Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Belum pun reda dengan kejadian seorang pelajar dibelasah rakan sebaya, semalam (23 Julai), tular pula di media sosial rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar didakwa memukul seorang lelaki yang dipercayai bapa seorang murid di hadapan sebuah sekolah di Seri Kembangan, Selangor.
Menerusi video tular, kelihatan seorang pelajar memegang bahu lelaki berkenaan sebelum lelaki itu diserang oleh beberapa pelajar yang lain sehingga menimbulkan rasa geram dalam kalangan pengguna media sosial.
Polis Tahan Beberapa Individu Terlibat Insiden Pergaduhan Depan Sekolah
Terbaharu, polis mendedahkan beberapa individu telah ditahan selepas seorang pelajar berusia 16 tahun serta bapanya dipukul dalam satu pergaduhan tular yang berlaku di hadapan sebuah sekolah.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, kesemua individu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini (24 Julai) bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Mangsa & Bapa Alami Kecederaan Akibat Dipukul
Jelas Muhamad Farid, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pergaduhan yang melibatkan beberapa orang pelajar serta bapa kepada seorang daripada pelajar berkenaan.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar sekolah.
“Mangsa dipanggil beberapa pelajar sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh semua suspek,” katanya.
Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami luka pada bahagian bibir, lutut serta sakit dan lebam seluruh badan.
Tambah Muhamad Farid, bapa mangsa yang mahu meleraikan pergaduhan terbabit turut dipukul hingga terjatuh ke atas jalan.
“Bapa mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan.
“Polis bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian ini ditangani secara profesional serta mengikut undang-undang,” jelasnya.
Kes Pergaduhan Disiasat Mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan & Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Jelas Muhamad Farid, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, Muhamad Farid menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Baca Artikel Berkaitan: Lagi Kes Buli! Ibu Dakwa Anak Dipukul Hingga Tengkorak Retak & Pendarahan Dalam Kepala Serta Telinga Kanan
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Sekumpulan Pelajar Bergaduh, Polis Buka Kertas Siasatan Cari Individu Terlibat
Nur Fatin
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.