Ini Tips Simpan Susu Badan Dalam Freezer, Nak Panaskan Semula Pun Ada Caranya
Menurut kaunselor penyusuan Nur Syuhada yang berkongsi tips tersebut, susu bayi perlu disimpan mengikut saiz susuan agar mudah dicairkan semula.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seusai melahirkan cahaya mata, ibu menyandang lebih banyak tanggungjawab terutamanya untuk memberi susu badan. Setiap dua, tiga jam sekali kena suap susu, tengah malam pun kena bangun tau!
Namun sesetengah ibu lebih-lebih lagi mereka yang bekerja perlu mengepam susu badan untuk diberi kepada bayi ketika tidak berada bersama dengannya.
Susu badan diperah atau ‘expressed breast milk’ (EBM) pula kena disimpan dengan betul. Kalau tak habis rosak susu dan bayi pun tak boleh minum lagi.
Baca Artikel Berkaitan: “Susu Tak Keluar Pun Lagi?” – Pakar Ini Ulas Topik Bila Sebenarnya Susu Ibu Mula Dihasilkan
Baca Artikel Berkaitan: “Meriahnya Rezeki Susu Anak-anak” – Tindakan Wanita Ini Kongsi Susu Badan Dipuji Netizen
Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Suami Bagi Upah Pada Isteri Sebab Susukan Anak?
Susu Badan Hanya Tahan 5 Hari Di Dalam Chiller
Selepas diperah, susu badan boleh disimpan di dalam peti sejuk (chiller) atau peti sejuk beku (freezer). Tapi macam mana cara sebenar untuk simpan susu ini supaya kualitinya terjaga?
Kaunselor penyusuan Nur Syuhada menerusi hantaran di Threads, telah berkongsi cara untuk menyimpan susu dan memanaskannya semula.
Katanya, EBM boleh disimpan di dalam chiller selama lima hari dan dibiarkan di dalam botol. Kemudian ia perlu dibekukan di dalam freezer agar dapat tahan lebih lama.
Simpan Susu Dalam Plastik Ikut Portion Susuan Bayi
Untuk simpan di dalam freezer, susu perlu dialihkan daripada botol ke dalam beg plastik khas (milk storage bag).
Menurut Syuhada, susu itu perlu diasingkan dan disimpan mengikut jumlah (portion) yang diminum oleh bayi setiap kali susuan.
Sebagai contoh, jika sebanyak 6oz susu berjaya diperah dan bayi minum 2oz setiap kali susuan, bahagikan susu itu ke dalam tiga beg.
Nak pilih saiz beg simpanan susu ni pun ada caranya. Syuhada mencadangkan agar ibu menggunakan saiz plastik yang dua kali ganda lebih besar berbanding jumlah susu yang disimpan.
Contohnya, bagi susu 2oz saiz beg perlu antara 4oz ke 5oz, manakala saiz beg 6oz sesuai untuk menyimpan susu 3oz.

Ini adalah supaya susu dapat disimpan di dalam beg secara nipis, sekaligus menjimatkan ruang simpanan dan memudahkannya dicairkan semula.
Malah seperti air biasa, susu juga akan berkembang sekitar 1oz apabila disimpan di dalam freezer dan memerlukan saiz beg simpanan yang lebih besar.
Keluarkan Angin & Label Tarikh Di Beg Plastik Simpanan Susu
Dalam masa sama, Syuhada juga meningatkan para ibu agar mengeluarkan angin sebelum menutup beg tersebut bagi mengelakkan masalah ‘freezer burn’ pada susu.
Walaupun ia tidak akan mengurangkan kadar nutrien di dalam susu, namun rasa dan teksturnya yang berubah boleh membuatkan bayi enggan meminumnya.
Di samping itu, ibu juga disarankan agar melabelkan beg susu dengan tarikh dan waktu perahan agar susu yang lebih lama digunakan terlebih dahulu mengikut kaedah ‘first in, first out’ (FIFO).
Berdasarkan risalah oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), EBM yang disimpan di dalam freezer boleh tahan sehingga setahun, tetapi lebih baik diberi kepada bayi dalam tempoh enam bulan.

