Hari ini (9 September), bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menggunakan kedudukannya pada 12 tahun lalu untuk mendapatkan jawatan sebagai pengerusi di sebuah syarikat dengan gaji RM690,000.
Abdul Azeez Mengaku Tak Bersalah Minta Untuk Dibicarakan
Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Dia berkata demikian di kandang tertuduh dalam keadaan tangan bergari dengan memakai baju ungu lokap polis.
Abdul Azeez Didakwa Guna Kedudukan Sebagai Pengerusi TH Untuk Dapatkan Jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Syarikat Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi berjumlah RM690,000.
Ia juga turut diserta dengan kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series serta seorang pemandu yang tetap.
Abdul Azeez Didakwa Yakinkan Ahli Lembaga TH Untuk Setuju Buat Pelaburan Sehingga RM193.5 Juta Di Putrajaya Perdana Berhad
Abdul Azeez juga didakwa turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Tan Sri Ismee Ismail agar mencadangkan pelantikan beliau sebagai wakil TH dalam syarikat tersebut.
Malah, dia juga didakwa meyakinkan Ahli Lembaga TH dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH Bil. 4/2014 (309) untuk meluluskan pelaburan sehingga RM193.5 juta (sehingga 30% modal saham terbitan sedia ada) kepada Putrajaya Perdana Berhad iaitu di syarikat tertuduh mempunyai kepentingan.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 25 Ogos 2014 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak.
Pertuduhan itu dibuat berdasarkan Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Law Chin How dan ‘Atirah Mohd Azuarizanuddin.
Manakala, Abdul Azeez diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Sebelum ini, Abdul Azeez telah direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos sehingga 2 Ogos lalu.
Dia direman bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Siasatan itu juga dibuat ekoran pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Baca Artikel Berkaitan: RCI Tabung Haji: Bekas CEO TH Direman 7 Hari Untuk Bantu Siasatan SPRM
Baca Artikel Berkaitan: RCI Tabung Haji: SPRM Tahan Bekas CEO, CFO Selepas Disyaki Salah Guna Kuasa Beli Saham Nilai RM370 Juta
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula
Nur Fatin
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.