Murid Tahun 2 Maut Dilanggar Van: Ibu Hiba, Hanya Terlewat Beberapa Minit Kerana Perlu Urus Anak Bongsu
Dalam pada itu, bapa Nur Aini Umairah, Ahmad Fareez Khalid, 39, berkata dia sudah pun memaafkan pemandu van terbabit selain berharap agar orang ramai berhenti menyalahkannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (5 Mei), seorang murid perempuan Tahun Dua dikenali sebagai Nur Aini Umairah Mohd Fareez dilaporkan maut selepas dilanggar oleh sebuah van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat di Johor.
Kanak-kanak itu dilanggar van tersebut ketika pulang dari sekolah sekitar jam 12.40 tengah hari dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan organ dalaman.
Difahamkan sebelum insiden berlaku, mangsa dipercayai baru selesai sesi persekolahan sebelum bergerak keluar dari pintu pagar.
Dalam masa sama, kebetulan juga van berkenaan keluar dari pagar sekolah selepas menghantar barangan. Bagaimanapun, dia tidak menyedari kelibat mangsa di hadapan van hingga berlakunya rempuhan.
Si Ibu Terkilan Lambat Beberapa Minit Untuk Jemput Nur Aini Pulang Dari Sekolah
Kejadian menyayat hati ini sememangnya memberi kesan kepada orang ramai, namun yang paling berduka tentunya ibu bapa mangsa.
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.”
Itulah kata-kata si ibu, Asmilah Tukiran, 37, yang meluahkan rasa hiba dengan pemergian mengejut anak perempuannya.
Mengulas lanjut mengenainya, Asmilah berkata bahawa dia pada ketika itu sedang sibuk menguruskan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang juga baru sahaja pulang dari prasekolah. Oleh disebabkan itu, dia terlambat lebih kurang 10 minit untuk menjemput Nur Aini Umairah.
“Apabila tiba di hadapan pintu pagar sekolah, saya nampak orang ramai berkerumun. Ketika itu, hati saya tertanya-tanya siapa yang dikerumuni itu.
“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanya siapa yang sedang terbaring kaku itu.
“Apabila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya sendiri, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazah kerana keadaannya sangat parah,” luahnya, lapor Berita Harian.
Ibu Tidak Kuat Lalui Ujian Kehilangan Anak
Tambahnya, dia selalu mengingatkan Nur Aini Umairah untuk sentiasa tunggu di belakang pintu pagar selagi dia belum sampai ke sana. Namun tidak dapat dijangka sebab dia berada di pagar sekolah pada ketika itu.
“Biasanya apabila saya sudah tiba, barulah Nur Aini Umairah keluar dari pagar sekolah.
“Namun ketika kejadian, saya tidak tahu kenapa anak berada di luar pagar. Mungkin dia mahu membeli sesuatu.”
Lumrah seorang ibu selepas kehilangan anak sendiri, Asmilah mengakui bahawa dia masih belum kuat untuk melalui dugaan tersebut, lebih-lebih lagi baru kehilangan dua insan tersayang dalam pada hari sama, Januari tahun lalu.
“Kesedihan pada Januari tahun lalu masih belum terubat. Ibu saya, Allahyarhamah Saonah Kasmi, 58, meninggal dunia dua jam selepas nenek, Allahyarhamah Bayah Sadiran, 84, menghembuskan nafas terakhir.
“Ketika itu, ibu datang menziarahi jenazah nenek pada jam 6.45 petang, sebelum dia menyusul kira-kira dua jam kemudian.
“Bayangkan, dua insan tersayang pergi dalam masa dua jam… dan hari ini, saya sekali lagi diuji.
“Inilah dugaan yang saya sedang lalui. Namun, saya perlu menguatkan diri agar anak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Bapa Nur Aini Tak Salahkan Pemandu Van
Dalam pada itu, bapa kepada Nur Aini Umairah, Ahmad Fareez Khalid, 39, sudah memaafkan pemandu van yang terlibat selain berkata dia menerima segala ketentuan Allah SWT.
“Kepada pakcik (pemandu van) yang melanggar anak saya, tidak mengapa, saya sudah memaafkannya.
“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan, jadi kalau kita hendak menyalahkan seseorang pun tak boleh juga, siapa nak bunuh orang? Saya reda kerana setiap yang hidup ini sudah ada ketetapan dari Ilahi.”
Dalam masa sama, dia juga berharap agar orang ramai berhenti menyalahkan pemandu van itu kerana insiden ini berlaku di luar jangkaan.
Jenazah Nur Aini Umairah selamat dikebumikan bersebelahan pusara arwah neneknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong jam 8.35 malam (5 Mei).
Pemandu Van Ditahan Polis
Dalam perkembangan terkini kes, pemandu van yang juga seorang warga emas telah ditahan polis semalam bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan dijalankan atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.