Now Reading
Kes Bayi Dijumpai Dalam Tong Sanitari Di LTAPP, Polis Tahan Wanita Tempatan & Lelaki Warga Asing

Kes Bayi Dijumpai Dalam Tong Sanitari Di LTAPP, Polis Tahan Wanita Tempatan & Lelaki Warga Asing

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Anuwal Ab Wahab bayi terbabit ditemui oleh seorang pekerja pembersihan selepas terdengar tangisannya dari dalam tong tersebut pada 31 Ogos yang lalu.

Ringkasan
  • Seorang bayi dijumpai dalam tong sanitari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) PADA 31 Ogos, selepas pekerja pembersihan terdengar bunyi tangisannya. 
  • Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang bayi yang ditemukan dalam tong sanitari di tandas orang kurang upaya (OKU) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.

Dalam video tular itu, kelihatan dua individu dipercayai pihak berkuasa daripada lapangan tersebut mengeluarkan bayi berkenaan dari tong sanitari berkenaan.

Bayi yang dijumpai di LTAPP masih bernyawa

Terbaharu, bayi yang ditemukan di lapangan terbang berkenaan dilaporkan masih bernyawa.

Jelas Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab bayi itu ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan selepas terdengar tangisannya dari dalam tong berkenaan pada 31 Ogos yang lalu.

Ujarnya, bayi itu lalu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.

Seorang wanita tempatan ditahan namun sudah diberikan jamin untuk dihantar ke hospital

Susulan daripada insiden itu, polis kemudiannya menahan seorang wanita tempatan.

“Hasil siasatan dan semakan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan yang berusia 23 tahun di Kompleks Bukit Jambul bagi membantu siasatan.

“Wanita berkenaan diberikan jamin pada hari tangkapan kerana dihantar ke hospital untuk rawatan susulan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Seorang lagi lelaki warga asing turut ditahan

Menurut Anuwal lagi, siasatan lanjut yang dilakukan turut membawa kepada satu lagi penahanan seorang lelaki warga Myanmar berumur 22 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Lelaki berkenaan ditahan dan direman selama empat hari sehingga 4 September bagi membantu siasatan kes tersebut dan turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.”

Menurut Anuwal pasukan forensik daripada Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang juga sudah melakukan pemeriksaan di lokasi insiden.

Beberapa sampel diambil untuk analisis

Selain itu, beberapa sampel juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bertujuan untuk analisis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan serta kaitan individu yang ditahan dengan kejadian,” ujarnya lagi.

Anuwal dalam masa sama, turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga ia boleh menjejaskan siasatan polis.

Mengikut maklumat yang tular, bayi itu ditemui dalam keadaan masih mempunyai tali pusat dalam tong sanitari di tandas lapangan terbang berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.