[Kemaskini] Murid Tahun 5 Jatuh Dari Koridor Sekolah Selepas Cuba Ambil Kasut Rakan – Exco Melaka
Menurut seorang remaja yang merupakan kakak kepada saksi kejadian, mangsa dipercayai sedang cuba mengambil kasutnya yang berada di atas bumbung pejalan kaki sehingga menyebabkannya terjatuh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
[KEMASKINI] Dalam perkembangan terbaharu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman memaklumkan kejadian sebenarnya berpunca dari tindakan murid itu sendiri.
Difahamkan murid berkenaan terjatuh dari koridor sekolah ketika mengambil kasut rakan yang sebelum itu telah dilemparnya di bumbung laluan pejalan kaki.
Seorang murid lelaki darjah lima dilaporkan terjatuh dari tingkat satu sebuah bangunan sekolah yang terletak di Batu Berendam, Melaka.
Laporan Asal Sebut Mangsa Terjatuh Selepas Ambil Kasut Sendiri
Memetik laporan media sebelum ini, mangsa didakwa terjatuh ketika cuba mengambil kasutnya yang dibaling oleh seorang murid lelaki lain di sekolah terbabit.
Menurut kakak salah seorang murid, insiden tersebut dipercayai berlaku semasa sesi persekolahan hampir tamat sekitar waktu tengahari. Tambahnya, murid-murid lain pada ketika itu sedang bersiap sedia untuk pulang.
Dia dalam masa sama mendakwa bahawa permukaan lantai serta bumbung yang licin akibat hujan adalah punca mangsa terjatuh.
Murid Sebenarnya Terjatuh Lepas Cuba Ambil Kasut Rakan Yang Dilemparnya – Exco Melaka
Namun dalam satu perkembangan terbaharu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman menjelaskan beliau mendapat makluman yang kejadian sebenarnya berpunca dari tindakan murid itu sendiri.
Difahamkan murid berkenaan terjatuh dari koridor sekolah ketika mengambil kasut rakan yang sebelum itu telah dilemparnya di bumbung laluan pejalan kaki.
“Murid terbabit dikatakan mengambil kasut sekolah rakan sebelum membalingnya ke atas bumbung.
“Bila rakannya marah, dia panjat bumbung di bahagian garaj kereta guru untuk mengambil kasut berkenaan.
“Selepas mengambil kasut, mangsa dikatakan cuba memanjat tembok koridor namun dipercayai tergelincir dan jatuh,” katanya dipetik Harian Metro.
Mangsa Sudah Mendapat Rawatan, Hanya Cedera Ringan
Tambah beliau lagi, mangsa sudah pun menerima rawatan dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Terdahulu, media melaporkan mangsa terjatuh ketika cuba mengambil kasutnya yang dilempar.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima laporan mengenai kes seorang pelajar terjatuh.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.