fbpx
Now Reading
Hukuman Penjara 14 Tahun Terhadap Rosmaini Adalah Setimpal, Jahidah Digambarkan Seperti Mayat Hidup – Hakim

Hukuman Penjara 14 Tahun Terhadap Rosmaini Adalah Setimpal, Jahidah Digambarkan Seperti Mayat Hidup – Hakim

Mahkamah Rayuan berpendapat hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadap Rosmaini Abdul Raof sebelum ini tidak memadai dengan perbuatan tertuduh yang memukul bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (4 Mei), Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara maksimum selama 14 tahun terhadap bekas suami Jahidah Nordin@Sylvester iaitu Rosmaini Abdul Raof.

Dia dijatuhi hukuman tersebut atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah pada wanita itu kira-kira lima tahun yang lalu.

Hukuman maksimum terhadap tertuduh yang berusia 43 tahun itu dikenakan selepas panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan terhadap hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru sebelum ini.

Malah, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah bersama Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada mangsa serta tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar ganti rugi tersebut.

Hukuman Penjara 10 Tahun Tidak Memadai, Mangsa Digambarkan Seperti Mayat Hidup

Mahkamah Rayuan berpendapat hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadap Rosmaini sebelum ini tidak memadai dengan perbuatan tertuduh yang memukul bekas isterinya itu sehingga koma.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin sewaktu membaca penghakimannya menjelaskan fakta kes dalam insiden ini bukanlah satu kes yang melibatkan kecederaan biasa.

“Fakta kes menunjukkan satu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isteri (ketika kejadian) yang ketika itu sedang mengandung.

“Tahap kegasanan yang dilakukan adalah amat serius sehingga mangsa berada dalam dalam keadaan vegetatif kekal sehingga ke hari ini.

“Keterangan perubatan menunjukkan kecederaan yang meluas dan dahsyat termasuk pendarahan otak, patah tulang di beberapa bahagian dan kerosakan neurologi yang teruk.

“Keadaan mangsa adalah tidak boleh dipulihkan dan mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan asas kehidupan.

“Mangsa digambarkan sebagai ‘mayat hidup’ yang memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih,” kata beliau.

Perbuatan Rosmaini Turut Beri Kesan kepada Anak Yang Dikandung Jahidah

Tambah Noorin dalam penghakimannya, perbuatan tertuduh bukan sahaja memberi impak kepada mangsa malah turut memberi kesan kepada anak yang dikandung Jahidah ketika kejadian.

Ini kerana anak tersebut kini mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden terbabit.

Malah, kejadian berkenaan turut melibatkan kemusnahan dua kehidupan iaitu ibu dan anak.

“Tingkah laku perayu (Rosmaini) sebelum dan selepas kejadian, keterangan jelas menunjukkan bahawa perayu menghubungi saksi pendakwaan pertama (SP1).

“Perayu mengakui telah bergaduh dengan mangsa dan kemudiannya mengelakkan diri daripada terlibat di hospital dan menghilangkan diri untuk tempoh yang lama,” jelasnya.

Memetik Berita Harian, Noorin menjelaskan kes terbabit wajar dikenakan hukuman penjara yang maksimum seperti diperuntukkan oleh undang-undang.

Ia bagi menggambarkan keseriusan kesalahan, memenuhi kehendak keadilan serta memberi mesej tegas terhadap perbuatan sedemikian.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru Sebelum Ini Jatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun

Sekadar info, pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 9 Disember 2024 yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.

Walau bagaimanapun, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.

Rosmaini sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul bekas isteri ketiganya itu hingga menyebabkan kecederaan parah pada 17 Jun 2021.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu hingga menyebabkan kecederaan parah.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.

Sebagai info, pada tahun 2023, Mahkamah Syariah meluluskan tuntutan cerai fasakh yang dikemukakan Jahidah terhadap Rosmaini.

Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Syariah Luluskan Tuntutan Fasakh Jahidah Nordin, Wanita Yang Koma Akibat Dipukul Suami

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tular Pukul Isteri Pernah Kahwin 9 Kali & Ada 11 Anak, Sasar Wanita Bekerja Sebagai Penjawat Awam

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Pukul Isteri Hingga Gugur Ditahan Reman 7 Hari

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.