Now Reading
Calon SPM Maut Dihempap Pokok Kelapa: Ibu Hiba 3 Anak Sudah Pergi Selamanya

Calon SPM Maut Dihempap Pokok Kelapa: Ibu Hiba 3 Anak Sudah Pergi Selamanya

Menurut ibu mangsa, Raja Ruhana, 53, dia masih terkejut anak bongsunya, Nik Mohd Haiqal meninggal dunia akibat dihempap pokok kelapa di Kampung Permatang Pasir Gunung, Bachok.

Ringkasan
  • Nik Mohd Haiqal Abd Rahim, 17, seorang calon SPM, maut dihempap pokok kelapa tumbang di Bachok, Kelantan.
  • Ibu mangsa, Raja Ruhana, berdukacita kerana tiga daripada empat anaknya telah meninggal dunia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (2 Julai), satu insiden menyayat hati dilaporkan berlaku apabila seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok kelapa.

Pokok itu telah tumbang sewaktu hujan dan angin kencang melanda di kawasan tali air Kampung Permatang Pasir Gunung di Bachok, Kelantan kira-kira jam enam petang.

Mangsa yang menunggang motosikal, Nik Mohd Haiqal Abd Rahim, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.

Ibu Mangsa Luluh Hati, 3 Daripada 4 Orang Anak Sudah Meninggal Dunia

“Daripada empat anak, kini saya hanya tinggal ada seorang anak.”

Itulah luahan ibu mangsa, Raja Ruhana, 53, yang hiba dan terkejut mendengar khabar pemergian anak bongsunya.

Menurut Raja Ruhana, dia sebelum ini kehilangan anak sulung ketika masih bayi, disusuli anak kedua yang meninggal dunia pada usia lima tahun akibat penyakit jantung.

Namun kali ini, si ibu tidak menyangka diuji dengan kehilangan Nik Mohd Haiqal pula.

“Kini, hanya tinggal anak ketiga… saya masih terkejut dengan kejadian tiba-tiba ini.

“Ketika tiba di tempat kejadian tadi (semalam), jasad anak sudah ditutupi kain dan saya faham dia sudah meninggal dunia,” katanya, memetik Berita Harian.

Sumber: TVK

Arwah Selalu Keluar Bersiar Dengan Rakan Baik, Yang Juga Mangsa Kejadian

Berbicara tentang rutin harian anaknya, Raja Ruhana berkata Nik Mohd Haiqal memang kerap keluar bersiar-siar bersama rakan baiknya, Ahmad Iqbal Mukmin yang juga pembonceng motosikal terbabit.

Bagaimanapun menurut si ibu, arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan atau perubahan pelik dan sempat menduduki peperiksaan percubaan SPM, subjek Bahasa Melayu pada pagi semalam, 2 Julai.

Pembonceng Motosikal Alami Muntah Darah Susulan Insiden Pokok Kelapa Tumbang

Difahamkan, Ahmad Iqbal yang bertongkat kerana patah kaki akibat sebuah kemalangan sebelum ini merupakan rakan sekelas Allahyarham, Nik Mohd Haiqal.

Ahli keluarga pelajar tingkatan lima itu berkata, Ahmad Iqbal mengalami muntah berdarah tetapi berada dalam keadaan sedar selepas kejadian pokok tumbang tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah) Jabatan Pendidikan Kelantan, Azhan Anuar, serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, Dr Mohamad Ilmee Mohamad Zin turut menziarahi keluarga dan mangsa di hospital pada malam tadi.

Ahmad Iqbal Cedera Di Kepala, Leher & Punggung

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin memaklumkan bahawa mayat Nik Mohd Haiqal dibawa ke Hospital Bachok untuk bedah siasat.

Manakala Ahmad Iqbal yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher dan punggung dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk menerima rawatan.

Difahamkan semasa kejadian, kedua-dua pelajar lelaki itu sedang melalui kawasan sawah di tali air terbabit sebelum pokok kelapa tumbang dan menghempap motosikal yang dinaiki.

Penduduk & Pelajar Selalu Guna Laluan Yang Sama Di Kampung Permatang Pasir Gunung

Menurut Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Nor Azman Mohamad, 52, laluan itu merupakan jalan yang selalu digunakan penduduk kampung termasuk pelajar sekolah.

Namun kongsinya, ini merupakan kejadian pertama pokok tumbang di laluan berkenaan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Baca Artikel Berkaitan: Murid Tahun 2 Maut Dilanggar Van: Ibu Hiba, Hanya Terlewat Beberapa Minit Kerana Perlu Urus Anak Bongsu

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.