Buat Macam-macam Cara Masih Tak Jalan? Ini Tips Hilangkan Bau Kepam Dalam Rumah Anda
Kadangkala ada individu tidak ada mood untuk berehat di rumah disebabkan bau hapak yang terperap dan sukar dihilangkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Buat mereka yang keluar bekerja, sudah tentu anda tidak sabar untuk pulang ke rumah selepas seharian melakukan tanggungjawab hakiki itu.
Mana tidaknya, mesti anda akan penat dan mula terbayang katil empuk dan selesa. Bak kata orang ramai, ‘Rumahku Syurgaku’. Namun buat sesetengah individu pulang ke rumah menjadi sesuatu yang tidak menyenangkan disebabkan faktor tertentu.
Antara masalah yang dialami segelintir penghuni adalah kediaman berbau busuk meskipun selalu dicuci dan dibersihkan.
Antara Punca Utama Rumah Bau Busuk
Dalam sesetengah kes, ia boleh berlaku apabila udara tercemar dari luar yang memasuki ke dalam ruangan rumah. Bagaimanapun, antara punca utama kediaman anda berbau adalah faktor dalaman yang dilakukan oleh penghuni tanpa mereka sedari.
Antara sebabnya adalah seperti berikut:
- Sisa makanan atau minuman
- Pakaian dan fabrik terpakai
- Saluran air yang tersumbat
- Sampah tidak dibuang dengan betul
- Haiwan peliharaan

Baca Artikel Berkaitan: “Boleh Bau Gambar Ni” – Keadaan Bilik Penuh Sampah Sarap Buat Ramai Geli
Baca Artikel Berkaitan: Ini Lima Tips Kekalkan Rumah Bau Wangi Buat Anda Yang Bela Kucing Indoor
Dalam masa sama, sikap individu yang hanya membersihkan rumah ‘ala kadar’ juga berkemungkinan puncanya. Oleh disebabkan itu, anda perlu membersihkan setiap kekotoran termasuklah di celah-celah yang tersorok.
Lima Tips Singkirkan Bau Busuk Di Rumah
Penting juga untuk anda mengambil tindakan segera jika masalah rumah berbau berlarutan. Jika tidak, risau bau tidak menyenangkan itu ‘melekat’ dan sukar dihilangkan.
Memetik Hello Doktor, berikut adalah lima petua yang anda boleh cuba bagi menghilangkan bau tersebut:
#1. Urus Sisa Makanan & Minuman Dengan Cermat
Pertama sekali adalah membuang sisa makanan dan minuman dengan cermat. Bau busuk ini kebiasaannya datang daripada singki yang tersumbat atau tidak dicuci dengan baik.
Sisa makanan yang bertaburan atas lantai juga boleh menjadi ‘rumah’ kepada kuman bahaya membiak. Perlu diingatkan juga untuk segera mencuci pinggan mangkuk dalam singki selepas selasai makan.
Jangan tunggu singki menimbun dengan pinggan baru nak cuci!

#2. Kerap Cuci Pakaian
Petua seterusnya adalah mencuci pakaian dan fabrik di rumah dengan kerap. Jika baju yang tidak terbasuh dilonggok dalam tempoh masa lama, ia akan menghasilkan bau kepam dan juga hapak.
Lebih-lebih lagi yang terkumpul dalam bakul tu, memang akan cepat berbau jika dibiarkan begitu sahaja.
Dalam masa sama, jangan culas untuk lipat baju atau sangkutnya di dalam almari.

#3. Selenggara Paip Rumah
Langkah ke-3 yang perlu dilakukan di setiap rumah adalah menyelenggara paip tandas atau singki yang menghasilkan bau busuk itu.
Bau busuk boleh terhasil disebabkan air yang terperap lama dalam paip rosak. Sebaiknya adalah selenggara setiap paip di rumah anda sebulan sekali sebelum timbul sebarang masalah yang mendatangkan mudarat.

#4. Buang Sampah Di Tempat Sepatutnya
Antara tabiat sesetengah individu adalah enggan membuang sampah di tempat sepatutnya. Bukan tong sampah tidak disediakan, tetapi kadangkala malas nak bergerak dari tempat duduk dan kemudian membuangnya di merata tempat.
Perkara tersebut sebenarnya boleh menjadi punca rumah anda sentiasa berbau. Tips terbaik adalah menyediakan beberapa tong sampah yang berbeza saiznya.

Tong sampah besar boleh diletakkan di kawasan pintu belakang rumah atau dapur manakala tong sampah mini di sudut lain. Selain itu, jangan lupa untuk mengikat dahulu plastik sampah sebelum dibuang di tempat pelupusan.
Anda dinasihatkan untuk membuang semua sampah sekurang-kurangnya sekali sehari agar tiada lagi bau busuk terperangkap.

#5. Menjaga Kebersihan Haiwan Peliharaan
Haiwan peliharaan di rumah seperti kucing, anjing, arnab dan sebagainya memang buat kita rasa geram dengan kecomelannya.
Namun jangan lupa, anda sebagai pemilik perlu menyandang tanggungjawab besar bagi memastikan kebersihan anak bulus ini terjamin.

Haiwan peliharaan yang dibela di dalam rumah (indoor) memerlukan penjagaan rapi dari sudut pengurusan dan pembuangan najis kecuali ia telah dilatih ‘membuang’ dengan baik.
Bagi sesetengah kucing, bulunya mudah berbau dan menghasilkan persekitaran rumah yang tidak nyaman. Penting untuk anda menyediakan pengudaraan yang baik agar bau tersebut tidak terperap di dalam kediaman.

Tips paling penting adalah kena rajin! Penat macam mana pun, cuba untuk meluangkan masa sebentar bagi mengemaskan rumah dan mencuci perkara yang patut.
“Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.”
Baca Artikel Berkaitan: Ini Antara Petua Membersih Rumah Dengan Cara DIY. Mudah, Jimat & Cepat!
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Senarai Barang Penting Untuk Bersihkan Rumah Pasca Banjir
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Geng Motor Dipuji Jaga Kebersihan Homestay, Siap Cuci Lantai Simen Sebelum Check-out