Boleh Jadi Agen Hilang Kotoran, Ini Tips Cuci Baju Hanya Guna Bahan Di Dapur
Antara barang dapur yang boleh berfungsi sebagai agen pencuci adalah cuka dan tepung.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Mencuci baju sememangnya nampak mudah. Namun, jika tidak kena gaya, ia boleh menjadi satu tugas yang sukar.
Ini kerana ada hari segelintir individu tersilap mencampurkan baju berwarna putih dengan warna yang lain.
Lebih parah jika ada yang menggunakan peluntur untuk menghilangkan kotoran lebih-lebih lagi kepada pakaian berwarna putih hingga hilang warna asalnya.
Tahukah anda, sebenarnya ada cara selamat dengan hanya menggunakan bahan di dapur yang boleh bertindak sebagai agen pencuci pakaian? Jom kami kongsikan bahan tersebut;
#1 Perahan Lemon
Perahan air lemon boleh memutihkan baju yang berwarna putih. Ini kerana asid di dalam lemon bersifat anti bakteria, anti septik dan merupakan pencerah semulajadi.
Buat para ibu yang mahu mencuci baju sekolah anak, bolehlah rendamkan baju dalam baldi dengan air yang bersih serta perahkan sebiji hingga dua biji lemon (bergantung kepada kuantiti pakaian) ke dalam baldi tersebut.
Masukkan juga buah lemon ke dalam rendaman dan kacau rata. Rendam selama 10 minit dan kemudian lakukan cucian seperti biasa.

#2 Susu Pekat
Macam tak percaya, susu pekat juga boleh diguna untuk menghilangkan kotoran degil seperti dakwat pen pada baju. Kadang-kadang, dah guna peluntur pun, kesan dakwat itu masih ada.
Caranya mudah sahaja. Sebelum mencuci pakaian, ambil tiga sudu susu pekat dan campurkan bersama air.
Kemudian, sapukan bancuhan tadi ke atas kesan dakwat berkenaan dan biarkan selama satu jam sebelum ia dicuci dengan sabun seperti biasa.

#3 Marjerin
Kotoran seperti kesan minyak sememangnya mudah terdapat pada pakaian malah kadangkala ia susah untuk dihilangkan.
Tahukah anda, marjerin sebenarnya boleh menjadi agen pencuci walaupun ia kelihatan agak berminyak.
Caranya adalah dengan menyapukan sedikit marjerin pada bahagian kotoran yang terkena minyak dan biarkan beberapa minit.
Sebelum mencuci pakaian seperti biasa, sediakan air suam dan rendam baju tadi dan bersihkan sapuan marjerin dalam rendaman air tersebut.
Jika masih tidak bersih, cuci berapa kali dengan air suam sebelum mencucinya seperti biasa.

#4 Tepung
Selain marjerin, tepung juga boleh digunakan untuk menghilangkan kotoran minyak pada pakaian. Ini kerana tepung juga merupakan agen pencuci semulajadi.
Campurkan beberapa sudu tepung dengan air dan pastikan campuran tersebut menghasilkan tekstur seperti ubat gigi.
Kemudian, sapu campuran tadi pada bahagian yang terkena minyak sebelum mencucinya seperti biasa.

#5 Cuka
Selain berfungsi sebagai bahan tambahan dalam masakan, cuka khususnya cuka putih juga boleh menjadi bahan pencuci alternatif menggantikan peluntur.
Lebih menarik, bahan ini boleh menghilangkan kesan tahi lalat pada baju lebih-lebih lagi yang berwarna putih dek kerana sifat antikulatnya selain boleh menjadikan baju putih nampak cerah semula.
Caranya adalah dengan menuangkan secawan cuka ke dalam besen berisi air suam. Kemudian, rendamkan pakaian yang mempunyai tahi lalat selama satu jam.
Selepas itu, bilas dan basuh pakaian tersebut seperti biasa.

Senang sahajakan? Apatah lagi semua bahan yang tersenarai memang mudah didapati di dapur.
Kalau guna sabun atau pencuci biasa pun tak jalan, korang boleh je cuba guna bahan-bahan di atas untuk hilangkan kotoran degil.
Baca Artikel Berkaitan: 11 Cara Penjagaan Baju Yang Betul, Barulah Pakaian Tahan Lebih Lama!
Baca Artikel Berkaitan: Cara Mudah Kekalkan Baju Putih



