Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Gejala seksual pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar sekolah.
Guru Besar Dipenjara 20 Tahun & 11 Sebatan Hasilkan Bahan Pornografi Serta Amang Seksual Pelajar Sekolah
Semalam (28 Oktober), Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhi hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan terhadap seorang guru besar, Anuar Kintan.
Keputusan itu dibuat gara-gara tindakannya yang menghasilkan bahan pornografi serta amang seksual seorang pelajar tahun enam pada tahun 2021.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Noorin Badaruddin dan bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid serta Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid telah menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan menghasilkan bahan pornografi.
Malah, panel turut mengetepikan keputusan mahkamah sebelum ini yang melepas dan membebaskan Anuar dari pertuduhan amang seksual secara fizikal kepada mangsa yang berusia 12 tahun ketika kejadian.
Tertuduh yang berusia 59 tahun kemudiannya disabitkan atas pertuduhan itu dan dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun dengan tiga sebatan.
Hakim Perintah Hukuman Penjara Dijalankan Secara Berasingan
Jelas Hakim Noorin sewaktu membaca keputusan sebulat suara itu, beliau turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan.
Malah, beliau turut mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap Anuar agar tertuduh mula menjalani hukuman penjara bermula semalam (28 Oktober).
Anuar sebelum ini telah mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman serta dibebaskan dengan ikat jamin bernilai RM14,000 bersama seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuan.
Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Lepas & Bebas Bagi Pertuduhan Ketiga & Keempat
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat yang masing-masing melibatkan amang seksual secara fizikal serta mengeluarkan kata-kata niat agar didengari mangsa bagi tujuan seksual, mahkamah walau bagaimanapun mengekalkan keputusan untuk melepas serta membebaskan Anuar dari kedua-dua pertuduhan terbabit.
Jelas Hakim Noorin, kanak-kanak perempuan itu telah memberi keterangan secara langsung dengan mengenal pasti tertuduh sebagai orang yang mengambil gambar-gambar terbabit serta hakim Mahkamah Sesyen telah mempertimbang dan menerima keterangan mangsa.
Malah, ia turut disokong dengan kewujudan gambar-gambar berkenaan dalam telefon bimbit Realme milik Anuar hasil pemeriksaan oleh pihak forensik.
Mahkamah Tak Setuju Dengan Alibi Dikemukakan Pihak Pembelaan Bagi Pertuduhan Kedua
Manakala bagi pertuduhan kedua, Hakim Noorin menjelaskan mahkamah tidak bersetuju dengan alibi yang dikemukakan oleh Anuar yang telah menimbulkan keraguan munasabah.
Ini kerana pihak pembelaan sebelum ini mengemukakan alibi di mana isteri Anuar telah menjelaskan bahawa tertuduh bersamanya di rumah dan bukan di sekolah sewaktu kejadian berlaku.
Walau bagaimanapun, Hakim Noorin menjelaskan keterangan rakan mangsa telah memberi sokongan material mengenai kehadiran tertuduh di sekolah pada 3 April 2021 serta pergerakan Anuar bersama mangsa.
Oleh kerana itu, keterangan alibi yang dikemukakan oleh tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah.
Mahkamah Sesyen pada 19 April 2024 mendapati Anuar bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun serta dua sebatan atas pertuduhan pertama iaitu menghasilkan bahan pornografi dengan mengambil gambar mangsa.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tambahan selama satu tahun serta dua sebatan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kedua-dua hukuman ini dijalankan secara serentak.
Walau bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan Anuar dari pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.
Namun, pada 15 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi kemudiannya menambah hukuman terhadap Anuar dengan penjara sembilan tahun dan lapan sebatan serta mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan tertuduh dari tiga pertuduhan lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Anuar di sebuah sekolah di Perak pada pertengahan Mac 2021 dan 3 April 2021.
Anuar diwakili peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi manakala pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmod dan P. Sarulatha.
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Didakwa Lakukan Amang Seksual Pada 2 Anak Lelaki, Arah Rakam Video Pornografi Kanak-Kanak
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Tambah 20 Tahun Tempoh Penjara Selepas Lelaki Lakukan Amang Seksual Kepada Anak Saudara Rayu Hukuman Dikurangkan
Nur Fatin
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.