Peguam Kongsi Cara Sediakan Agreement ‘Pinjaman Persahabatan’, Dapat Elak Peminjam Tak Bayar Hutang
Antara maklumat penting yang perlu disertakan dalam dokumen perjanjian pinjaman berkenaan ialah alamat terkini peminjam serta salinan kad pengenalannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Selalunya bila ahli keluarga sendiri atau kenalan rapat minta pinjam duit, mesti kita berikan sahaja dengan harapan mereka akan membayar balik pinjaman itu kan?
Tapi kalau dah babitkan nilai yang terlalu besar, risau juga kalau dia tak pulangkan balik jumlah duit yang dipinjam. Tiba-tiba sahaja tak dapat dihubungi.
Sebenarnya ada cara untuk pastikan sebarang pinjaman yang anda beri kepada seseorang dijamin akan mendapat bayaran balik dari segi undang-undang.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wajar Ke Buat Pinjaman Peribadi Hanya Untuk Majlis Perkahwinan?
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pakar Kongsi Pros & Cons Ambil Pinjaman Kereta Selama 5 Serta 9 Tahun
Ini Cara Sediakan Dokumen Perjanjian Pinjaman Persahabatan
Itulah yang diterangkan oleh Peguam Nor Zabetha menerusi hantaran di Facebook Tanya Peguam Anda.
Katanya, dokumen perjanjian hutang yang dihasilkan boleh menjadi bukti jelas di mahkamah sekiranya pihak peminjam tidak mahu membayar hutang.
Bagi tujuan, pemiutang perlu menyediakan dokumen yang dinamakan sebagai ‘pinjaman persahabatan’, iaitu pinjaman diberi tanpa dikenakan sebarang bayaran faedah.
#1. Dapatkan Maklumat & Salinan IC Peminjam
Di dalam dokumen tersebut, sertakan maklumat nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat terkini pemiutang serta peminjam.
Kepilkan juga salinan kad pengenalan yang dipalangkan dengan perkataan ‘pinjaman’.
Perkara ini penting jika tindakan perlu diambil sekiranya tuntutan terpaksa dibuat menerusi mahkamah.
#2. Nyatakan Jumlah Pinjaman
Nyatakan ayat yang jelas tentang siapa yang memberi pinjaman, peminjam dan jumlah pinjaman yang diberikan. Contohnya:
“Dengan ini saya [nama pemberi pinjam wang] telah memberikan pinjaman sebanyak RM**** kepada [nama peminjam].”
#3. Tetapkan Kaedah Bayaran Semula Hutang
Nyatakan dengan jelas kaedah pembayaran semula oleh peminjam kepada pemiutang seperti tempoh akhir bayaran harus dilangsaikan.
Jika bayaran semula mahu dibuat secara ansuran, nyatakan juga jumlah yang harus dibayar secara mingguan atau bulanan.
Namun pastikan anda tidak mengenakan sebarang faedah atau bunga ke atas jumlah pinjaman sama sekali. Ini kerana hanya pemberi pinjaman wang berlesen yang boleh berbuat demikian.
Sekiranya anda menyatakan faedah, perjanjian tersebut mungkin tidak akan laku dari segi undang-undang.
Malah anda pula yang berisiko berdepan hukuman denda dan penjara di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

#4. Nyatakan Terma Pengingkaran
Seperti mana-mana perjanjian kewangan lain, pemiutang juga perlu memasukkan terma pengingkaran ke dalam dokumen tersebut.
Ini merupakan satu penjelasan bahawa peminjam yang gagal membayar hutang dalam tempoh ditetapkan akan dirujuk ke mahkamah.
Pemiutang boleh menetapkan pilihan mahkamah yang berhampiran dengan tempat tinggal agar tidak perlu mengeluarkan kos tinggi bagi tujuan perjalanan.
Dalam terma pengingkaran ini, boleh juga nyatakan bahawa barangan berharga dengan nilai bersesuaian akan menjadi cagaran jika gagal membayar hutang.
#5. Nyatakan Syarat-Syarat Penghantaran Surat Tuntutan
Sekiranya berlakunya kegagalan membayar hutang, surat tuntutan akan dihantar kepada pihak peminjam.
Oleh itu, nyatakan syarat bahawa urusan surat-menyurat tuntutan dari peguam dan dokumen-dokumen mahkamah akan dihantar ke alamat peminjam seperti dalam perjanjian dan dianggap sebagai serahan yang sempurna.
Jadi pihak pemiutang tidak perlu mengeluarkan kos bagi mengiklankan tuntutan di dalam surat khabar ataupun berjumpa sendiri dengan peminjam.
#6. Terma Perjanjian Sekiranya Berlakunya Kematian
Menerusi terma perjanjian ini, waris masih perlu melangsaikan hutang jika peminjam telah meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan bayaran penuh.
Namun sekiranya wang itu berjumlah kecil, tidak salah untuk pemiutang menghalalkan sahaja. Semoga menjadi saham di akhirat kelak.

Dapatkan Khidmat Peguam Jika Libatkan Pinjaman Puluhan Ribu Ringgit
Tambah Nor Zabetha, dokumen pinjaman bagi pinjaman yang bernilai kecil boleh dirangka sendiri oleh pemiutang.
Namun jika pinjaman membabitkan puluhan atau ratusan ribu ringgit, dia mencadangkan agar pemiutang melantik peguam yang sah, terutamanya dalam kes yang melibatkan cagaran hutang.
“Bukan apa, kebanyakan kes hutang nilai tinggi ini, bila dibawa ke mahkamah, si peminjam pandai pusing macam-macam alasan dia cari hendak elak bayar hutang.
“Kemudian dia cabar perjanjian tidak sahlah. Kononnnya dia ditekan suruh tandatanganlah. Kononnya nilai dia terima tak sama dengan perjanjian,” jelasnya.
Katanya dengan bantuan peguam, terma-terma khas yang lebih terperinci dapat disertakan di dalam dokumen berkenaan. Malah peguam juga boleh berfungsi sebagai saksi dalam perjanjian tersebut.
Utamakan Bayaran Hutang Berbanding Memberi Sedekah
Tidak dapat dinafikan ada pula pe’el si peminjam ini yang tidak mendahulukan bayaran hutang, tetapi membelanjakannya untuk perkara lain. Siap beri sedekah lagi.
Umat Islam mesti tahu bahawa membayar hutang merupakan satu kewajipan dan perlu dilangsaikan oleh waris jika peminjam meninggal dunia.
Berdasarkan penjelasan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus sebelum ini, bayaran hutang perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding memberi sedekah yang sunat.
Dia turut menyifatkan amalan bersedekah tetapi tidak membayar hutang seumpama dengan mereka yang melaksanakan puasa sunat namun tidak berpuasa wajib di bulan Ramadan.
“Sebab tu orang yang puasa sunat, Isnin dan Khamis tak pernah tinggal. Tapi dia tak puasa semasa Ramadan. Adakah puasanya diterima? Tidak kerana tergantung.
“Orang yang solat Dhuha dan Tahajjud, tetapi tak sembahyang lima waktu maka amalan sunat itu tergantung,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] UAI Perjelas Hukum Bersedekah Tapi Belum Langsaikan Hutang
Baca Artikel Berkaitan: Pakar Kongsi Cara Bayar Hutang Dengan Formula ‘SNOWBALL’. Boleh Cuba Praktik!
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Rela Diisytihar Bankrupt Kerana Tidak Mahu Bayar Hutang, Boleh Ke?


