Now Reading
RXZ Members 8.0: Tiada Roadblock, Polis Guna Kaedah Risikan & Rakaman Video Sebagai Bukti Sebelum Ambil Tindakan

RXZ Members 8.0: Tiada Roadblock, Polis Guna Kaedah Risikan & Rakaman Video Sebagai Bukti Sebelum Ambil Tindakan

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Ringkasan
  • Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan menggunakan kaedah risikan dan video sempena RXZ Members 8.0.
  • Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali menjelaskan setiap kesalahan akan didokumentasi dan disiasat sebelum tindakan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
  • Sebarang kebenaran yang diberikan bukan lesen untuk peserta melanggar undang-undang jalan raya atau menyalahgunakan jalan awam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Buat kebanyakan peminat bidang permotoran, pasti ramai tidak sabar dengan program RXZ Members Edisi Kelapan (RXZ Members 8.0) yang akan diadakan bermula 31 Julai sehingga 1 Ogos ini di Litar Permotoran, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Namun di sebalik penganjuran acara himpunan motosikal terbesar di Malaysia itu, seringkali kedengaran sikap segelintir peserta yang kebanyakannya terdiri daripada motosikal Yamaha RXZ tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Tiada Roadblock, Polis Guna Kaedah Risikan & Rakaman Video Sebagai Bukti Sebelum Ambil Tindakan Susulan

Terbaharu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman tidak bercadang untuk mengadakan sekatan jalan raya atau turut dipanggil ‘pukat’ sempena acara RXZ Members 8.0 itu.

Sebaliknya, polis akan menggunakan kaedah risikan dan rakaman video sebagai bukti sebelum mengambil sebarang tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, pihaknya akan menggunakan pendekatan yang seimbang dengan menggabungkan elemen bimbingan kepada peserta.

Ia termasuklah bimbingan dalam pendidikan keselamatan jalan raya dengan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

JSPT Dekati Golongan Muda Namun Tak Kompromi Dengan Kesalahan Yang Boleh Bahayakan Pengguna Lain

Jelas Muhammed Hasbullah, pihaknya akan mendekati golongan muda menerusi sesi penerangan dan bimbingan berkaitan jalan raya.

Namun, mereka tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kita mahu mendidik dan membimbing golongan muda mengenai kepentingan keselamatan jalan raya sepanjang penganjuran acara berkenaan, serta menekankan aspek undang-undang keselamatan jalan raya.

“Pada masa sama, kita akan tetap tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan orang lain, termasuk melalui risikan, merakam video serta bukti-bukti lain bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

“Ini termasuk menunggang atau memandu dalam keadaan membahayakan, melebihi had laju dibenarkan serta kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Semua Kesalahan Jalan Raya Akan Didokumentasikan & Disiasat Sebelum Tindakan Diambil

Tambah Muhammed Hasbullah lagi, semua kesalahan trafik antaranya seperti memandu melebihi had laju serta perbuatan berbahaya yang lain akan didokumentasi dan disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Tak Boleh Anggap Kebenaran Sebagai Lesen Langgar Peraturan

Tegasnya lagi, sebarang kebenaran yang diberikan terhadap aktiviti tertentu tidak boleh dijadikan lesen untuk melanggar undang-undang lalu lintas serta menyalahgunakan jalan awam.

“Kelulusan itu diberi bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan gangguan sepanjang acara berlangsung.

“Ia bukan bermaksud sesiapa diberi hak untuk melanggar undang-undang atau menggunakan jalan raya secara melulu.

“Jalan raya adalah untuk kegunaan semua pihak dan perlu digunakan secara bertanggungjawab.

“Ia bukan tempat untuk berkelakuan tidak bertanggungjawab atau melakukan aksi berbahaya,” jelasnya.

Tambah beliau, kaedah penguatkuasaan itu akan dilaksanakan selaras dengan arahan kepimpinan JSPT serta aspek keselamatan awam terus menjadi keutamaan.

Sebelum ini, penganjur RXZ Members 8.0 Mohamad Faizal Mat Ali mengumumkan perubahan slogan dari ‘Yang Kental Pasti Sampai’ kepada ‘Yang Santai Pasti Sampai’.

Ia sebagai usaha untuk menyemaikan budaya tunggangan berhemah serta memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan sekaligus mengelakkan insiden yang tidak diingini sepanjang program berlangsung.

Baca Artikel Berkaitan: Penganjur RXZ Members Tukar Slogan Jadi ‘Yang Santai Pasti Sampai’, Ajak Peserta Tunggang Motosikal Secara Berhemah

Baca Artikel Berkaitan: Perhimpunan ‘We Are RXZ Members’ Masih Boleh Diteruskan Dengan SOP, Jelas JSPT Bukit Aman

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.