Timbalan KP JAS Didakwa Lagi, Berdepan Tuduhan Terima Suapan RM9,110 Bagi Bayaran Kerja Baik Pulih Rumah
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Operasi), Dr Norhazni Mat Sari berdepan enam pertuduhan menerima rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Jumaat (3 April) lalu, media melaporkan dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berhubung siasatan pengurusan sisa elektronik.
Walau bagaimanapun, dua pegawai tersebut iaitu Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Operasi), Dr Norhazni Mat Sari mengaku tidak bersalah dalam bilik mahkamah berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azura Alwi.
Wan Abdul Latiff didakwa menerima wang tunai berjumlah RM100,000 sebagai upah bagi mempertimbangkan rayuan pengecualian penyediaan Laporan EA Permohonan Kebenaran Merancang Projek Cadangan Membina Jalan Berkembar Bukit Kukus dan kerja tanah mitigasi di atas tanah kerajaan.
Manakala, Norhazni berdepan enam pertuduhan menerima rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi.
Norhazni didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 18 April 2022 sehingga 19 Julai 2024 dan pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta Norhazni diarahkan menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai.
Timbalan KP JAS Didakwa Sekali Lagi, Nilai Suapan Bernilai RM9,110
Hari ini (6 April), Norhazni sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM9,110 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual.
Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan sekitar empat tahun lalu bagi pembayaran kerja baik pulih rumahnya.
Walau bagaimanapun, Norhazni mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, Norhazni yang merupakan penjawat awam menerima suatu benda yang berharga dengan tiada balasan iaitu bayaran membaik pulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya berjumlah RM9,110 dari seorang pengarah sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual.
Bayaran yang dibuat secara pindahan dalam talian itu didakwa diterima daripada Pengarah E-Concern (Borneo) Sdn Bhd, Tan Siong Hee yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh ke akaun Public Bank milik Kah Yong Contruction & Engineering Sdn Bhd.
Norhazni didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 25 Mei 2022 di Public Bank Berhad cawagan Klang yang terletak di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574). Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
TPR Mohon Kes Dipindah & Dibicara Bersama Kes Sebelum Ini
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Muaz Ahmad Khairuddin telah memohon kebenaran mahkamah untuk menggunapakai jaminan sama bernilai RM25,000 yang dikenakan terhadap Norhazni pada Jumaat (3 April) lalu.
“Saya turut memohon kes ini dipindahkan dan dibicarakan secara bersama kes sebelum ini di Mahkamah Kuala Lumpur,” jelasnya.
Peguam yang mewakili Norhazni, Haresh Mahadevan bagaimanapun tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 19 Mei 2026 sebagai sebutan semula kes.
Baca Artikel Berkaitan: Timbalan CEO SSM Didakwa Terima Suapan Buat Kali Kedua
Baca Artikel Berkaitan: Bekas KP Perisikan Pertahanan ATM Didakwa Atas 3 Tuduhan Rasuah, Mengaku Tidak Bersalah



