Terlajak Masak Hidangan Yang Pedas? Ini Tips ‘Adjust’ Kembali Rasa Dalam Hidangan
Antara bahan yang boleh digunakan untuk mengimbang kembali rasa makanan adalah kentang dan gula atau madu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bagi kebanyakan orang, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menikmati hidangan utama dalam kehidupan seharian.
Ada yang memilih untuk membeli namun ada juga yang lebih senang untuk memasak bergantung kepada poket masing-masing.
Bila sebut tentang memasak, pernah tak menu yang disediakan seperti sambal ‘terlajak pedas’ hingga langsung tidak boleh ditelan?
Namun, korang tak perlu risau kerana ada cara untuk korang ‘adjust’ kembali rasa makanan itu menjadi lebih sedap.
Berikut kami kongsikan tips bagaimana kurangkan rasa pedas dalam makanan.
#1 Gula Atau Madu
Umum mengetahui gula atau madu mempunyai rasa yang manis.
Tambahkan sedikit gula atau madu dalam hidangan kerana kedua bahan ini dapat mengimbangi kepedasan dan memberikan rasa manis secara menyeluruh.

#2 Santan, Susu Atau Produk Tenusu
Petua lain jika nak seimbangkan semula rasa pedas dalam masakan adalah dengan menggunakan santan atau susu.
Santan dapat memberikan rasa lemak dan pekat manakala susu pula boleh memberikan elemen kelembutan.
Bukan hanya santan dan susu, produk tenusu seperti yogurt atau keju juga boleh digunakan untuk mengimbangi kembali rasa pedas mengikut kesesuaian makanan.

#3 Tambah Sayur-Sayuran
Sayur-sayuran juga boleh menjadi antara bahan yang dapat digunakan untuk menyesuaikan kembali rasa pedas dalam masakan.
Ini kerana penambahan sayur seperti lobak merah, brokoli atau kubis ke dalam makanan berkuah seperti tom yam mampu mengurangkan rasa pedas secara fizikal dan memberi lebih banyak tekstur kepada hidangan.

#4 Kentang
Kentang pun boleh menjadi ‘penyelamat’ untuk seimbangkan kembali rasa makanan.
Masukkan sebiji kentang dan masakkan ia bersama sehingga empuk. Kentang mampu menyerap kesemua rasa pedas yang berlebihan dan membetulkan semula rasa makanan.

#5 Bahan Yang Bersifat Masam
Jika di rumah korang ada bahan citrus atau masam antaranya seperti lemon, cuka mahupun asam jawa, bahan ini pun boleh digunakan untuk mengurangkan rasa pedas dalam masakan.
Namun, korang dinasihatkan agar tidak meletakknya dalam kuantiti yang banyak memandangkan ia juga boleh ‘merosakkan’ lauk yang dimasak.

#6 Mentega Kacang
Mungkin kedengaran agak pelik, namun mentega kacang juga merupakan antara bahan ‘magic’ yang boleh digunakan jika makanan dimasak terlajak pedas.
Memetik Astro Awani, ada yang berpendapat kandungan lemak semulajadi dalam kacang dapat menyerap rasa pedas pada masa sama menyerlahkan lagi rasa makanan.
Jika mahu menggunakan mentega kacang, pastikan ia dipanaskan terlebih dahulu agar mudah sebati jika dimasukkan dalam masakan.
Korang juga boleh menggunakan kacang tanah yang digoreng atau dibakar sebagai alternatif kepada bahan ini.

#7 Pilih Cili Berkedut & Tidak Kerinting
Ramai yang tahu kebanyakan masakan sambal berasaskan cili seperti cili kering.
Pemilihan cili yang tepat juga dapat membantu mengurangkan rasa pedas dalam masakan.
Bagi cili kering pula, pastikan korang memilih cili yang berbentuk lurus dan berkilat serta bukan jenis kerinting.
Namun sekiranya tersalah beli, korang boleh kurangkan rasa pedas cili berkenaan dengan membuang semua biji dan merebus ia dengan air panas.

Jadi, selepas ini, korang dah tak perlu membazir atau membuang makanan yang terlajak pedas.
Guna sahaja kesemua bahan di atas untuk mengembalikan semula rasa makanan yang sebenar.
Baca Artikel Berkaitan: Tips Simpan Daun Bawang Supaya Tahan Lama
Baca Artikel Berkaitan: Tips Hias Rumah Nampak Cantik Dan Elegan Di Hari Raya
Baca Artikel Berkaitan: “Belacan Banyak Sangat” – Netizen Kongsi Tips Pada Chef New Zealand Untuk Masak Sambal Nasi Lemak [Video]