fbpx
Now Reading
Riba Wanita Ketika Memandu: Pemandu Bas & Kekasih Dipenjara Serta Denda RM5,000

Riba Wanita Ketika Memandu: Pemandu Bas & Kekasih Dipenjara Serta Denda RM5,000

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama dan tidak melibatkan kerugian iaitu tiada kemalangan berlaku serta penumpang selamat sampai ke destinasi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Aksi pemandu bas yang meriba kekasihnya pada 12 April lalu nyata mendapat perhatian ramai pihak.

Manakan tidak, perbuatannya yang meriba wanita berkenaan sambil memandu bas bukan sahaja membahayakan penumpang malah pengguna jalan raya lain.

Ekoran itu, pemandu bas terbabit telah dipanggil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dirakam keterangan dan turut ditamatkan perkhidmatan serta-merta oleh syarikat bas terbabit.

Malah, dia serta kekasihnya yang baru dikenali selama lima bulan telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka bagi membantu siasatan sebelum direman selama empat hari bermula 16 hingga 19 April ini.

Baca Artikel Berkaitan: Kekasih Teringin Bawa Bas Punca Pemandu Bas Ekspres Riba Wanita

Pemandu Bas & Kekasih Mengaku Bersalah, Dijatuhi Hukuman Penjara Serta Denda

Terbaharu, pemandu bas serta kekasihnya itu dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret Jasin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas tertuduh yang dikenali sebagai Arif Fahmi Abd Salam serta wanita berkenaan, Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Arif Fahmi dijatuhi hukuman penjara setahun manakala Nur Adila pula selama enam bulan dengan masing-masing turut didenda sebanyak RM5,000.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 12 April lalu kira-kira jam 7.30 malam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.

Turut Hilang Kelayakan Memandu Selama 5 Tahun

Mereka didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan selain menjatuhkan hukuman penjara tambahan selama dua bulan jika kedua-dua tertuduh gagal membayar denda.

Bukan itu sahaja, kedua-dua mereka turut hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Nur Adila Turut Didakwa Atas Kesalahan Mengeluarkan Kata-Kata Kesat

Pada masa yang sama, Nur Adila turut didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang wanita yang berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman mangsa.

Perbuatan itu dilakukan olehnya pada hari yang sama kira-kira jam 6 petang dalam bas ekspres berkenaan di susur keluar dari R&R Bemban arah selatan, di daerah Jasin.

Nur Adila kemudiannya mengaku bersalah dan didenda RM100 di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Tertuduh Tidak Diwakili Peguam, Mohon Hukuman Diringankan

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama dan tidak melibatkan kerugian iaitu tiada kemalangan berlaku serta penumpang selamat sampai ke destinasi.

Jelas Arif Fahmi, dia telah mendapat kesan akibat perbuatannya itu apabila diberhentikan kerja serta-merta oleh syarikat.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan dia hilang punca pendapatan untuk menyara ibu yang menghidap darah tinggi serta dua orang adiknya.

Malah, dia memaklumkan perlu menghadirkan diri ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memberi keterangan berhubung kes sama.

Manakala, Nur Adila dalam nada sebak memohon agar hukuman diringankan atas alasan masih muda dan mahu menyambung pengajian.

TPR Mohon Hukuman Berat, Ambil Kira Tahap Keseriusan Kes

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Asri Abd Rahman Noor Syazwani Mohamad Yusri dalam hujahnya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh setelah mengambil kira tahap keseriusan kes terbabit.

Jelasnya, walaupun tiada kemalangan berlaku namun mahkamah perlu menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran kepada orang awam selain mengambil kira kepentingan awam berbanding tertuduh.

“Kes ini juga mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengguna pengangkutan awam selepas tular di media sosial, apabila (kesalahan dilakukan) jelas menunjukkan isu keselamatan ketika memandu jentera besar diabaikan.

“Terdapat 27 nyawa dalam bas berkenaan dan tindakan tertuduh tidak boleh diterima. Mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku. Jika sebaliknya berlaku, bagaimana nasib penumpang?” katanya.

Malah, dia turut memaklumkan lesen memandu pemandu bas terbabit telah tamat tempoh pada 1 April 2026 beberapa hari sebelum kejadian berlaku.

Majistret Mazana kemudiannya menjatuhkan hukuman terbabit. Jelasnya, tindakan kedua-dua tertuduh itu dilihat mengabaikan keselamatan pengguna walaupun tiada kemalangan berlaku.

Dia juga berharap agar hukuman itu dapat dijadikan pengajaran.

Baca Artikel Berkaitan: Lee Lam Thye Cadang Lesen PSV Pemandu Bas Riba Wanita Dibatalkan & Lesen Syarikat Digantung

Baca Artikel Berkaitan: Tular Pandu Bas Sambil Pangku Wanita, JPJ Sudah Rakam Keterangan Pemandu [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Polis Sahkan Pemandu Bas Ekspres Tular Suami Orang, Wanita Diriba Hanya Kenalan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.