Kes Zara Qairina: Cara Kematian Konsisten Dengan Tindakan Bunuh Diri – Pakar Psikiatri

Menurut pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung, faktor risiko bunuh diri lebih dominan berbanding faktor pelindung ketika kejadian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Masihkah anda ingat kes kematian melibatkan seorang pelajar tingkatan satu sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut, Sabah Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai tahun lalu?

Allahyarham Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah di dalam longkang berhampiran asrama kira-kira jam 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mendapatkan rawatan.

Namun, dia disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang, Sabah.

Sehingga kini, prosiding berhubung kes berkenaan masih berjalan dan mendapat perhatian ramai.

Cara Kematian Konsisten Dengan Tindakan Bunuh Diri – Pakar Psikiatri

Terbaharu, pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung menyatakan cara kematian Zara Qairina adalah paling konsisten dengan tindakan membunuh diri.

Ia berdasarkan hasil bedah siasat psikologi yang menunjukkan faktor risiko bunuh diri lebih dominan berbanding faktor pelindung ketika kejadian.

Dr Chua selaku saksi ke-67 menjelaskan dia menyedia, menandatangani dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Februari.

Laporan itu memfokuskan kepada isu kebarangkalian bunuh diri dan keadaan yang berkait dengan remaja berkenaan.

Ada Maklumat Menunjukkan Gangguan Emosi & Tingkah Laku Cederakan Diri Sendiri

Dr Chua turut mendedahkan beberapa maklumat serta dokumen yang disemak antaranya seperti:

  • Diari Zara Qairina
  • Laporan kejadian
  • Laporan bedah siasat pakar perunding patologi oleh Dr Jessie Hiu
  • Laporan kaunseling
  • Lawatan ke asrama dan bilik dormitori Zara Qairina
  • Temu bual bersama keluarga, kakitangan SMKA Tun Datu Mustapha dan sekolah rendah mangsa.

“Terdapat maklumat yang menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil dan ketakutan akan ditinggalkan. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.

“Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan.

“Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas, dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Remaja Berusia 13 Hingga 15 Tahun Berisiko Tinggi Untuk Cubaan Bunuh Diri – Kajian

Terang Dr Chua lagi, antara punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah bunuh diri dengan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelum ini.

Jelasnya, berdasarkan kajian, remaja di Malaysia yang berumur antara 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk bunuh diri berbanding kumpulan umur lain selain mereka yang tinggal berasingan dengan ibu bapa turut mempunyai risiko yang sama.

“Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.

“Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing.

“Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘badar’ (pengawas),” katanya.

Tambah Dr Chua, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum Zara Qairina masuk ke SMKA Tun Datu Mustapha, lapor Harian Metro lagi.

Pada 17 September lalu, Jabatan Peguam Besar Sabah telah meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara Qairina.

Pasukan itu dikendalikan oleh tiga orang ahli termasuk:

  • Pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung
  • Pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, Dr Nurulwafa Hussain
  • Pakar psikologi klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin.

Kesemua mereka dilantik oleh KKM pada 19 September tahun lalu bagi melakukan penilaian menggunakan kaedah bedah siasat psikologi.

Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Zara Qairina Didakwa Bakal Saman Doktor Berhubung Kenyataan ‘Memang Terjun Sendiri’

Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: Hasil Bedah Siasat 2 Bulan Terlalu Lama – Ketua UMNO Bahagian Subang

Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina Tiada Kaitan Dengan Cucu TYT & Isteri Menteri – Saifuddin Nasution

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.