Now Reading
BKS Bidas Dakwaan Kutip Khairat Kematian & Kenakan Bayaran Tambahan Untuk Urus Jenazah

BKS Bidas Dakwaan Kutip Khairat Kematian & Kenakan Bayaran Tambahan Untuk Urus Jenazah

Menurut Yang Dipertua BKS, Wan Shahir Wan Abd Hamid, kenyataan yang mendakwa badan berkenaan mengutip khairat kematian dan meminta bayaran tambahan disifatkan tidak benar serta bertujuan untuk mencemarkan reputasi pertubuhan berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Isu tular mengenai kelewatan pengebumian jenazah di sebuah Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana, Hulu Klang masih hangat diperkatakan sehingga kini.

Malah semalam (28 Jun), pihak keluarga bersama Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) dan peguam tampil menjelaskan perkara sebenar dari pihak mereka selepas tular beberapa dakwaan khususnya selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan kenyataan mengenai isu berkenaan.

BKS Tepis Dakwaan Kutip Khairat Kematian, Hanya Kutip Yuran Keahlian

BKS turut membidas kenyataan yang mendakwa badan itu kononnya mengutip wang khairat kematian dan meminta bayaran tambahan daripada waris jenazah remaja perempuan itu.

Menurut Yang Dipertua BKS, Wan Shahir Wan Abd Hamid, dakwaan yang tular itu disifatkan tidak benar serta bertujuan untuk mencemarkan reputasi pertubuhan berkenaan.

Terang Wan Shahir, BKS tidak pernah mengutip khairat kematian seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya mereka hanya mengenakan yuran keahlian tahunan kepada ahli.

“Yuran ini yang melayakkan ahli menikmati pelbagai manfaat kebajikan termasuk pengurusan jenazah dan bantuan menunaikan ibadah haji.

“BKS tidak pernah mengutip khairat kematian. Apa yang kami kutip hanyalah yuran tahunan keahlian dan perkataan ‘khairat’ langsung tidak wujud dalam perlembagaan pertubuhan kami,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Sudah Buat Laporan Polis Berhubung Dakwaan Wujud Dokumen Palsu

Tegas Wan Shahir ketika diminta mengulas dakwaan kononnya waris memegang dokumen palsu, dia menjelaskan perkara sebegitu tidak pernah berlaku serta meminta pihak yang membuat tuduhan berkenaan untuk mengemukakan bukti.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung penyebaran video di media sosial yang mendakwa wujudnya dokumen palsu.

“Tuduhan itu berpunca daripada komen seorang individu yang kami kenali di Facebook sebelum kandungannya diubah suai sehingga memberi gambaran negatif terhadap BKS,” katanya.

BKS Bantu Urus Mandi & Kafankan Jenazah, Tak Kenakan Bayaran Kepada Keluarga

Pada masa sama, Wan Shahir menjelaskan BKS hanya menguruskan proses memandi serta mengkafankan jenazah remaja berkenaan dan tidak mengenakan bayaran kepada keluarga.

Malah, tiada kekecohan berlaku melibatkan BKS serta waris di tanah perkuburan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Pengurusan jenazah tiba kira-kira jam 12 tengah hari dan sepatutnya proses pengebumian berjalan lancar kerana lot perkuburan di bawah kendalian Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah disediakan lebih awal,” katanya.

MAIS Arah Pertemuan Segera Diadakan Untuk Selesaikan Isu Lewat Kebumi Jenazah

Dalam perkembangan terbaharu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengarahkan satu pertemuan segera melibatkan semua pihak diadakan bagi menyelesaikan isu berhubung kelewatan kebumi jenazah.

Menurut Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, pertemuan itu melibatkan wakil MAIS, waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Jelas beliau, langkah tersebut merupakan komitmen MAIS dalam menyelesaikan isu berkenaan dan mencapai penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“MAIS juga akan menilai pengurusan jenazah orang Islam yang sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid dan mengenal pasti jika terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diambil.

“Hal ini adalah bagi memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, secara teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan hukum syarak,” katanya.

Bapa Nafi Kesemua Dakwaan Isu Pengurusan Jenazah, Akui Berurusan Dengan BKS Dari Awal

Sebelum ini, bapa kepada Allahyarham Siti Adawiyah, Mohd Hasrul Ghazali turut menafikan kesemua dakwaan berhubung isu pengurusan jenazah.

Menurut Mohd Hasrul Ghazali, dia dari awal lagi sememangnya berurusan dengan BKS dalam menguruskan jenazah anaknya yang berusia 14 tahun itu dan bukan dengan pihak masjid seperti yang didakwa.

Malah, dia turut menafikan dakwaan kononnya menggunakan permit palsu bagi urusan pengebumian serta memalsukan tanda tangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.

Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid telah menerima tujuh laporan polis berhubung isu tersebut sehingga 5 petang semalam (28 Jun).

Baca Artikel Berkaitan: Kes Kelewatan Kebumi Jenazah: JAIS Nafi Salah Masjid, Dakwa Ada Kekeliruan Dari Pihak Waris

Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Tersadai Di Liang Lahad Lebih 1 Jam, Masjid Didakwa Minta RM1,400 Untuk Pengebumian [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.