Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Akan Terus Berjuang Agar Anak Saya Mendapat Keadilan” – Bapa [Video]
Menurut bapa kepada Irene Sofiya, Mohd Khairool Faisal, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya kira-kira jam 6 petang Sabtu (3 Oktober) lalu.
Mohd Khairool Faisal, bapa kepada Irene Sofiya, tekad memperjuangkan keadilan buat anak tunggalnya yang dibunuh di Yong Peng, Johor.
Bapa hanya mengetahui kejadian menimpa Irene Sofiya kira-kira jam 6 petang Sabtu, 3 Oktober, semasa sedang bekerja di Bangi.
Tiga pelajar lelaki rakan sekelas Irene Sofiya ditahan polis, dengan seorang direman enam hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak awal pagi semalam (4 Oktober), kecoh di media sosial berita mengenai seorang pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh.
Mangsa yang berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan lemah oleh nenek serta rakannya di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor sebelum tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.30 petang pada Sabtu (3 Oktober) lalu.
Dalam masa sama, turut tular laporan media mengenai punca kematian arwah yang dipercayai ada kaitan dengan cinta tidak berbalas.
Bapa Irene Sofiya Terus Berjuang Tuntut Keadilan Buat Anak
Malam tadi, bapa kepada Irene Sofiya, Mohd Khairool Faisal menjelaskan dia tekad untuk memperjuangkan keadilan buat anak tunggalnya itu.
Jelas Mohd Khairool Faisal yang berusia 42 tahun, dia bersama ahli keluarga lain akan memastikan anaknya mendapat pembelaan yang wajar ekoran daripada tragedi berkenaan.
“Saya akan terus berjuang agar anak saya mendapat keadilan. Saya perlukan sokongan semua pihak demi anak saya.
“Kami harap pelakunya mendapat hukuman sewajarnya. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Bapa Hanya Ketahui Kejadian Menimpa Anak Pada Petang Sabtu
Kongsinya, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya kira-kira jam 6 petang Sabtu (3 Oktober) lalu.
Jelas Mohd Khairool Faisal yang merupakan seorang jurutera, kakak sulungnya, Siti Nur Faeza Khyar telah menghubungi serta memaklumkan kepadanya bahawa Irene Sofiya atau juga dikenali sebagai Fiya ditemui dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.
“Ketika itu saya sedang bekerja di Bangi sebelum bergegas pulang ke kampung untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan Fiya ialah dua minggu lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah, Fiya kelihatan ceria dan seronok belajar,” jelasnya.
Bapa Zahir Terima Kasih Kepada Semua Pihak Beri Sokongan
Pada masa sama, Mohd Khairool Faisal turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan kepada dia dan keluarga susulan kejadian berkenaan.
“Alhamdulillah, daripada awal hingga akhir, urusan Fiya sangat mudah. Saya bersyukur kepada semua yang datang sejak semalam.
“Kami tidak mampu membalas budi baik mereka semua,” ujarnya.
Jenazah Irene Sofiya telah selamat dikebumikan kira-kira jam 7.50 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad.
Remaja 16 Tahun Direman 6 Hari, Polis Turut Rampas Barangan Suspek
Sebelum ini, tiga orang pelajar lelaki yang merupakan rakan sekelas Irene Sofiya telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Salah seorang daripada pelajar terbabit turut direman selama enam hari sehingga Jumaat (9 Oktober) ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan lanjutan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Paha kira-kira jam 7 malam pada hari kejadian.
“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Turut dirampas daripada suspek adalah sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar,” katanya.
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.