fbpx
Now Reading
Kuota BUDI95 Dikurangkan Untuk Elak Rakyat Tanggung Beban Pada Masa Depan – Anwar

Kuota BUDI95 Dikurangkan Untuk Elak Rakyat Tanggung Beban Pada Masa Depan – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan telah mempertimbang malah membuat penilaian sebelum melaraskan kuota BUDI95 menjadi 200 liter.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui bermula 1 April lalu, kuota subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95) telah ditetapkan pada 200 liter berbanding jumlah sebelum ini iaitu 300 liter.

Namun setelah lebih seminggu dilaksanakan, terdapat segelintir individu mendakwa jumlah itu tidak cukup malah telah menggunakan hampir separuh daripada kuota yang diberikan.

Bukan itu sahaja, ada yang meminta agar kerajaan mengembalikan semula kuota BUDI95 menjadi 300 liter khususnya buat mereka yang terpaksa berulang-alik dengan jarak yang jauh.

Penetapan Kuota BUDI95 200 Liter Langkah Kerajaan Elak Rakyat Tanggung Beban Masa Depan – Anwar

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan telah membuat pertimbangan dan penilaian sebelum mengurangkan penetapan kepada kuota 200 liter bagi BUDI95.

Ia termasuklah dengan mengambil kira cabaran yang akan dihadapi pada masa depan.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, jika kuota 300 liter dikembalikan, beliau khuatir akan membebankan rakyat di masa hadapan.

Namun, beliau mengakui terdapat pihak yang mengeluh namun ada juga yang masih bertahan dengan kuota baharu itu.

“Saya boleh luluskan (kembalikan kuota asal) bagi menyenangkan rakyat dan bagi semua happy (gembira) sementara, selepas itu masing-masing akan terima beban. Tak boleh (ia tidak boleh dilakukan).

“Apa-apa dasar yang diputuskan oleh kerajaan telah memikirkan cabaran kini dan cabaran masa depan. Apa yang kita boleh lakukan, kita lakukan,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Kembalikan Kuota Asal Tidak Akan Selesaikan Masalah

Walaupun mengakui ada pihak terkesan dengan pengurangkan kuota tersebut namun Anwar menjelaskan mengembalikan kuota kepada asal (300 liter) tidak dapat menyelesai masalah yang dihadapi majoriti rakyat.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan kenaikan harga diesel telah memberi kesan khususnya kepada sektor pengangkutan negara.

“Kerajaan cuba bantu melalui pelbagai inisiatif tetapi belum selesai sepenuhnya. Hari-hari kita dengar isu ini. Ada sektor terbantut dan ada yang masih terkesan seperti sektor pelancongan. Kita perlu dengar dan selesaikan sebaik mungkin secara berperingkat,” katanya lagi.

Harga Diesel Di Semenanjung Naik 70 Sen

Sekadar info, Kementerian Kewangan (MOF) semalam (8 April) telah mengumumkan pelarasan harga runcit petroleum bagi tempoh 9 hingga 15 April 2026.

Pelarasan itu menunjukkan harga diesel di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 70 sen menjadi RM6.72 seliter berbanding RM6.02 seliter pada minggu lalu sekaligus mencatatkan rekod tertinggi baharu.

Manakala petrol RON97 naik 40 sen menjadi RM5.35 sen seliter dan RON95 tanpa subsidi juga naik (40 sen RM4.27 seliter).

Kenaikan ini nyata mengundang persoalan ramai apatah lagi harga minyak global kini menurun selepas Iran bersetuju dengan pelan gencatan senjata selama dua minggu bersama Amerika Syarikat (AS) dan bersedia membuka Selat Hormuz.

Namun, MOF kemudiannya menjelaskan kenaikan harga minyak tempatan dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ditentukan oleh purata harga minggu sebelumnya.

Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Harga Minyak Mentah Global Turun Tapi Stesen Minyak Kita Tidak? Ini Penjelasan MoF

Baca Artikel Berkaitan: Gencatan Senjata 2 Minggu AS & Iran: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.