasa yang tak berkaitan pun dengan hidup anda. Boleh, tapi bila terlalu banyak sangat, dopamin itu dibanjiri tanpa ganjaran sebenar,” katanya.
Jelasnya, kadar dopamin tinggi ini akan membuatkan otak seakan-akan lali terhadap keseronokan dan sukar untuk fokus.
Amirul mengingatkan orang ramai agar membiarkan diri berasa bosan seketika supaya kreativiti otak dapat diaktifkan semula.

#2. Tingkatkan Rangsangan Intelektual
Bila sebut tentang ‘intelektual’, mungkin ramai kurang berminat untuk mengambil tahu tentang sesuatu yang baharu buat dirinya.
Namun kata Amirul, cabaran intelektual inilah yang akan mengelakkan otak daripada berasa layu.
“Bila anda belajar benda baharu, sambungan neuron akan jadi lebih aktif. Otak anda mula bina sambungan baharu,” ujarnya.
Seperti yang dinyatakan dalam satu kajian, pembelajaran ialah salah satu agen penting yang dapat mendorong struktur dan fungsi plastisiti dalam sistem saraf.
Sebagai info, plastisiti saraf merupakan keupayaan otak untuk membentuk dan menyusun semula sambungan sinaptik, lebih-lebih lagi dalam respon terhadap pembelajaran, pengalaman atau selepas mengalami kecederaan.

#3. Tingkatkan Kualiti & Masa Tidur
Menurut Amirul, otak akan membersihkan dirinya sendiri daripada toksin ketika sedang tidur menerusi sistem glymphatic, seterusnya membantu dalam menguatkan memori.
Dalam masa sama, sistem ini juga akan menggerakan bahan penting seperti lemak dan gula kepada bahagian otak yang memerlukannya.
Menurut Cleveland Clinic, sistem glymphatic berfungsi dengan lebih baik ketika seseorang sedang tidur.
Tambah Amirul lagi, tidur yang terganggu boleh menyebabkan bahan toksin terkumpul seperti beta amyloid mengganggu tumpuan seseorang, seterusnya menyebabkan masalah seperti demensia.
Bagi membantu tidur yang lena di sebelah malam, Amirul menasihati orang ramai agar mendapatkan cahaya matahari yang mencukupi pada waktu siang dan tidak menggunakan telefon pintar sejam sebelum tidur bagi mengelak gangguan pada kadar melatonin (hormon tidur).

#4. Dapatkan Rangsangan Fizikal
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ramai yang menjalani gaya hidup sedentari pada masa kini, iaitu terlalu banyak duduk dan kurang pergerakan.
Namun Amirul berkata pergerakan tubuh badan perlu aktif agar aliran darah ke bahagian otak dapat dipertingkatkan.
Situasi ini kemudiannya dapat merangsang ‘brain-derived neurotrophic factor‘ (BDNF), iaitu protein yang membantu pertumbuhan dan fungsi neuron.
“Boleh buat senaman yang melibatkan koordinasi seperti berjalan, beranang dan berbasikal,” katanya.

#5. Regulasi Emosi & Kesedaran Diri
Mengulas lanjut, Amirul berkata brain rot juga boleh berlaku apabila seseorang terperangkap dalam keadaan emosi atau tekanan yang tidak diselesaikan seperti banyak berfikir, marah, risau dan memendam rasa.
Jelasnya, keadaan ini akan membuatkan bahagian amygdala (yang memproses emosi) dalam lobus temporal otak menjadi aktif secara berlebihan.
Perkara ini seterusnya boleh melemahkan bahagian otak yang lebih rasional iaitu lobus depan, yang menyebabkan respon ‘fight-or-flight’. Keadaan ini dikenali sebagai ‘amygdala hijack‘.
“Jadi belajar untuk uruskan emosi, cari mekanisme untuk mengatasi tekanan. Bila sistem saraf otak lebih tenang, anda fikir pun lebih jelas dan keseimbangan antara logik dengan rasional tu pun baik,” kata Amirul.

@amirul.ramli ♬ original sound – AmirulRamli | MentalHealth
Tonton video penuh [DI SINI].
Kenal Pasti Masalah Brain Rot Pada Anak Menerusi Tanda-Tanda Ini
Masalah brain rot bukan sahaja dialami oleh orang dewasa, malangnya turut terjadi dalam kalangan kanak-kanak bawah umur juga yang kerap menonton skrin.
Sebagai ibu ayah, anda harus cakna mengenai masalah ini dan memerhatikan sama ada anak-anak mengalami brain rot.
Sebelum ini, pempengaruh yang dikenali sebagai Md No telah berkongsi cara untuk mengenal pasti masalah ini pada anak, termasuk:
- Mempunyai jangka masa perhatian (attention span) yang pendek.
- Sukar untuk mengingati sesuatu dan cepat lupa perkara yang didedahkan.
- Sukar untuk membuat keputusan walaupun yang mudah.
Sebaiknya, ibu ayah perlu elakkan pemberian gajet kepada anak. Namun jika terpaksa, tetapkan tempoh penggunaan yang bersesuaian.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Anak Kerap Tonton Skrin? Perhatikan Tanda-Tanda Ini Untuk Kenal Pasti ‘Brain Rot’
Baca Artikel Berkaitan: Nak Elak Beri Gajet Kepada Anak Kecil? Wanita Ini Kongsi 3 Tips Mudah Buat Ibu Bapa
Baca Artikel Berkaitan: Cikgu Jelaskan Kesan Telefon Pintar Pada Murid Walaupun Tak Dibawa Ke Sekolah