Insiden Tembakan & Letupan Bom: Polis Nasihat Orang Ramai Tangguh Perjalanan Ke Selatan Thailand

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguh perjalanan ke selatan Thailand susulan lima insiden tembakan serta letupan bom yang berlaku dalam tempoh seminggu lalu.

Ringkasan
  • Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, menasihati rakyat Malaysia agar menangguh perjalanan ke selatan Thailand ekoran lima insiden tembakan dan letupan bom dalam seminggu.
  • Dua rakyat Malaysia, Abdullah Syarapi dan Muhammad Yusri sebelum ini cedera terkena letupan bom di Tak Bai semasa dalam perjalanan pulang dari Narathiwat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Selatan Thailand sememangnya menjadi tumpuan malah dianggap syurga makanan bagi majoriti rakyat Malaysia.

Oleh kerana itu, tak hairanlah jika ada yang sanggup meluangkan masa pergi ke sana hanya untuk makan semata-mata.

Polis Minta Orang Ramai Tangguh Pergi Thailand

Terbaharu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguh perjalanan ke selatan Thailand.

Nasihat itu dikeluarkan susulan lima insiden tembakan serta letupan bom yang berlaku dalam tempoh seminggu lalu.

“Setakat nak pergi makan, tak payahlah,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Jelas Mohd Yusoff, dia mengakui tidak mampu menghalang orang ramai untuk berkunjung ke selatan Thailand.

Namun, dia meminta agar orang ramai sebaiknya menangguh perjalanan jika tiada urusan penting ekoran keadaan semasa wilayah terbabit.

“Saya selalu nasihat supaya elak berkunjung ke selatan Thailand kerana saya ada maklumat.

“Pegawai dan anggota Cawangan Khas kita sentiasa melaporkan keadaan yang berlaku di selatan Thailand.

“Untuk keadaan sekarang, sebanyak lima kes tembak dan letupan bom berlaku dalam tempoh seminggu. Sebab itu saya minta jika tiada keperluan atau urusan penting, tangguh dulu perjalanan ke sana,” katanya.

Orang Ramai Perlu Nilai Sendiri Risiko Keselamatan Sebelum Rancang Perjalanan

Tegas Mohd Yusoff lagi, meskipun keputusan untuk berkunjung ke selatan Thailand bergantung kepada individu namun orang ramai perlu menilai risiko keselamatan sebelum merancang perjalanan.

“Perkara ini bergantung kepada individu, mungkin kejadian yang berlaku terhadap dua rakyat Malaysia di Tak Bai tidak pernah berlaku kepada mereka dan keluarga menyebabkan mereka terus mengunjungi Selatan Thailand.

“Jika tanya saya kurangkanlah berkunjung (ke selatan Thailand), sebaliknya sokonglah (destinasi) pelancongan dalam negara kita,” katanya.

2 Rakyat Malaysia Cedera Terkena Letupan Bom Di Tak Bai

Sebelum ini, dua orang rakyat Malaysia cedera selepas terkena letupan bom di Tak Bai, Thailand.

Dalam kejadian yang berlaku pada 29 Jun jam 12.40 tengahari waktu Malaysia, mangsa yang dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman dan Muhammad Yusri Udin dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kelantan menaiki Proton X50 selepas bercuti di Narathiwat.

Kesemua mereka yang cedera telah menerima rawatan di Hospital Narathiwat sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 30 Jun.

Ekoran itu, Polis Thailand menjelaskan letupan bom berkenaan bukan disasarkan kepada mangsa sebaliknya terhadap sebuah lagi kenderaan yang melalui jalan sama.

Malah menurut Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, hasil siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati alat letupan buatan sendiri (IED) turut dipasang bagi menyasarkan kenderaan lain.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Ini Kongsi Tips Termasuk Do’s & Don’t Jika Bercuti Ke Thailand

Baca Artikel Berkaitan: 5 Larangan & Undang-Undang Asas Thailand Anda Perlu Fahami Sebelum Bercuti Ke Sana

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.