Ini Cara Cairkan Susu Bayi, Lebih Baik Lakukan Secara Semalaman
EBM yang dah dibekukan mestilah perlu dicairkan semula sebelum dipanaskan untuk diberi kepada bayi. Jadi bagaimana caranya?
Menurut Syuhada, sebenarnya ada dua kaedah mencairkan susu yang ibu boleh ikut. Boleh dikatakan kedua-dua kaedah ini sama seperti kita mencairkan bahan masakan beku lain.
#1. Cairkan Semalaman
Menerusi kaedah ini, beg simpanan susu dari dalam freezer perlu dikeluarkan dan dialihkan ke bahagian chiller sebelum ibu masuk tidur di waktu malam.
Namun jangan letakkan susu sebegitu sahaja, sebaliknya masukkan ke dalam mangkuk sebelum disimpan ke dalam chiller bagi mengelakkan susu tumpah sekiranya ada bocor.
Keesokan paginya, ibu hanya perlu menuangkan susu yang telah cari ke dalam botol bayi.
Ini dikatakan sebagai kaedah yang lebih baik memandangkan suhu susu menurun secara stabil dan tidak mendadak, sekaligus dapat melindungi kadar nutrisinya.
#2. Cairkan Di Bawah Air Paip
Kalau terlupa nak alihkan beg simpanan susu ke dalam chiller lebih awal, ibu jangan risau.
Cuma perlu keluarkan sahaja beg simpanan susu apabila mahu diberi kepada bayi, dan alirkan di bawah air paip.
Lakukan perkara ini sehingga susu cair sepenuhnya sebelum tuangkan ke dalam botol bayi.
Diingatkan juga bahawa EBM dari freezer yang telah dicairkan hanya boleh disimpan 24 jam di dalam chiller dan TIDAK BOLEH dibekukan semula.
Ia juga perlu dihabiskan dalam tempoh satu hingga dua jam jika dibiarkan di suhu bilik.
View on Threads
Ini Kaedah Panaskan Susu, Jangan Guna Microwave!
Lepas susu tadi dah dicairkan, mestilah ia perlu dipanaskan terlebih dahulu agar menjadi sedikit suam.
Kaunselor penyusuan itu menjelaskan bahawa terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan untuk memanaskan susu.
#1. Tinggalkan Di Luar Sahaja
Sebenarnya susu tidaklah wajib dipanaskan. Cukup sekadar suhu susu dinaikkan mengikut suhu bilik sahaja.
Hanya letakkan sahaja susu di luar selama lima minit sehingga mengikut suhu bilik iaitu antara 20°C ke 22°C.
#2. Rendam Dalam Air
Tapi macam mana kalau keadaan cuaca agak sejuk ketika itu? Macam musim hujan, di kawasan tanah tinggi atau di dalam hotel.
Ibu ayah boleh memanaskan susu sedikit dengan cara merendam botol yang mengandungi susu di dalam air.
Sediakan air mengikut nisbah dua (2) air biasa dan satu (1) air panas di dalam mangkuk.
Kemudian rendamkan sahaja botol susu tadi selama lima minit atau sehingga susu capai suhu yang bersesuaian.
#3. Milk Warmer
Nak lagi mudah, ibu ayah juga boleh beli pemanas susu khas (milk warmer) sehingga 37°C ke 40°C, yakni suhu yang paling optimum.
Namun jangan tinggalkan susu di dalam pemanas terlalu lama dan ikut cara-cara yang disertakan di dalam buku panduan peralatan tersebut.
Ada juga pemanas susu mudah alih yang boleh digunakan ketika dalam perjalanan atau ketiadaan sumber elektrik.

AMARAN! Pastikan ibu ayah test dulu susu di pergelangan tangan untuk ukur tahap kepanasan. Jangan beri susu lebih 40°C kepada bayi.
Sebagai peringatan, susu juga tidak sepatutnya dipanaskan di dalam mesin ketuhar gelombang (microwave) kerana boleh mengurangkan kadar nutrien dan menghasilkan ‘hot spot’ yang boleh menyebabkan mulut bayi melecur.
Tak Salah Beri Susu Sejuk Jika Bayi Mahu Minum
Mungkin ramai yang merasakan tidak boleh beri susu sejuk kepada bayi. Ada yang cakap boleh buat perut bayi kembung, selesema dan batuk.
Namun sebenarnya ini hanyalah mitos semata-mata. Menurut CDC sendiri, susu boleh diberi kepada bayi secara sejuk.
Syuhada menjelaskan bahawa bayi boleh diberi susu sejuk sekiranya mereka dapat menerimanya dengan baik.
Ini kerana bayi selalunya sudah biasa dengan susu suam yang dikeluarkan dari payudara ibu.
Susu Ibu Pada Waktu Siang & Malam Ada Kandungan Hormon Berbeza
Selain melabelkan tarikh susu dipam pada beg simpanan, terdapat juga saranan agar waktu (AM atau PM) EBM turut dicatatkan.
Saranan ini timbul kerana susu ibu yang dihasilkan pada sebelah siang mengandungi lebih banyak hormon kortisol yang berfungsi dalam meningkatkan kecerdasan.
Manakala susu ibu pada waktu malam pula mengandungi melatonin yang menyelaraskan ritma sikardian badan, seterusnya membantu bayi tidur.
Doktor perubatan Karan Raj berkata, bayi tidak mempunyai jam biologi sendiri dan bergantung kepada isyarat luaran (termasuk susu badan) untuk membantu mereka membangunkan pemahaman tentang waktu malam dan siang, serta membina ritma sirkadian mereka.
Katanya, satu kajian mendapati bahawa bayi yang minum susu dipam pada waktu malam tidur lebih cepat sedikit berbanding bayi diberi susu ‘salah waktu’ (yang dipam waktu pagi).

Baca Artikel Berkaitan: Susu Ibu Waktu Pagi & Malam Ada Kandungan Hormon Berbeza? [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Tips Berpuasa Untuk Bantu Ibu Yang Sedang Menyusu Bayi
Baca Artikel Berkaitan: Mufti Perjelas Hukum Ibu Sengaja Tak Mahu Menyusu Badan



