Now Reading
Lepasan Tahfiz & UEC Berpeluang Masuk Program Pengajian Tertentu Di IPTA – KPT

Lepasan Tahfiz & UEC Berpeluang Masuk Program Pengajian Tertentu Di IPTA – KPT

Menurut KPT, terdapat 4 program yang dikenal pasti untuk calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz dan SMPC/ UEC.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini (14 Mei) mengumumkan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaaan kini berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Aliran yang dimaksudkan adalah:

  • Sekolah atau institusi tahfiz
  • Sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)

KPT menerusi satu kenyataan berkata, ini berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Jika ada SPM, boleh pohon mana-mana program pengajian

Menurut KPT, bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia juga tertakluk kepada syarat am dan khas program yang ditetapkan universiti menerusi proses pemilihan meritokrasi.

Jika lepasan sekolah tahfiz atau SMPC/UEC ada duduki paper BM dan Sejarah boleh dipertimbangkan program tertentu

Tambah KPT lagi, mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju bagi calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA yang telah dikenal pasti berdasarkan kesesuaian bidang pengajian dan keperluan semasa.

4 program untuk lepasan tahfiz

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah:

  • Diploma dan Sarjana Muda Dakwah
  • Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah
  • Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz
  • Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah)

4 program untuk lepasan UEC

Manakala bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti adalah:

  • Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian
  • Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina
  • Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina
  • Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan

Tambah KPT, semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.

“KPT ingin menegaskan bahawa pendekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi negara.”

Berapa banyak sekolah tahfiz dan SMPC/UEC di Malaysia?

Menurut Al-Hijrah yang memetik Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI), setakat Oktober 2025 terdapat lebih 1,401 institusi tahfiz yang berdaftar di Malaysia.

Manakala bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina pula, meskipun carian kami tidak menemui angka tepat namun ia dianggarkan sekitar 63 buah sekolah seperti yang dilaporkan Sin Chew Daily.

Memetik FB Tinjauan Masyarakat pula, sebuah lagi sekolah iaitu Cawangan Sekolah Menengah Persendirian Cina Chong Hwa Kuala Lumpur (Bandar Elmina) dijangka siap pada 2026.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.