fbpx
Now Reading
70% Rakyat Malaysia Gembira Di Tempat Kerja, Tapi Stres & Burnout Jadi Cabaran Utama – Kajian

70% Rakyat Malaysia Gembira Di Tempat Kerja, Tapi Stres & Burnout Jadi Cabaran Utama – Kajian

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK, Nicholas Lam berkata hanya 36% pekerja berpuas hati dengan tahap tekanan yang dihadapi di tempat kerja manakala 41% mengakui mengalami keletihan atau kepenatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap orang perlu bekerja sebagai sebahagian daripada tanggungjawab dalam kehidupan. Melalui pekerjaan, seseorang bukan sahaja memperoleh sumber pendapatan, tetapi juga membina pengalaman, kemahiran serta jati diri dalam menghadapi cabaran harian.

Namun realitinya dunia pekerjaan memberikan pengalaman yang berbeza. Ada yang merasai kegembiraan serta kepuasan, dan ada juga yang berdepan dengan keletihan serta tekanan. Semua ini menjadikan pekerjaan satu perjalanan yang penuh warna dalam kehidupan.

Terbaharu, satu kajian mendapati 70% pekerja di Malaysia gembira di tempat kerja, namun hanya sebahagian kecil yang benar-benar selesa dengan tekanan kerja yang dihadapi.

Hanya 36% pekerja berpuas hati dengan tahap tekanan di tempat kerja

Menerusi dapatan Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja yang dilakukan oleh Jobstreet by SEEK, walaupun majoriti turut menyatakan mereka berasa dihargai dan 68% mendapati pekerjaan mereka memberi kepuasan namun stres dan burnout akibat kerja terus menjadi cabaran utama.

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK, Nicholas Lam berkata hanya 36% pekerja berpuas hati dengan tahap tekanan yang dihadapi di tempat kerja manakala 41% mengakui mengalami keletihan atau kepenatan.

“Walaupun gaji kekal penting, apa yang benar-benar mengekalkan kebahagiaan ialah rasa tujuan,” kata Nicholas lagi.

Kenaikan gaji paling utama, work-life balance kedua paling penting

Kajian yang membabitkan kira-kira 1,000 responden berusia antara 18 hingga 64 tahun yang sedang bekerja itu turut mendapati 71% pekerja yang tidak gembira berpendapat peningkatan keseimbangan kerja (work-life balance) dan kehidupan dapat meningkatkan tahap kebahagiaan mereka, kedua tertinggi selepas kenaikan gaji.

Ini menunjukkan bahawa tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan, kehadiran kerja dan produktiviti jangka panjang.

“Kebahagiaan di tempat kerja di Malaysia merupakan tanggungjawab bersama. Apabila majikan melabur dalam peranan yang berteraskan tujuan, membina budaya kerja yang menyokong serta mendengar keperluan pelbagai pekerja mereka, kesannya dapat dilihat dengan jelas iaitu peningkatan dari segi penglibatan, produktiviti dan pengekalan pekerja,” tambah Lam.

“Akhirnya, mewujudkan tempat kerja yang lebih bahagia bukan sahaja baik untuk pekerja, malah penting untuk kejayaan perniagaan dalam jangka panjang.”

Dapatan turut mendapati kebahagiaan di tempat kerja tidak dirasai secara sama rata antara generasi.

Golongan Gen Z dilihat mencatat tahap kebahagiaan yang lebih rendah serta tekanan yang lebih tinggi, terutamanya ketika mereka sedang menyesuaikan diri pada peringkat awal kerjaya, membina kemahiran dan dalam masa yang sama berusaha membuktikan kemampuan diri.

Mereka juga lebih cenderung dengan pendapat bahawa pengurangan tekanan mampu meningkatkan tahap kebahagiaan dengan ketara, iaitu sekitar 40%, berbanding 35% dalam kalangan pekerja Milenial dan 27% bagi Generasi X.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.